Laporan Jualan Seluruh Dunia 2017 Bagi Pengeluar Eropah

  • Kebanyakan jenama Eropah menyaksikan peningkatan positif bagi tahun 2017.
  • Peraih terbesar adalah BMW, KTM, Piaggio, dan Triumph (mengikut turutan huruf).
  • Adakah ini kemunculan semula motosikal Eropah menandingi kekuasaan pengeluar dari Jepun?

Sudah tiba masanya, di mana para pengeluar motosikal Eropah melaporkan hasil jualan seluruh dunia bagi tahun 2017.

BMW Group dan BMW Motorrad telah pun mengeluarkan hasil jumlah jualan mereka bagi tahun 2017 pada bulan lalu, dan di sini kami lampirkan satu koleksi yang menunjukkan prestasi pengeluar motosikal Eropah pada tahun tersebut.

Dengan adanya model-model yang terkini dalam setiap segmen atas usahasama dengan pengeluar dari India, serta jaringan pengedaran yang luas, selain dari harga yang kompetitif, nampaknya motosikal Eropah mula membuat kemunculan kembali menandingi kekuasaan pengeluar dari Jepun.

Kami senaraikannya dalam turutan huruf.

BMW MOTORRAD

Seperti mana yang telah kami laporkan sebelum ini, BMW Motorrad telah melaporkan peningkatan sebanyak 13.2% (dengan bilangan sebanyak 164,153 unit) yang telah dijual pada tahun 2017, memecah rekod bagi tahun ketujuh berturut-turut.

Sebagai ringkasan, 2017 menandakan kali pertama rangkaian motosikal kembara GS (R 1200 GS, F 800 GS) telah terjual lebih daripada 50,000 unit dalam satu tahun. Segmen R nineT pula telah menyaksikan peningkatan sebanyak 9.6% dengan pelancaran tiga buah model terbarunya: Pure, Urban G/S, dan Racer. Selain itu, sebanyak 11,595 buah unit motosikal G 310 R dan G 310 GS baru telah bertukar tangan. Jualan bagi model enam silindernya juga telah menunjukkan tanda positif, dipacu oleh motosikal K 1600 B (Bagger) yang baru, terutamanya dalam pasaran Amerika Syarikat. 6,719 unit telah dijual, peningkatan sebanyak 50%.

Tekan pautan di bawah untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Satu Lagi Tahun Yang Hebat Buat BMW Motorrad Pada Tahun 2017

DUCATI

Sebanyak 55,871 unit Ducati telah dijual pada tahun 2017, peningkatan sebanyak 410 buah motosikal berbanding tahun 2016.

Sila tekan pautan di bawah untuk membaca laporan kami mengenainya.

Ducati Menjual Lebih Daripada 55,800 buah Motosikal Di Seluruh Dunia Bagi Tahun 2017

Walaupun peningkatannya itu kecil, ianya masih lagi hasil yang positif bagi pengeluar Itali yang dimiliki Audi/VW tersebut.

Ducati telah menyatakan bahawa setiap model adalah penting bagi mereka, namun, model Multistrada 950 yang telah terbukti paling popular. Rangkaian Scrambler telah meneruskan prestasi yang baik, menyumbangkan 25% dari jumlah keseluruhan jualan, hasil jualan model Desert Sled dan Café Racer.

Dua pasaran yang telah menunjukkan peningkatan pesat adalah Sepanyol dengan 28.3% (mungkinkah kerana penyertaan Jorge Lorenzo dalam pasukan MotoGP mereka?), dan China dengan 31%.

Ducati berharap dengan adanya model Panigale V4, Multistrada 1260, Scrambler 100, 821 Monster yang diperbaharui, dan 959 Panigale , akan memacu jualan bagi tahun 2018.

KTM INDUSTRIES AG

Mendahului kebangkitan ini adalah pengeluar Austria, KTM Industries AG, yang telah melaporkan peningkatan jualan sebanyak 17%, dengan 238,334 unit pada tahun 2017. Ianya merupakan tahun ketujuh KTM memecahkan rekod jualan, di samping tahun dengan hasil jualan serta keuntungan yang tertinggi bagi mereka.

Dari segi jualannya, mereka telah mencatatkan peningkatan sebanyak 14% dengan €1.533 billion. Keuntungan bersih sebelum cukai mereka telah meningkat kepada €117 juta berbanding €108.9 juta pada tahun 2016.

Dengan jumlah motosikal KTM dan Husqvarna yang telah dijual pada 2017, KTM telah mengatakan bahawa ia akan “memperkukuhkan lagi kedudukan kami di tempat pertama sebagai pengeluar motosikal terbesar di Eropah.”

Jualannya dipertingkatkan lagi oleh model berkapasiti kecil yang dipasang di India oleh rakan kerjasama KTM, Bajaj Auto (iaitu model 250 dan 390 Duke dan juga rangkaian RC), yang telah menjual sebanyak 35,000 unit di India sahaja, selain mengekport kit CKD ke negara-negara lain, termasuklah Malaysia.

Sedar akan kepentingan peningkatan yang berterusan, KTM telah melaburkan sebanyak €92 juta dalam pembangunan produk pada tahun 2017. Sebahagian besar pembangunan tersebut termasuk kelengkapan, mesin, kilang, dan infrastruktur berfokuskan kilang ‘drivetrain’ berprestasi tinggi yang baru di Pankl dan penambahan jabatan R&D KTM di Mattighofen.

Keseluruhan program pelaburan sebanyak €179.6 juta itu telah dibiayai oleh aliran tunai KTM Industries Group sendiri. Strategi ini juga menyaksikan pembekal suspensi, WP Group, diserap sepenuhnya ke dalam KTM AG.

Peningkatan yang berterusan ini juga menyaksikan penambahan sebanyak 818 pekerja di seluruh dunia, menjadi jumlah keseluruhannya sebanyak 4,568, termasuklah yang berada di Austria.

KTM menjangkakan lebih banyak peningkatan bagi segmen model utama mereka bagi tahun 2018, di mana mereka juga optimistik tentang KTM 790 Duke dan Husqvarna Vitpilen dan Svartpilen. Pengeluar dari Austria tersebut telah mensasarkan untuk menjual sebanyak 360,000 motosikal secara tahunan menjelang 2021 (bertambah dari 300,000 berbanding ramalan 2017) dan 400,000 untuk 2022.

Penambahan jumlah itu diramalkan kerana hasil usahasama dengan CFMoto di China bagi meningkatkan keberadaan jenama KTM di pasaran China. KTM memiliki 49% daripada usahasama yang dikenali sebagai CFMoto-KTMR2R.

PIAGGIO GROUP (Q3 2017)

Pengeluar Itali tersebut belum mengeluarkan hasil jualan 2017 mereka lagi, namun, telah menyaksikan peningkatan sebanyak 12.4% pada suku ketiga, iaitu sebanyak 266,400 buah motosikal. Ini telah diterjemahkan kepada jualan sebanyak €771.8 juta.

Piaggio Group merupakan pemilik bagi beberapa buah jenama motosikal, iaitu Piaggio, Aprilia, Derbi, Gilera, Moto Guzzi, Scarabeo, dan Vespa.

Bagaimana pun, Piaggio Group tidak menerbitkan jumlah jualan bagi setiap jenama. Moto Guzzi bagaimana pun telah berkata bahawa mereka gembira dengan ‘trend jualan positif bagi motosikal V7.”

TRIUMPH MOTORCYCLES

Kami juga telah melaporkan akan peningkatan yang dicatatkan oleh Triumph, dengan jumlah sebanyak 22%! Tahun 2017 merupakan tahun terbaik bagi Triumph dalam masa 30 tahun. Jumlah peningkatan adalah sebanyak £90.9 juta, untuk jumlah keseluruhan sebanyak £498.5 juta. Keuntungan bersih sebelum cukai telah meningkat kepada £24.79 juta.

Sejumlah 63,404 unit telah dijual, 86.1% daripada di luar UK.

Triumph telah menunjukkan prestasi yang kuat, memandangkan cabaran keadaan ekonomi semasa dan turun naik matawang, selain daripada ketidakpastian yang timbul akibat Brexit. Triumph terus memberi tumpuan pada R&D, membelanjakan sebanyak £29.2 juta pada tahun 2017, berbanding £26.9 juta pada tahun sebelumnya.

Hasil dari usaha R&D mereka, seperti mana yang telah disebut oleh Ketua Pegawai Komersial, Paul Stroud, sewaktu temuramah dengan laman saudara kami, Bikes Republic, Triumph telah memperkenalkan 19 buah model yang baru dalam masa dua tahun. Triumph telah melancarkan 5 buah motosikal baru bagi tahun 2017: Street Triple 765, Bonneville Bobber Black, Bonneville Speedmaster Tiger 800, dan Tiger 1200. Empat motosikal yang terakhir tersebut bakal dilancarkan di Malaysia pada hujung minggu ini (# Mac 2018). Triumph juga turut merombak semula motosikal Speed Triple 1050.

Satu lagi prospek yang menarik adalah perjanjian yang akan menyaksikan Triumph menjadi pembekal enjin Moto2 secara eksklusif bermula tahun 2019, yang akan menyerlahkan lagi nama jenama tersebut.

Tekan pautan yang ada di bawah bagi membaca laporan kami mengenai prestasi jualan Triumph Motorcycles pada tahun 2017.

Triumph Motorcycles Menyaksikan Peningkatan Jualan Pada Tahun 2017 -Lebih Daripada 63,000 Unit Terjual!

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply