Cara-Cara Meredah Banjir Kilat

Sumber imej: Visordown

Artikel oleh: Wahid Ooi Abdullah

  • Di sini kami senaraikan beberapa tips bagaimana untuk menunggang meredahi banjir kilat (atau kawasan air dalam).
  • Peraturan yang paling utama adalah bergerak dengan perlahan.
  • Kawalan pendikit dan tenang menghadapi rintangan juga sangat penting.

Cuaca pada akhir-akhir ini amat tidak menentu di sekitar Lembah Klang. Harinya sering kali bermula dengan keterikan pancaran matahari dan panas yang membahang, kemudiannya disusuli dengan hujan lebat yang turun secara tiba-tiba. Sekiranya hujan yang lebat itu berterusan melebihi dua jam, kita berkemungkinan sekali akan menghadapi banjir kilat.

Sumber imej: Astro Awani

Walaupun ianya paling selamat sekali untuk hanya menunggu hujan reda daripada meredah hujan yang turun dan juga jalan-jalan yang telah dibanjiri, kadang kala kita tidak dapat menghindarinya, terutamanya sekitar kawasan yang sering banjir di mana jalan-jalannya tetap dilimpahi air setelah hujan berhenti.

Di sini kami senaraikan tips untuk menunggang meredahi banjir kilat (dan juga lopak air yang dalam).

1. Berhenti dan Periksa

Ianya sama seperti penunggangan kembara. Seorang penunggang kembara yang berpengalaman tidak akan meredah dengan melulu melalui kawasan air yang tidak diketahui tanpa memeriksanya dahulu, memeriksa kedalamannya, laluan merentasi air, dan laluan keluar di seberang sana.

Namun, anda tidaklah perlu menuruni motosikal anda dan berjalan meredah banjir di atas jalan yang anda lalui setiap hari. Walau bagaimanapun, anda perlu berhenti dan perhatikan keadaan. Sekiranya ada kenderaan yang lain yang sedang meredah laluan ditenggelami air itu, perhatikan setakat manakah kedalamannya. Perhatikan sama ada terdapatnya arus air yang deras dari satu sisi jalan ke sisi yang lain.

Sekiranya airnya terlalu dalam atau pun arusnya terlalu deras, lebih baik anda berhenti.

Dan sekiranya anda tidak mengetahui lokasi masukan udara enjin anda, kini adalah masa yang baik untuk mengetahuinya.

2. Berdiri

Menunggang meredahi banjir ini tiada bezanya dengan menunggang merentasi sungai semasa penunggangan kembara, jadi, berdirilah bagi merendahkan lagi pusat graviti motosikal anda. Pusat graviti yang lebih rendah menyumbangkan kestabilan kelajuan rendah yang lebih baik, yang bermakna semakin kurang kemungkinan anda hilang imbangan sewaktu anda bergerak pada kelajuan 10 hingga 20km/j.

Sumber imej: twistedthrottle
3. Bergerak Dengan Perlahan dan Lurus

Ianya tidak perlu diperkatakan lagi.

Membuat percikan air yang besar mungkin nampak hebat dalam gambar, tetapi ianya bukanlah amalan yang baik dalam keadaan sebenar. Meredah banjir pada kelajuan tinggi berkemungkinan sekali menyebabkan air itu bertindak sebagai hadangan cecair. Motosikal anda mungkin mampu meredah beberapa meter yang pertama, dan kemudian bertindak bagaikan ia bertembung dengan sebuah dinding cecair, menyebabkannya berhenti dengan tiba-tiba dan menyebabkan penunggang hilang kawalan (dan mungkin sekali, terbabas atau terjatuh).

Mereka perlu bergerak dengan lebih perlahan daripada ini (Sumber imej: thestar)

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kekalkan kelajuan anda serendah yang anda mampu dan pastikan belahan airnya tidak melepasi ketinggian masukan udara enjin. Ingat, anda sedang
menunggang motosikal, bukannya sebuah jetski.

Hindari dari berada di bahagian tepi jalan dan tungganglah di tengah-tengah laluan.

4. Teruskan Bergerak

Jangan anda tarik tuil klac atau lepaskan terus pulasan pendikit anda.

Kekalkan pulasan pendikit yang stabil dan dan kelajuan dalam gear semasa anda, walaupun anda terasa hentakan pada tayar yang terlanggar sesuatu di dalam air. Malah, anda patut pulas pendikit anda lebih sedikit sekiranya ianya berlaku.

Sumber imej: Visordown

Kurangkan pulasan pendikit anda sekiranya anda perlu memerlahankan lagi motosikal anda dan jangan gunakan brek.

5. Keluar Dari Banjir

Jangan anda terus memulas pendikit anda sebaik sahaja melepasi kawasan yang ditenggelami air. Anda boleh menambah kelajuan secara berperingkat, tetapi, janganlah anda memulas semahunya pendikit anda. Berikan sedikit masa bagi segala air, dan puing yang dikutip oleh motosikal anda untuk ‘tertanggal’.

Selain itu, dengan motosikal anda masih bergerak, tarik tuil brek dengan perlahan bagi membersihkannya.

Sumber imej: ultimatemotorcycling
6. Matikannya!

Tetapi, bagaimana pula sekiranya anda terlanggar, sebagai contoh, sebuah lubang, dan motosikal anda terjatuh?

Pastikan anda mematikan enjin motosikal anda sebelum anda merebahkannya di dalam air. Anda berkemungkinan sekali mempunyai masa yang mencukupi untuk melakukannya, kerana anda menunggang pada kelajuan yang rendah, bukan? Walau apapun, enjinnya perlulah dimatikan dengan sesegera yang mungkin.

Sumber imej: smugsmug

Sebuah enjin pembakaran dalaman secara asasnya adalah sebuah pam udara yang menyedut masuk udara, menambahkan bahanapi, memampatkan adunan tersebut dan membakarnya. Air tidak akan mampat dan terbakar, dan sekiranya ianya memasuki enjin, ia pasti akan menyebabkan kerosakan enjin yang teruk.

Jangan anda terus cuba untuk menghidupkan motosikal yang telah terbaring di dalam air. Tindakan sepatutnya adalah, anda perlu mencabut palam pencucuh dan penutup kotak udara bagi memeriksa sekiranya ianya dimasuki air. Sekiranya terminal palam pencucuh itu basah, jangan pasangnya dahulu, tetapi, tekan butang penghidup motosikal dan pulas penghidupnya beberapa kali bagi menolak air keluar dari kamar pembakarannya.

Pasang semula setelah ianya cukup kering.

Kesimpulan

Menunggang meredahi banjir bukanlah satu perkara yang sukar namun anda perlu melakukannya dengan cermat dan secara logik. Jika diikut langkah-langkah di atas, anda sudah pasti akan sampai ke destinasi anda lebih awal daripada pemandu kereta, dan bukannya termangu menunggu hujan reda.

Anggaplah ia sebagai sebuah penunggangan kembara dalam bandar.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]