MotoGP: KTM Berganding Bersama Tech3 Untuk 2019!

  • KTM telah mengumumkan satu usahasama yang baru mereka bentuk bersama dengan pasukan Tech3 bagi MotoGP musim 2019.
  • Selepas menjalani satu musim yang cukup memberangsangkan pada tahun 2017, pengeluar dari Austria tersebut telah bersedia untuk mengendalikan sebuah pasukan satelit di atas grid perlumbaan.
  • Empat buah jentera perlumbaan KTM RC16 akan bersaing serentak bermula tahun 2019.

Termeterai sudah perjanjiannya! KTM telah mengumumkan bahawa mereka akan bekerjasama dengan pasukan Tech3 bermula pada musim 2019 di mana grid perlumbaan MotoGP bakal menyaksikan empat buah jentera perlumbaan KTM RC16 bersaing secara serentak. Selepas beberapa keputusan perlumbaan yang memberangsangkan berbanding dengan musim sulung mereka pada tahun 2016, pengeluar dari Austria itu telah bersedia memberi saingan yang lebih sengit bersama sebuah pasukan satelit.

Baru sahaja beberapa minggu yang lalu, Tech3 mengumumkan bahawa mereka akan berpisah dengan Yamaha pada penghujung musim 2018. Kerjasama yang telah terjalin sejak sekian lama, sejak 20 tahun yang lalu, bersama dengan pengeluar dari Jepun itu akan berakhir pada hujung musim ini, namun, ianya juga menandakan yang pasukan dari Perancis itu telah menemui sesuatu yang mereka cari sejak dari permulaan penglibatan mereka dalam perlumbaan MotoGP. Kami andaikan yang sesuatu itu mungkin sekali adalah sokongan penuh pengilang dari KTM.

Menurut Pit Beirer, Pengarah KTM Motorsport, “Kami berasa amat gembira dapat bekerjasama dengan Tech3 dalam MotoGP pada tahun 2019. Pasukan tersebut mempunyai pengalaman bertahun lamanya dan telah mengecap pelbagai keputusan yang hebat dalam kejohanan ini. Struktur professional mereka akan membuatkan kami lebih kukuh lagi.”

“Dengan adanya empat buah KTM RC16 di atas grid perlumbaan, ianya merupakan satu langkah yang besar bagi kami, dari segi pembangunan jentera MotoGP kami dan juga perkembangan struktur KTM di paddock. Bermula dari Red Bull Rookies Cup sehinggalah ke MotoGP, sudah ada laluannya untuk menuju ke puncak. Kami tidak sabar untuk memulakan satu kerjasama yang hebat dan saya berterima kasih kepada Hervé Poncharal di atas kepercayaannya terhadap KTM,” tambah Beirer.

Sumber imej: MotoGP

Tech3 Akan Berpisah Dengan Yamaha Pada Tahun 2019

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]