Pencuri Kini Mensasari Brek ByBre!

 

  • Berita terkini melaporkan bahawa pencuri kini mulai mensasarkan brek ByBre.
  • ByBre, singkatan untuk ” By Brembo”, adalah sebuah jenama yang telah dibangunkan oleh pengeluar brek terkenal itu khusus untuk motosikal berkapasiti kecil dan sederhana.
  • Motosikal-motosikal seperti Modenas Pulsar RS200, Modenas Pulsar NS200, KTM 250 Duke, KTM 390 Duke dan bermacam-macam lagi model yang lain telah menggunakan brek ByBre.

Menjadi pemilik motosikal ini banyak naik turunnya. Selain daripada memiliki jentera cantik yang mencuri tumpuan orang ramai, kita juga perlu sentiasa risau akan keselamatan motosikal kesayangan kita. Lebih-lebih lagi daripada pencuri.

Pening kepala jadinya bila memikirkan keselamatan motosikal anda (sumber imej: MotoGP)

Sering kali telah kita lihat kes di mana bahagian atau kelengkapan motosikal telah dicuri dan alatan yang paling ‘panas’ sekali sudah semestinya sistem brek. Terdiri daripada angkup, cakera, silinder utama, dan tuil, ianya sasaran utama pencuri keparat jika mereka tidak dapat mencuri keseluruhan motosikal.

Kita sudah sedia maklum yang jenama terkenal seperti Brembo adalah jenama yang paling ‘panas’ dan ianya amat menyakitkan serta memilukan hati memandangkan yang syarikat insurans secara amnya tidak melindungi motosikal kita dari segi ini. Kini, beberapa kes telah mula timbul di mana penjenayah telah mula mencuri brek ByBre.

ByBre adalah singkatan untuk “By Brembo”, iaitu sebuah jenama yang telah dibangunkan oleh Brembo khusus untuk motosikal dan skuter berkapasiti kecil dan sederhana. Di dalam Malaysia, motosikal paling popular yang menggunakan peralatan ByBre adalah Modenas Pulsar RS200 dan NS200 dan juga sesetengah model KTM seperti KTM 390 Duke.

Pemilik motosikal bersaiz kecil dan sederhana selalunya tidak perlu risau akan perkara ini, kerana kecurian selalunya berlaku pada jenama yang lebih premium yang mana ia boleh mendapat harga yang lebih lumayan di pasaran gelap. Namun dengan lebih ramai orang menyedari yang ByBre adalah sebuah jenama yang telah dibangunkan oleh Brembo, ianya sudah pasti akan menarik lebih banyak perhatian yang tidak diingini.

Sebagai langkah keselamatan tambahan untuk mengelakkan atau pun sekurang-kurangnya melengahkan sebarang cubaan untuk mencurinya, terdapat beberapa cara yang boleh digunakan oleh pemilik motosikal seperti menggunakan nat angkup yang dikhususkan atau dikenali sebagai ‘thread locker’. Teruskan kekal setia bersama kami dan kami akan bawakan artikel tentang bagaimana untuk melindungi kelengkapan motosikal daripada dicuri.

Buat sementara waktu, ambillah langkah berjaga-jaga dengan memarkir motosikal anda di tempat yang cerah dan dipenuhi orang ramai. Anda tidaklah perlu berasa paranoid namun pastikan yang anda berjaga-jaga bagi menghindari sebarang cubaan mencuri motosikal anda.

Angkup hadapan ByBre dicuri dari sebuah motosikal Modenas Pulsar RS200.. Sayu sungguh rasanya hati ini.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.