Kempen Panggilan Semula Keselamatan Harley-Davidson – Adakah Anda Turut Terlibat?

  • Harley-Davidson Motor Company, Inc. telah memulakan satu Kempen Panggilan Semula Keselamatan bagi menggantikan bendalir brek yang lama bagi sesetengah model.
  • Model-model yang terlibat adalah model Touring, CVO Touring dan V-Rod dengan ABS dari tahun 2008 hingga 2011.
  • Kedai pengedar rasmi Harley-Davidson terbaru di Malaysia, Harley-Davidson Petaling Jaya, akan mengendalikan kempen ini di tanah air kita.

Harley-Davidson Motor Company, Inc. kini sedang melaksanakan satu Kempen Panggilan Semula Keselamatan buat motosikalnya di seluruh dunia.

Dalam sebuah artikel kami yang terdahulu, kami ada nyatakan yang bendalir brek motosikal perlu digantikan setiap dua tahun, tidak kiralah perbatuannya.

Ini kerana bendalir brek bersifat higroskopik (suka akan lembapan) dan akan menyerap lembapan dari udara sekeliling. Ianya jauh lebih kritikal dalam negara kita di mana cuacanya panas dan lembap. Sebarang lembapan dalam bendalir akan mengurangkan takat didih bendalir tersebut, yang akan menyebabkan ‘brake fade’.

Bendalir brek lama (kiri) berbanding yang baru (kanan)

Bagi Kempen Panggilan Semula Keselamatan ini, model-model yang terlibat adalah model Touring, CVO Touring, dan V-Rod dengan ABS dari tahun 2008 hingga 2011.

Pengeluar berkenaan juga telah menyatakan bahawa bendalir brek perlulah dipam keluar dan digantikan sepenuhnya dengan bendalir yang baru setiap dua tahun, mengikut Buku Panduan Penyelenggaraan dan Buku Panduan Pemilik Harley-Davidson. Penggunaan bendalir lama yang lebih daripada tempoh yang sepatutnya mungkin akan menyebabkannya untuk menjadi sebatian gel dan meninggalkan keledak pada komponen brek. Sekiranya keledak ini terus terhasil akibat penggunaan pada tempoh masa yang lebih panjang dari sepatutnya pada ‘apply valve’ unit Kawalan Hidraulik ABS, injap berkenaan mungkin akan melekat dan menyebabkan kehilangan fungsi pembrekan.

Kedai pengedar rasmi terbaru di Malaysia, Harley-Davidson Petaling Jaya (HDPJ), akan mengendalikan kempen ini untuk ke semua motosikal yang terlibat di dalam negara kita, tidak kiralah ianya dimiliki melalui saluran rasmi, atau pun ianya merupakan motosikal ‘grey import’. Dan juga terdapat satu lagi berita baik buat pemilik motosikal Harley-Davidson ‘grey import’, di mana pengedar rasmi yang baru ini tidak lagi akan mengenakan ‘cas pengaktifan’ untuk menyelenggarakan motosikal anda. Sebarang motosikal Harley-Davidson dialu-alukan di HDPJ, tidak kiralah di mana anda perolehinya.

Harley-Davidson Petaling Jaya, Di The Gasket Alley

Dan dengan itu, syarikat berkenaan akan memaklumkan kepada HDPJ VIN (nombor identifikasi kenderaan) motosikal yang terlibat. Bagaimana pun, oleh kerana HDPJ ini masih lagi baru beroperasi dan terdapat begitu banyak Harley ‘grey import’ di Malaysia, pemilik motosikal Touring, CVO Touring dan V-Rod dengan ABS dinasihatkan untuk menghubungi HDPJ dan berikan VIN motosikal Harley mereka untuk pengesahan. HDPJ dengan serta merta akan mengesahkan sekiranya motosikal tersebut terlibat dengan panggilan semula keselamatan ini.

Bendalir brek Platinum Label DOT 4 Harley-Davidson yang baru akan mula dibuka untuk tempahan bermula dari pertengahan bulan Mac 2018, dan dengan itu HDPJ akan menjadualkan temujanji dengan unit yang terlibat.

Hanya penggantian bendalir brek yang akan dilakukan dan tiada bahagian lain yang akan digantikan di bawah kempen ini. Penggantian bendalir brek akan dilakukan menggunakan peralatan Digital Tech II, kerana motosikal-motosikal tersebut dilengkapi dengan ABS. Untuk pengetahuan anda, mesin itu akan mengarahkan unit kawalan hidraulik ABS untuk mengepam keluar ke semua bendalir brek dan lebihannya, dan oleh kerana itu, sebarang penggantian bendalir brek tanpa penggunaan mesin Digital Tech II adalah tidak menepati keperluan dan merbahaya.

Tugas ini akan mengambil masa satu jam setengah dan ianya adalah percuma.

Anda boleh menghubungi Harley-Davidson Petaling Jaya di talian +603-79559399. Anda juga boleh menghubungi Penasihat Penyelenggaraan, Lingesh, di talian +6018-9861229, atau Naqid di talian +6018-9891229. HDPJ dibuka dari jam 9.30 pagi hingga 7.00 malam, Isnin hingga Jumaat, ditutup pada hari Ahad dan Cuti Umum. Anda juga boleh melayari laman Facebook Harley-Davidson Petaling Jaya.

Selain itu, sebagai nota kaki buat pengimport selari yang mengimport Harley-Davidson, pengedar rasmi, Harley-Davidson Petaling Jaya juga akan mengadakan kemaskini perisian dan talaan semula motosikal bagi menyediakan motosikal bagi pasaran tempatan. Di mana sebelum ini para pengimport perlu menyediakan upah bagi juruteknik Harley-Davidson sebelum ini bagi menjalankan ‘lokalisasi’ dan talaan semula, pengedar rasmi boleh dan akan memprogram semula motosikal untuk anda dengan peralatan dan mesin yang sesuai bagi menyelenggaranya. Ini adalah satu berita yang baik buat pengimport motosikal ‘grey import’ kerana mereka kini boleh menyediakan motosikal mereka untuk jualan dengan lebih baik, manakala para pembeli boleh menarik nafas lega mengetahui yang jentera mereka telah diselenggara oleh juruteknik rasmi Harley-Davidson.

Menurut Encik Juan Chow Wee, Pengurus Besar DIDI Resources Sdn. Bhd., pengimport dan pengedar Harley-Davidson di Malaysia, Harley-Davidson Petaling Jaya yang baru ini terbuka untuk ke semua pemilik Harley-Davidson, tidak kira sama ada ianya diperoleh melalui saluran yang rasmi atau melalui ‘grey market’.

“Kami ingin menjadi lebih mudah dicapai oleh ke semua penunggang Harley-Davidson, dan kami tidak akan mempraktikkan dua standard yang berbeza. Minat yang mendalam terhadap Harley-Davidson tersemat pada semua yang bekerja di Harley-Davidson Petaling Jaya dan kami ingin meluahkannya dengan tidak mengenakan sebarang bayaran cas lokalisasi untuk mana-mana motosikal Harley-Davidson. Harga motosikal, alat ganti, kelengkapan, aksesori dan yang lain-lain telah ditetapkan bagi menentukan kedayasaingannya, dan kami berasa amat berbangga dapat meneruskan persaudaraan Harley-Davidson seperti mana yang telah kita saksikan baru-baru ini sewaktu keraian dan tungganggan sempena upacara pelancaran besar-besaran.”

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply