Tunggang Uji: KTM 250 Duke 2017 – “Budget Corner Rocket”

  • Motosikal KTM 250 Duke 2017 telah dilancarkan sekitar bulan September 2017 bersama dengan motosikal KTM 390 Duke.
  • Segala-galanya dari saiz, brek, dan suspensi mirip dengan motosikal 390 Duke.
  • Ditetapkan pada harga RM21,730 (harga asas beserta GST), model 250 Duke ini sama lincah dan seronok seperti saudaranya yang lebih besar, 390.

Motosikal KTM 250 Duke telah menjadi sebuah ikon di kalangan generasi muda semasa (dan juga bagi mereka yang berjiwa muda) yang ingin memiliki motosikal tahap yang seterusnya selepas puas bermain dengan motosikal kapchai. Dengan rekabentuknya yang agresif dan nakal, digandingkan dengan kapasiti enjin yang tidak memaksa penunggang untuk mendapatkan lesen B Full, model KTM 250 Duke ini tampil sebagai pilihan yang amat baik sekali.

Pada bulan September yang lalu, pasaran Malaysia telah diperkenalkan kepada model KTM 250 Duke 2017 yang baru, di mana pengeluar tersebut telah mengambil model generasi sebelumnya dan mengubahnya dari segala segi yang mampu. Bersama dengan saudaranya yang lebih besar, KTM 390 Duke 2017, kedua-dua model ini sememangnya sehebat rupa parasnya (dan ianya juga agak selesa, terutamanya pada pelananya).

Kami telah menunggang uji motosikal KTM 390 Duke 2017 yang baru beberapa ketika dahulu dan sejujurnya ianya adalah salah sebuah motosikal yang paling menyeronokkan pernah kami uji. Diterapkan dengan pelbagai teknologi terkini seperti skrin TFT, KTM MY RIDE, ‘Ride-by-Wire’, dan Mod Supermoto, menggelongsorkan mahu pun membuat aksi ‘wheelie’ dengan motosikal tersebut adalah semudah ABC. Anda boleh baca ulasan kami pada pautan yang ada di bawah ini.

KTM 390 Duke 2017 – “Are You DUKE Enough?”

Jadi kami berasa agak skeptikal apabila kami telah diberikan peluang untuk menguji jentera KTM 250 Duke 2017 ini. Selepas menunggangnya selama seminggu, kami telah memutuskan yang model 250cc ini ada kekangannya, namun, ianya masih amat menyeronokkan untuk ditunggang.

Berdasarkan rupa paras dan saiz atau dimensinya, motosikal 250 Duke ini tidaklah terlalu berbeza berbanding dengan model 390, paling ketara pun pada lampu hadapannya. Di mana model 390 Duke dilengkapi dengan lampu LED, motosikal 250 ini didatangkan dengan varian halogen, tetapi, bentuknya masih tidak ubah seperti saudaranya yang lebih besar lagi (dan juga lebih berkuasa), KTM 1290 Super Duke R.

Segala-galanya mengenai motosikal ini, dari ketinggiannya, pakej suspensi WP, dan brek ByBre adalah serupa seperti yang ada pada motosikal 390 Duke, dan dengan ini kita boleh andaikan satu perkara; pengendalian 250 Duke ini sama juga hebatnya. Ini juga bermakna yang motosikal 250 Duke ini adalah sebuah ‘corner rocket’ sejati dan tunggangan hujung minggu mendaki Genting mahu pun Bukit Tinggi juga sama seronoknya.

Enjin satu silinder, 249cc motosikal ini menjana 30hp yang mana merupakan satu jumlah yang amat kompetitif berbanding dengan motosikal lain dalam kategori yang sama. Bagaimanapun, motosikal 250 Duke ini menyerlah apabila dibandingkan dengan nisbah berat-ke-kuasa, dengan beratnya yang hanya 147kg (kering).

Agihan kuasa sewaktu pendikitnya dipulas memacu motosikal ini laju ke tahap kelajuan lebuh raya dengan sekelip mata, namun, masih ada sesuatu yang boleh kami katakan sebagai ‘potong stim’. Di mana model 390 Duke dilengkapi dengan teknologi ‘Ride-by-Wire’, 250 Duke yang lebih murah ini hanya dilengkapkan dengan sistem pendikit biasa. Apabila dipulas pendikitnya, masih terasa akan senggang masa yang ketara sewaku motosikal tersebut dalam julat 3,000rpm.

Namun ianya pantas hilang sebaik sahaja ianya berada di atas paras 4,000pm, jadi, sekiranya anda dalam sebarang situasi yang memerlukan anda memintas kenderaan, turunkan satu (atau lebih) gear, berikan sedikit pulasan pantas dan kerjakan pendikit sedikit demi sedikit bagi meluru ke hadapan dengan laju.

Kelajuan tertingginya, bagaimanapun, sedikit di bawah jangkaan kami, di mana kami hanya mampu mencecah 145km/j, tetapi, ianya mungkin disebabkan beberapa kilo tambahan yang ada pada penulis sejak beberapa bulan yang lalu.

Dari sudut yang lain pula, motosikal 250 Duke ini cukup sesuai sekali bagi mereka yang sering menunggang dalam bandar yang sesak dan di atas lebuh raya yang sibuk. Dengan ketinggian pelana yang lebih tinggi, ergonomik yang dipertingkatkan, dan jarak antara roda yang telah dipendekkan, motosikal KTM 250 Duke 2017 ini mudah untuk dipandu arah dan dikendali walaupun dalam kesesakan lalulintas.

Kesimpulannya, selain daripada kekurangan kuasa dan kelengkapan elektronik, model 250 Duke ini sama berkebolehan seperti 390 Duke. Dengan rupa paras yang garang dan penjana kuasa 250cc yang amat berkebolehan, mereka yang inginkan pilihan yang lebih mampu milik boleh sahaja memiliki model ini. KTM Malaysia telah menetapkan harganya pada RM21,730 (harga asas beserta GST), yang mana ianya RM7,070 lebih murah berbanding model 390 Duke.

Anda secara asasnya boleh mengisi tangki bahanapi 13.4 liternya dengan petrol bernilai RM19 setiap hari untuk setahun dengan jumlah perbezaan harga kedua-dua model tersebut. Satu fakta menarik yang boleh anda pertimbangkan.

 

Motosikal Aksi Lagak Ngeri KTM 250 Duke 2018 Terbaru Milik Rok Bagoros!

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]