KTM Akan Memulakan Pengilangan Motosikal Husqvarna Di India Menjelang 2020

 

  • Motosikal KTM yang telah dikilangkan di India oleh Bajaj Auto akan mula menghasilkan motosikal Husqvarna menjelang tahun 2020.
  • Kilang yang terletak di Chakan ini telah mengilangkan lebih daripada 100,000 unit motosikal KTM terutamanya motosikal 125 Duke, 390 Duke RC125 dan RC 390.
  • Bajaj merancang untuk menggandakan jumlah itu apabila mereka mula menghasilkan rangkaian motosikal Husqvarna 401 2017 yang telah dinanti-nantikan menjelang akhir tahun 2019.

 

Pengeluar motosikal terkemuka dari Austria, KTM, mempunyai hasrat yang besar bagi tahun 2020 yang melibatkan penguasaan global sepenuhnya dengan bantuan Bajaj Auto dari India. Sebahagian daripada rancangan mereka itu adalah untuk mula menghasilkan motosikal Husqvarna di kilang pengeluaran di Chakan menjelang akhir tahun 2019.

Rancangan ini telah pun diumumkan pada awal tahun ini sekitar bulan Julai yang lalu dan telah pun disahkan oleh semua pihak yang terlibat. Dengan rangkaian pengeluaran yang telah pun menghasilkan lebih daripada 100,00 unit motosikal KTM 125 Duke, 390 Duke, RC125 dan RC390, KTM bersama dengan bantuan daripada Bajaj berhasrat untuk menggandakan jumlah itu dengan pengenalan jenama dari negara Scandinavia berkenaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KTM, Stefan Pierer, “Ianya telah dipersetujui dan ia (motosikal Husqvarna) akan dilancarkan di India pada tahun 2020. Ini bermakna menjelang hujung tahun 2019 pengilangannya perlu bermula di Chakan.”

Jadi, model Husqvarna yang manakah telah mereka rancang untuk dikilangkan? Menurut KTM, kilang di India itu akan menumpukan kepada motosikal jalan raya bermula dari 125cc ke atas, serta, ia juga akan menghasilkan motosikal-motosikal yang telah ditunggu-tunggu oleh kita semua. Motosikal-motosikal ini adalah tidak lain dan tidak bukan, Husqvarna 401 Vitpilen 2017, atau lebih dikenali sebagai “White Arrow”, dan Husqvarna 401 Svartpilen 2017, juga dikenali sebagai “Black Arrow”.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai motosikal Husqvarna 401 Vitpilen dan Svartpilen, TEKAN SINI.

Lebih daripada 40,000 unit motosikal KTM telah dijual untuk pasaran India sahaja, dan mereka bakal mencecah jumlah 50,000 menjelang hujung tahun 2017. Jumlah ini secara rasminya telah menjadikan India sebagai pasaran terbesar semasa untuk jenama tersohor dar Austria itu.

Masih ingat lagikah anda akan kenyataan kami yang KTM telah bersedia untuk menakluki dunia? Ini kerana satu bahagian daripada rancangan utama mereka adalah untuk mengedarkan motosikal jalan raya mereka ke negara-negara utama di benua Afrika seperti Ghana, Uganda, dan Ethiopia yang sudah pun meyaksikan kehadiran motosikal Bajaj di atas jalan raya mereka. Dengan rangkaian pengedaran yang telah sedia ada, apa yang perlu dilakukan oleh KTM adalah memeterai segalanya dengan Bajaj bagi memulakan langkahnya itu.

Dengan kerjasama antara jenama gergasi dari Austria dan Husqvarna serta sokongan daripada salah sebuah pengeluar motosikal terbesar di dunia, KTM pasti akan meriuhkan lagi suasana. Suasana yang akan dipenuhi dengan pelbagai motosikal yang menakjubkan.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kerjasama pengeluaran di antara KTM, Husqvarna, dan Bajaj, TEKAN SINI.

 

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]