10 Perkara Yang Boleh Dijangka Dari Pengedar Harley-Davidson Baru Di Malaysia!

 

Nama Harley-Davidson telah kerap kali muncul dalam berita di Malaysia baru-baru ini. Jenama berlegenda dari Amerika Syarikat ini telah mengejutkan industri apabila ia mengumumkan perpisahannya dengan rakan kerjasama buat sekian lama, Naza Prestige Bikes Sdn. Bhd., dalam pencarian mereka untuk rakan kerjasama baru buat masa yang akan datang.

Menjenamakan semula dirinya dari Harley-Davidson of Kuala Lumpur ke Harley-Davidson of Petaling Jaya, jenama ini kini telah menemui sebuah rakan kerjasama yang baru, dan akan bertapak di The Gasket Alley, bertentangan dengan Jaya One.

Waktu-waktu yang mengujakan menanti buat jenama ini dengan sebuah bilik pameran yang serba baru yang akan dibuka secara rasmi pada bulan Januari nanti, fasiliti perkhidmatan bernilai RM1.5 juta yang mampu menyelenggara sehingga enam buah motosikal pada satu-satu masa, dan dengan sebuah pasukan penggiat industri berbakat yang baru dengan pengalaman dalam industri yang berdekad lamanya.

Baru-baru ini kami telah dijemput untuk satu sesi bual bicara bersama Johan Kleinsteuber (gambar di atas), Pengarah Urusan Harley-Davidson of Asia Emerging Markets yang bertapak di Singapura. Untuk tidak melepaskan peluang ini, kami telah duduk semeja dengan Johan dan rakan sekerjanya dari Singapura di sebuah bilik mesyuarat di The Gasket Alley.


Kami telah mengutarakan 10 soalan buat Johan dan dia telah menjawab ke semuanya, dan amat berminat untuk berkongsi rancangannya buat Malaysia, mengenai usaha mendekatkan diri mereka dengan pemilik motosikal ‘grey market’, yang merupakan segmen pemilik motosikal Harley yang sering diabaikan bertahun lamanya, malah sama ada kita akan dapat menyaksikan sebuah motosikal Harley-Davidson baru di bawah paras RM50,000. Di bawah adalah petikan daripada perbualan berkenaan:

Mengenai mengapa perlunya pengedar baru untuk Malaysia:
“Kami telah memutuskan untuk mengambil pendekatan yang baru di Malaysia, didorong oleh strategi Harley-Davidson untuk meningkatkan jumlah penunggang terutamanya melalui pengguna yang sedia ada beserta mendekati segmen pengguna baru. Dan kami telah memutuskan untuk merombak semula jaringan itu dan melantik pengedar-pengedar berasingan di seluruh negara, bagi membolehkan kami memberi perkhidmatan kepada pelanggan kami dan menjadikan jenama kami tersedia untuk segmen yang lebih luas. Inilah idea di sebaliknya dan ianya cara kami beroperasi di beberapa buah negara, yang bermakna sama ada sebuah pengedar atau pun mungkin sekali beberapa buah kedai pengedar yang dimiliki oleh pengedar yang berbeza.”

Apakah yang akan berubah untuk Harley-Davidson di Malaysia?
“Sekiranya anda ada membaca strategi 10 tahun kami, kami ada rancangan yang besar untuk 10 tahun yang akan datang. Kami akan melancarkan 100 produk yang baru di seluruh dunia. Kami sedang merancang untuk mengembangkan jumlah produk antarabangsa kami sehingga 50%. Dan oleh kerana itu, kami perlu melakukan pengembangan jaringan bagi menjadikan jenama ini lebih mudah diperolehi dan mendekati pengguna di mana mereka berada. Malaysia, dalam konteks Asia, memainkan peranan penting dalam usaha ini bagi Harley-Davidson.”

“Kami telah berada di Malaysia sejak tahun 2008 lagi, kami telah membina sebuah ikutan penunggang Harley-Davidson yang amat berdedikasi, dan jenama ini teramatlah popular di Malaysia dan dari apa yang dapat kami lihat, jenama ini adalah salah satu di antara jenama paling popular di rantau ini, dan kami ingin mengambil kesempatan di atas fakta ini dengan mendekati para pengguna kami dan memberikan mereka akses kepada jenama dan gaya hidup yang berkait rapat dengan jenama serta produknya.”

Mengenai apa yang boleh diharapkan oleh pemilik Harley-Davidson dalam 2-3 tahun yang akan datang:
“Ianya sedah pasti satu jangka masa yang mengujakan di Malaysia ketika kami mengembangkan jaringan ini. Anda pasti sudah sedia maklum akan fasiliti terbaru di Petaling Jaya. Kami akan memulakan operasi perkhidmatan penyelenggaraan di Malaysia pada hujung minggu ini. Pemilik Harley-Davidson akan boleh mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan bagi motosikal mereka di sini (di pusat khidmat penyelenggaraan di The Gasket Alley) bermula hujung minggu ini. Kaki tangan perkhidmatan yang terlatih dan berdedikasi sedia menangani segala isu mahu pun masalah yang mungkin dihadapi pemilik berkaitan motosikal mereka. Kami menanti-nantikan kehadiran pemilik Harley-Davidson, dan pelan kami adalah untuk mengembangkan jaringan pada tahun hadapan, jadi kami sedang mencari dua pengedar tambahan, satu di Pulau Pinang dan satu di Melaka. Kami akan terus menilai di mana adanya peluang bagi mendekati para pelanggan kami. Tanpa menyebut sebarang lokasi tertentu, terdapat usul perniagaan yang sedang berjalan dan di mana kami lihat adanya peluang, kami akan memulakan tugas kami. Dan digandingkan pula dengan produk terbaru yang kami akan lancarkan, MY18 Softail dan CVO, dan saya sarankan rangkaian motosikal Softail terbaru, ianya rangkaian produk yang mengagumkandan diterima dengan hebat sekali. Saya baru tiba dari Bangkok Motor Expo dan kami telah melakukan pelancaran dengan jayanya di sana juga, kami benar-benar teruja mengenainya. Ketika dan apabila kami menawarkan produk baru, lokasi baru, kami akan hebahkan ke seberapa ramai orang yang boleh dan akan memperkenalkan kepada mereka gaya hidup, komuniti HOG, menyertai acara-acara dan ianya akan berlangsung dalam masa yang terdekat.”

Adakah rangkaian penuh model Harley-Davidson akan ditawarkan bagi pengguna di Malaysia?
“Kami sedang dalam usaha untuk membawa masuk rangkaian penuh model bermula dengan MY18 Softail dan juga motosikal-motosikal CVO. Rancangannya adalah untuk menjadikan rangkaian penuh ini boleh didapati untuk pasaran. Saya percaya dari perspektif model tertentu yang ianya lebih kepada permintaan pengguna, kami akan memberikan kepada pengguna apa yang mereka inginkan.”

Mengenai perkhidmatan selepas jualan yang akan dipertingkatkan dan mendekati pemilik ‘grey import’ dan motosikal terpakai:
“Apa yang boleh saya katakan adalah pemilik (motosikal ‘grey import’) perlu menghubungi pengedar bagi mengetahui sama ada motosikal mereka boleh diselenggara di situ. Secara peribadi saya akan menggalakkan pemilik ‘grey market’ untuk mengunjungi bengkel yang disahkan. Saya sendiri adalah seorang penunggang dan saya sentiasa akan mahukan motosikal saya dalam keadaan yang sebaik mungkin kerana yang paling penting sekali sudah mestinya keselamatan. Kaki tangan pengedar kami ke semuanya terlatih sepenuhnya. Mereka telah menjalani keseluruhan proses latihan dan menghadiri Harley-Davidson Universiti di Bangkok, jadi, mereka dijamin akan menyediakan perkhidmatan pada tahap kualiti yang tertinggi. Secara dasarnya, inilah apa yang kami ingin bawakan kepada pengguna kami, untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman pemilikan sepenuhnya.”

Mengenai pengkhususan Harley-Davidson dan sama ada rangkaian penuh kelengkapan tambahan akan disediakan:
“Kami mempunyai katalog sebanyak 10,000 bahagian serta aksesori yang berbeza untuk motosikal kami. Matlamat kami adalah untuk memberikan kepada pelanggan kami rangkaian penuh produk ini. Saya percaya yang terbaik adalah untuk para pengguna mendekati pengedar bagi mendapatkan bahagian yang tertentu dan membolehkan mereka mengubahsuai motosikal mengikut keinginan mereka. Kerana, secara asasnya, sebuah Harley adalah cermin personaliti pemiliknya sendiri dan ianya sesuatu yang ketaranya kami galakkan.”

Sokongan terhadap Harley Owners Group dan apa yang akan berbeza berbanding sebelum ini:
“Sejak 22 September tahun ini ke semua ‘chapter’ HOG di Malaysia didokong oleh jenama berkenaan di peringkat ibu pejabat. Ketika kami membuka lebih banyak pengedar ini, kami akan menangani dan menyelesaikan isu-isu ini dan mencari kata sepakat mengenai ‘chapter-chapter’ ini. Ianya sebuah tugas yang masih berjalan.”

Adakah kita akan dapat menyaksikan kemunculan sebuah Harley Davidson di bawah paras RM50,000 dalam masa yang terdekat?
“Kami sedang dalam proses membina sebuah fasiliti pemasangan di Rayong, Thailand dan ianya akan mula beroperasi menjelang hujung tahun 2018. Sebuah kilang seperti ini akan memberikan kami satu peluang untuk menjadikan jenama lebih mudah dimiliki di seluruh rantau Asia dan kepada lebih ramai pengguna. Asia secara amnya mempunyai golongan kelas pertengahan yang sedang berkembang pesat dengan pendapatan yang boleh digunakan, ianya satu peluang yang baik untuk Harley-Davidson.”

Secara khususnya, sebuah motosikal di bawah paras RM50,000 atau ianya dari rangkaian model yang mana satu, kami masih lagi merungkai pelan permintaan dan melihat pada keseluruhan senario. Jadi, pada tahap ini, ianya masih terlalu awal untuk diperkatakan. Walau bagaimana pun, motosikal Street 750 dan Street Rod akan terus dipasang di India.”

Apakah salah satu perkara yang akan berubah untuk Harley-Davidson di Malaysia?
“Kami telah berkerjasama selama 10 tahun dengan Naza dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka di atas komitmen untuk menjadikan jenama Harley-Davidson mudah dimiliki di Malaysia. bergerak maju ke hadapan kami percaya yang kami mempunyai sebuah peluang untuk menjadikan jenama ini lebih mudah untuk dimiliki buat para pengguna di Malaysia. Dan untuk benar-benar membawa gaya hidup jenama ini ke dalam lebih banyak segmen yang buat masa ini tidak dikaitkan dengan Harley-Davidson. Secara dasarnya, matlamat utama kami adalah untuk menjadikan jenama ini lebih mudah dimiliki dan meningkatkan bilangan penunggang. Kami ingin mempelawa semua orang yang ingin menjadi sebahagian daripada gaya hidup ini. Sama ada ianya melalui acara-acara atau barang dagangan atau pun sama ada melalui motosikal. Dari segi itu, Harley-Davidson ada banyak yang ingin ditawarkan kepada semua orang. Kami ingin menjadi lebih mudah dimiliki. Sekiranya ada satu perkara yang akan berubah untuk Harley-Davidson di Malaysia, ianya adalah kemudahmilikan dan interaksi pada tahap lebih tinggi bersama pemilik di Malaysia.”

Satu pesanan buat pemilik Harley-Davidson di Malaysia:
“Buat pemilik Harley-Davidson dan bakal pemilik, teruskan kekal setia untuk perkembangan terkini kerana kami mempunyai rancangan yang hebat untuk Malaysia dan berharap untuk berjumpa dengan anda semua di kedai pengedar kami yang sedia ada dan yang akan datang. Jumpa anda di sana.”

 

Leave a Reply