MotoGP: Tito Rabat Menandatangani Perjanjian Bersama Avintia Ducati Bagi Musim 2018

  • Tito Rabat bakal berpindah ke pasukan Reale Avintia Racing bagi musim MotoGP yang berikutnya pada tahun 2018.
  • Penunggang berusia 28 tahun yang berasal dari Sepanyol itu telah mengalami satu musim yang sukar setakat ini dengan pasukan semasanya, EG 0,0 Marc VDS di atas jentera Honda.
  • Rabat akan mengemudi jentera Ducati Desmosedici GP17 yang telah diperolehi Avintia Racing dari pasukan pengilang Ducati yang telah digunakan oleh Andrea Dovizioso.

Penunggang MotoGP semasa, Tito Rabat, telah menandatangani sebuah kontrak baru bersama pasukan Reale Avintia Racing bagi musim 2018. Selepas satu musim yang penuh dengan kesukaran dengan pasukan semasanya, Marc VDS, Juara Dunia Moto2 2014 itu akan berlumba di atas jentera Ducati Desmosedici GP17 bagi tahun 2018.

Menurut Tito Rabat sendiri, “Saya amat bergembira kerana telah menandatangani perjanjian bersam Reale Avintia Racing dan akan berlumba bersama Ducati bagi tahun 2018. Kini, saya mempunyai peluang untuk membuktikan yang saya mampu bersaing dalam siri MotoGP.”

“Saya akan berlumba dalam satu pasukan yang telah saya kenali sejak zaman saya masih kanak-kanak lagi dengan sebuah jentera yang saya fikirkan akan menepati saiz dan gaya saya dengan tepat sekali. Ianya satu peluang keemasan dan saya akan memanfaatkannya dengan sebaiknya. Saya akan bertarung dan berusaha sepenuh tenaga supaya saya berjaya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ducati dan Reale Avintia Racing kerana memberikan kepercayaan kepada saya.” Tambah penunggang berusia 28 tahun dari Sepanyol itu.

Menurut Raul Romero, Ketua Pegawai Eksekutif bagi Esponsorama, Rabat akan mengemudi jentera Ducati Desmosedici GP17 yang kini sedang berada di tangga teratas kejohanan dunia MotoGP 2017 yang dikemudi oleh Andrea Dovizioso.


Romero menyatakan bahawa “Saya amat yakin yang ianya bakal menjadi kemuncak kerjayanya dan kami akan mencapai keputusan yang amat
memberangsangkan bersama-sama Ducati. Tito adalah seorang penunggang yang sentiasa bekerja keras dan ini merupakan rahsia kejayaannya sebagai Juara Dunia Moto2. Musim hadapan dia akan menunggang sebuah Ducati Desmosedici GP17, sebuah motosikal yang berada di tangga teratas kejohanan bersama Dovizioso dan yang telah pun membuktikan ianya amat berdaya saing bagi tahun ini.”

Sumber: MotoGP

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply