Stephen Langitan: Menuju Ke London Memacu Kawasaki Versys-X 250

  • Blogger Indonesia, Stephen Langitan, sedang dalam satu tunggangan solo dari Jakarta ke London
  • Dia melakukan perjalanan tersebut dengan mengemudi sebuah motosikal kembara ringan, Kawasaki Versys-X 250.
  • Dia telah mengunjungi Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. untuk satu sesi suai kenal.

Mengambil inspirasi daripada mereka yang telah melakukannya sebelum dirinya, Stephen Langitan memutuskan untuk keluar melihat dunia, dan jentera pilihannya adalah motosikal Kawasaki Versys-X 250.

Stephen telah memulakan perjalanannya dari Jakarta pada 25 Mac 2018, menunggang merentasi selatan Sumatra ke Medan sebelum datang ke Kuala Lumpur, Malaysia. Dari sini, dia akan menuju ke utara negara untuk memasuki Thailand, dan kemudiannya, dari situ, mengikut laluan barat daya ke arah Eropah dan akhir sekali, ke London. Dia berharap dapat tiba di ibu negara UK menjelang 17 Ogos 2018 bagi meraikan Hari Kemerdekaan Indonesia di sana.

Stephen telah dijemput oleh Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi menyertai satu sesi suai kenal bersama dengan ahli kelab Versys-X dan juga warga media, bagi berkongsi pandangan, pengalaman, dan pengetahuannya sepanjang tunggangan solo ini.

Apa yang telah mendorongnya untuk melakukan tunggangan yang mencabar ini? “Saya ingin membuktikan kepada diri yang saya mampu melakukannya. Saya juga ingin mengibarkan bendera Indonesia sepanjang perjalanan ini, dan oleh kerana itulah motosikal saya telah dicat dengan skema warna merah dan putih bendera Indonesia.”

Yang menjadi buah mulut para hadirin adalah jentera pilihan Stephen, iaitu Kawasaki Versys-X 250. Kami telah menulis mengenainya sebelum ini, menamakannya sebagai antara motosikal kembara yang terbaik (tekan sini untuk membaca artikel tersebut), atas sebab beratnya yang ringan, mampu milik dan realibilitinya. Atas sebab ini jugalah ianya menjadi pilihan Stephen. “Sebab utama saya memilih motosikal ini adalah kerana ianya ringan. Seseorang itu mestilah bersedia untuk merebahkan motosikalnya sewaktu penunggangan kembara dan motosikal Versys-X 250 ini cukup ringan bagi saya untuk mengangkatnya semula dengan sendiri. Benar, anda boleh dapatkan bantuan untuk mengangkatnya, tetapi, bagaimana sekiranya ia jatuh di tempat yang terpencil di mana tiada orang? Apa yang saya perlu lakukan hanyalah menanggalkan beg tangki, beg tidur, dan bagasi lain dan bangunkannya semula.”

“Sebab keduanya pula sudah pasti kecekapan bahanapi. Saya tidaklah menunggang dengan pantas – kebiasaannya sekitar 80 hingga 90km/j. Versys-X ini secara puratanya mampu mencapai jarak 30 kilometer bagi setiap litar pada halaju tersebut, dan dengan itu, saya mampu merentasi jarak sehingga 450 kilometer untuk satu tangki penuh, dengan mendarabkan 30km dengan 15 liter beserta 2 liter dalam takungan simpanan.”

“Saya mempunyai jadual yang ketat akibat kekangan Visa pada sejumlah 26 buah negara yang akan saya lalui, dan atas sebab inilah saya tidak boleh berhenti terlalu kerap, melainkan saya rasa mengantuk dan perlu beristirehat,” terang Stephen.

Motosikal Versys-X miliknya itu dilengkapi dengan bagasi dan skema warna yang telah disebutkan di atas, beserta beberapa buah aksesori. Kami bertanya sama ada ianya ada sebarang pengubahsuaian. “Tidak, motosikal ini adalah standard sepenuhnya. Saya hanya menambah aksesori seperti palang pelindung enjin, pendakap untuk pannier, dan ‘top case’, pemaut GPS, lampu hadapan berkuasa tinggi, kecuali pada rim yang telah diperkukuhkan bagi menampung tayar tanpa tiub Metzeler Tourance.”

“Mengenai cabarannya setakat ini, saya rasa saya telah pun melalui jalan yang paling teruk di selatan Sumatra. Jalan yang terhampar di hadapan sepatutnya lebih elok lagi dan saya mengharapkan perjalanan yang lancar.”

Pesanan akhir Stephen sebelum menamatkan acara tersebut adalah, ” Terima kasih kepada Kawasaki Malaysia kerana telah menjemput saya, juga kepada Kelab Kawasaki Versys-X Malaysia kerana telah hadir untuk berjumpa dengan saya. Saya berasa amat terharu dengan sokongan anda.”

Anda boleh mengikuti progres perjalanan Stephen Langitan di atas jentera Kawasaki Versys-X 250-nya di laman blognya, http://stephenlangitan.com/archives/115906.

Galeri Gambar

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]