Tunggang Uji Moto Guzzi V7 III Stone Dan Moto Guzzi V9 Roamer

 

  • Motosikal Moto Guzzi V9 Roamer dan V7 III Stone melengkapkan lagi rangkaian motosikal Guzzi.
  • Moto Guzzi mengelaskan V9 Roamer sebagai sebuah motosikal buatan khas, dengan rekaan yang mengimbau kembali motosikal tahun 70-an.
  • Motosikal V7 III Stone menjadi asas bagi pengkhususan.

Moto Guzzi adalah sebuah jenama legenda dari Itali sejak tahun 1912, tetapi setelah beberapa kali menghadapi masalah di sepanjang sejarahnya itu telah meninggalkan tanggapan yang jenama itu mempunyai masalah konsistensi. Kebangkitan semula jenama Moto Guzzi baru-baru ini merupakan hasil usaha pengedar rasmi baru mereka, The Gasket Alley, yang telah mempertingkatkan lagi usaha pemasaran dan perkhidmatan selepas jualan mereka.

Walau bagaimana pun, setelah menunggang salah sebuah motosikal Moto Guzzi hanya untuk beberapa jam, Saya tidak pasti apa yang boleh saya jangkakan daripada kedua-dua buah motosikal ini: V9 Roamer dan V7 III Stone.

Apabila Sep dan saya pergi mendapatkan motosikal-motosikal ini, kedua-duanya mempunyai rupa paras moden klasik yang tulen, tetapi, saya lebih tertarik dengan V9 Roamer yang lengkap dengan pelbagai kemasan kroma yang diimbangkan dengan bahagian-bahagin berwarna hitam beranod dan kemasan warna kuningnya itu. Ia tampak saling tidak tumpah seperti motosikal standard tahun 70-an. Rupa parasnya sahaja yang tampak klasik, kerana enjin ‘V-Twin’ 90-darjah, 2-injap, 853cc-nya itu serba baru.

Sep pula lebih menggemari V7 III Stone yang tampak lebih ‘maskulin’ dengan tangki bahanapinya yang lebih berkotak, serta sisi mengepak di atas silinder, tanpa kroma dan tangki berwarna kuning. Dari satu sudut, motosikal V7 III Stone mempunyai rupa paras yang amat sederhana, tidak syak lagi kerana ianya sebuah model untuk pengkhususan tambahan (terdapat ratusan barangan dalam katalog “Spark” MG). Gelaran “III”-nya itu membawa makna yang ianya adalah generasi yang ke-tiga V7, diilhamkan daripada V7 Sport 1971. Motosikal V7 ini telah dirombak semula dengan pelbagai pengemaskinian, termasuklah penambahan kuasa enjin sebanyak 10%.

Kedua-dua buah motosikal ini kini bercirikan ABS dan MGTC (Moto Guzzi Traction Control).

Menolak kedua-dua buah motosikal ini di sekitar lot parkir The Gasket Alley mendedahkan yang kedua-dua motosikal ini ringan. Lebih-lebih lagi apabila kami menaikinya. Pelananya rendah dan kami berdua dapat meletakkan kedua-dua belah kaki ke atas tanah dengan mudah.

Palang pemegang V9 Roamer telah dipaut di atas sebuah ‘riser’ dan dirapatkan ke arah penunggang. Untuk V7 pula ianya lebih rata bagi memberikan aura sebuah cafe racer.

Apabila saya mencapai butang penghidup pada V9 itu, saya dapati yang ‘switchgear’-nya mempunyai rekaan yang baru, yang dihiaskan dengan garis bentuk aluminium diberus, sama seperti yang terdapat pada model California. Motosikal V7 pula menggunakan ‘switchgear’ konvensional.

Kedua-dua motosikal ini dihidupkan dengan mudah sewaktu butang penghidupnya ditekan, dengan ngauman enjin V-Twin 90-darjah serta motosikal itu ‘menendang’ ke arah kanan pada masa yang sama. Begitulah sifat enjin twin yang dipaut melintang (kedua-dua silinder tertonjol keluar ke sisi, dan bukannya terletak kemas di dalam kerangka), kerana aci engkolnya yang membujur selari dengan paksi kerangka. Sebaliknya, enjin V-Twin yang dipaut secara membujur (Harley, Ducati, dan lain-lain) mempunyai aci engkol yang melintangi kerangkanya, dan dengan ini, kerangkanya itu meredam getaran tambahan aci engkol berkenaan.

Seperti mana-mana tatarajah enjin Moto Guzzi, transmisinya dipaut terus ke belakang ‘crankcase’ (seperti enjin Boxer-Twin BMW), walau bagaimana pun, klac kering tunggal Moto Guzzi berada di belakang transmisi dan bukannya terletak di bahagian tengah di antara kedua-dua bahagian berkenaan. Agihan kuasa ke roda belakangnya menggunakan pacuan terakhir gandar untuk enjin Twin melintang.

Aturan sebegini membolehkan pusat graviti yang lebih rendah kerana bahagian-bahagian yang berat terletak lebih rendah dekat dengan tanah, berbanding tatarajah enjin di mana transmisinya ‘disusun’ di atas alternator (walaupun ianya lebih padat).

Walau bagaimana pun, dengan serta merta, motosikal V9 Roamer ini telah menunjukkan kebolehpanduan yang agak baik walaupun mempunyai tayar 19 inci di bahagian hadapan dan 16 inci di bahagian belakang. Selain itu, menyelusup di antara lalulintas cukup mudah kerana motosikal ini agak ramping. Satu-satunya rungutan saya mengenainya di dalam lalulintas adalah bunyi ekzosnya yang agak halus bagi mematuhi standard emisi Euro4. Rasanya penulis tidak perlu lagi memberitahu anda yang sesetengah pemandu kereta di Kuala Lumpur agak lalai ketika memandu, jadi bunyi ekzos yang kuat adalah salah satu cara untuk mendapatkan perhatian mereka melainkan anda lebih gemar membunyikan hon anda sepanjang masa.

 

Suspensi bagi kedua-dua motosikal ini lembut pada awalnya tetapi ianya perlu berkerja dengan lebih keras apabila bertemu dengan bonggol yang tinggi atau lubang yang dalam. Namun begitu, ianya masih lebih baik berbanding dengan pendahulunya.

Di atas lebuhraya, motosikal V9 Roamer ini bergerak dengan lancar kerana penggearannya yang lebih tinggi – ianya bukan kerana enjinnya kurang kuasa – transmisinya sudah pun dalam ‘overdrive’ pada gear kelima, manakala gear keenamnya pula mempunyai ‘overdrive’ yang lebih tinggi. Ianya sudah pasti sebuah motosikal untuk persiaran santai.

Motosikal V7 pula, terasa lebih bersemangat dengan penggearannya yang lebih pendek, yang bermakna ianya akan terus mendesak sepanjang masa. Bak kata Sep, “motosikal V7 terasa lebih seperti sebuah motosikal hooligan.” Dan ianya bertepatan sekali, kerana motosikal Stone ini adalah salah satu variasi dalam keluarga V7 III, yang mana motosikal V7 III Racer juga merupakan ahlinya.

Motosikal buatan Itali cukup terkenal untuk pengendaliannya, tetapi lain pula untuk kedua-dua motosikal ini. Namun ianya bukan kerana motosikal ini sendiri, tetapi kerana tayar standardnya, Pirelli Sport Demon. Saya pernah mengalami masalah yang sama pada motosikal uji yang lain. Tayar-tayar ini cukup hebat pada jalan yang lurus tetapi dinding sisinya melentur bagai bebola stress getah sewaktu mengambil selekoh, menyebabkan motosikal berkenaan terhuyung-hayang. Ia juga telah menyebabkan tayar hadapan 19 inci V9 Roamer untuk bergerak lebih perlahan memasuki selekoh. Saya risaukan pengguna yang tidak tahu mengenai masalah tayar Sport Demon ini akan menyalahkan motosikal berkenaan.

Walau bagaimana pun, motosikal V7 III Stone juga bukan calang-calang motosikal sewaktu kami memecut laju di atas lebuhraya. Dengan posisi duduk yang lebih ‘sporty’, penunggang lebih yakin untuk memecut dengan laju. Motosikal V9 pula, lebih gemar untuk ditunggang secara santai dan bersahaja. Ingatkah lagi anda mengenai daya kilas aci engkol yang menendangnya ke satu sisi? Ianya hilang sama sekali sebaik sahaja kami bergerak dan enjinnya terus menjadi benar-benar lancar.

Kami mengambil laluan yang berbeza ke Kuala Kubu Bharu untuk sesi penggambaran dan walaupun laluan ini mempunyai banyak selekoh yang menarik, sesetengah bahagiannya agak beralun, tetapi bonggolan-bonggolan ini telah ditangani jauh lebih baik, asalkan ianya tidak tajam, di mana jika ini adalah motosikal yang terdahulu, saya sudah sedia untuk menuju ke tukang urut sebaik sahaja menuruni motosikal berkenaan.

Kami juga dapati yang tidak adanya sebarang ‘shaft jacking’ walaupun ianya tidak mempunyai lengan tambahan, seperti aturcara CARC Moto Guzzi. Terma ‘shaft jacking’ ini membawa maksud motosikal ini menaik ke atas disebabkan oleh daya kilas engkol sewaktu kuasa dikenakan pada roda belakangnya.

Sebaik sahaja tamatnya empat hari bersama motosikal-motosikal ini, kami dapati yang kami menyukai kedua-dua buah motosikal ini seadanya. Ianya cukup berbeza dari motosikal-motosikal lain di pasaran,jadi untuk membandingkannya dengan yang lain adalah tidak adil sama sekali. Tarikan kedua-dua motosikal ini terletak pada betapa mudahnya untuk menungganginya, dengan jiwa yang terbit hanya dari enjin V-Twin yang dipaut secara melintang. Selain itu, tidak banyak motosikal Guzzi yang berada di atas jalan raya kita jadi anda sudah pasti akan mencuri tumpuan sewaktu anda menunggangnya.

Jadi, yang mana satukah pilihan kami? Kita anggap sahaja seri. Keshy dan Sep lebih menggemari V7 III Stone kerana penampilan ringkasnya, manakala Chaz dan saya memilih V9 Roamer kerana rupa parasnya dan perwatakan lembutnya.

GALERI GAMBAR

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply