Moto3: Juanfran Guevara Umumkan Persaraan Pada Usia 22 Tahun

  • Penunggang Moto3, Juanfran Guevara, dengan secara rasminya mengumumkan persaraannya daripada dunia perlumbaan motosikal.
  • Keputusan ini telah diambil disebabkan tekanan yang dihadapi berkaitan perlumbaan motosikal dan penajaan yang diperlukan bagi meneruskan usahanya itu.
  • Penunggang berusia 22 tahun dari Sepanyol itu telah memutuskan untuk menumpukan perhatian pada kerjayanya dalam perniagaan dan menyambung pelajaran.

Salah seorang penunggang Moto3 ternama dunia telah membuat keputusan untuk bersara dari sukan perlumbaan motosikal pada awal hari ini.Penunggang berusia 22 tahun, Juanfran Guevara, telah membuat pengumuman itu melalui sebuah hebahan rasmi yang telah dikeluarkan hari ini walaupun dia masih lagi dalam senarai penyertaan sementara bagi tahun 2018 bersama dengan pasukan semasanya, RBA BOE Racing KTM.

Ianya satu berita yang mendukacitakan, memandangkan yang dia baru sahaja menyertai siri perlumbaan Moto3 untuk satu musim sahaja dan telah menamatkan musim berkenaan di kedudukan keseluruhan ke-11 yang amat membanggakan bagi seorang penunggang rookie. Oleh kerana tekanan yang dihadapi dalam persaingan di tahap tertinggi perlumbaan motosikal digandingkan pula dengan kesukaran untuk mendapatkan tajaan telah menyebabkan Guevara untuk membuat keputusan sedemikian. Hebahan akhbar rasmi tersebut boleh dibaca di bawah.

“Ianya satu keputusan yang telah difikirkan berkali-kali dan sukar untuk dilakukan yang telah saya ambil dengan bantuan, yang terutamanya, dari keluarga saya, para pengarah suruhanjaya Kelab Peminat dan beberapa penaja utama yang telah menyokong saya buat sekian lamanya. Minat saya tehadap dunia permotosikalan tidak berubah langsung, tetapi atas sebab-sebab ekonomi yang berlainan, dan terutamanya dari segi peribadi, telah menjurus kepada keputusan yang tidak dapat diubah ini.

Saya telah memutuskan untuk memberi tumpuan pada kerjaya saya dalam dunia perniagaan, pembelajaran yang telah saya gabungkan bertahun lamanya sewaktu saya berlumba dalam siri Motorcycle World Championship. Telah tiba satu masa di mana saya percaya dengan cara ini saya akan mampu berkembang sebagai seorang indan dan juga menumpukan lebih banyak masa untuk pelbagai projek yang berbeza yang telah saya bangunkan sejak beberapa tahun yang lalu dan sehingga kini saya tidak dapat membahagikan masa yang sepatutnya.

Semua orang yang ada dalam dunia perlumbaan motosikal ini tahu segala-gala yang perlu dikorbankan bagi memberikan 100% di atas litar. Saya ingin menumpukan lebih masa untuk keluarga dan memperoleh semula, dengan cara tertentu, rakan taulan dan orang yang telah saya abaikan.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada RBA-BOÉ Racing Team atas kesefahaman mereka dan saya ingin mengucapkan selamat maju jaya untuk musim yang akan datang dalam Motocycle World Championship. Terima kasih atas sokongan dan kerana telah memberi kepercayaan kepada saya buat selama ini.

Juga terima kasih kepada TeaMMurcia kerana berada di samping saya dari detik pertama dan menjaga pengurusan saya dari mula hingga sekarang. Terima kasih kepada semua penaja yang telah memberikan kepercayaan mereka kepada saya sejak permulaan kerjaya saya sebagai pengemudi dalam Regional Championship of the Region of Murcia, mengumpul lebih daripada 40 podium dalam kejohanan kebangsaan, mendapat tempat kedua dan Kejohanan Eropah dan membawa nama saya merentasi benua yang berbeza dengan siri perlumbaan Motorcycle World Championship, menggapai impian seperti memanjat anak tangga podium MotoGP.

Akhir sekali, dan bagi saya yang paling utama, anda semua peminat yang telah memakai nombor 58 di ke semua litar sebagai tanda sokongan. Kelab Peminat akan terus menjadi sebahagian daripada diri saya untuk sepanjang hayat saya. Andalah punca mengapa saya perlu memikirkan semasak-masaknya mengenai keputusan ini. Tiada kata yang mencukupi bagi meluahkan betapa berterima kasihnya saya kepada anda semua untuk segala-galanya.

Saya akhiri satu babak dalam hidup saya yang telah membawakan pelbagai detik, dan, lebih daripada itu, insan-insan hebat yang tidak akan saya lupakan. Buat anda semua, ibu bapa saya dan Miguel, TERIMA KASIH.”

Selamat maju jaya untuk usaha anda yang akan datang, Juanfran!

Sumber imej: MotoGP

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.