ads

Tunggangan Amal Pink October Charity Ride 2017

  • Tunggangan amal Pink October Charity Ride 2017 telah pun berlangsung dengan lancar sekali pada hari Sabtu yang lalu.
  • Tunggangan ini adalah bersempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang jatuh pada bulan Oktober.
  • Kira-kira 200 orang peserta telah menyertai tunggangan ini.

Dianjurkan oleh Kelab Motor Hawa dan Ipoh Road Clan bersama dengan sokongan Yayasan Kanser Malaysia, dan setelah selesainya tunggangan Distinguished Gentlemen’s Ride (DGR) pada bulan lalu, tunggangan amal Pink October Charity Ride (POCR) 2017 telah berlangsung dengan hebat sekali pada hari Sabtu yang lalu.

Di mana DGR ingin meningkatkan kesedaran terhadap kanser prostat di kalangan lelaki, objektif POCR adalah sebuah kempen bagi menyorotkan tumpuan kepada kajian kanser payudara.

Kira-kira 200 orang peserta telah berkumpul di halaman Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia bagi acara perlepasannya.

Sewaktu menantikan permulaannya itu, dapat disaksikan pelbagai jenis motosikal yang ada: Dari motosikal moped dan skuter, motosikal standard, motosikal lumba ‘naked‘, motosikal ‘adventure-tourer‘, hinggakan ke motosikal superbike 1000cc; selain daripada segerombolan motosikal buatan khas serta motosikal cafe racer – termasuklah “Puting Beliung” yang cukup terkenal di kalangan penggemar motosikal negara.

Para peserta telah disediakan dengan baju-T berwarna putih dengan tulisan “Pink October Charity Ride” yang terhias pada bahagian belakang, tampalan dan juga stiker. Mereka juga boleh memberi derma kepada Yayasan Kanser Malaysia.

Apabila semakin ramai penunggang tiba, sama ada yang tua serta muda, tampak jelas sekali ianya bukan satu tunggangan yang khusus buat para peserta wanita sahaja. Bilangan peserta lelaki hampir sama banyak dengan wanita. Ianya amat menggalakkan dan menggembirakan menyaksikan kedua-dua tunggangan amal Pink October Charity Ride serta DGR memecahkan benteng jantina, walaupun kedua-dua konvoi berkenaan bertujuan bagi meningkatkan kesedaran khusus tentang penyakit yang menyerang jantina masing-masing.

Dan walaupun dengan politik kotor yang sering membangkitkan isu-isu agama dan bangsa, semua peserta menunggang bersama-sama untuk satu tujuan yang sama, tanpa mengira agama, bangsa dan status. Di mana lagi akan anda jumpa sebuah motosikal cafe racer 150cc seiringan dengan sebuah motosikal R 1200 GS? atau sebuah motosikal Triumph Street Twin bersebelahan dengan S 1000 RR?

Para peserta telah diberikan taklimat oleh Ketua Marsyal dan juga pengiring Polis Trafik Di-Raja Malaysia, sebelum mereka memulakan tunggangan.

Konvoi ini bergerak dengan rentak yang sekata sehinggalah ianya tiba di Naza Auto Mall di Petaling Jaya.

Terdapat cabutan bertuah dan juga sesi pembidaan helmet sepanjang hari berkenaan. Para peserta juga telah ditawarkan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Melihat pada kejayaan tunggangan amal Pink October Charity Ride 2017 ini, kami berharap yang acara ini akan diteruskan pada tahun-tahun yang mendatang dengan kehadiran lebih banyak peserta.

Leave a Reply