MotoGP: Takaaki Nakagami Diumumkan Sebagai Penunggang Kedua LCR Honda Bagi Musim 2018

 

  • Takaaki Nakagami telah pun diumumkan sebagai penunggang terbaru yang akan menyertai MotoGP musim 2018 dan akan bersaing dengan pasukan LCR Honda.
  • Penunggang berusia 25 tahun dari Jepun itu telah menandatangani kontrak bagi tahun 2018 sebagai penunggang di bawah kontrak HRC dan akan bertanding di samping teman sepasukannya, Cal Crutchlow.
  • Dengan LCR Honda akhirnya telah berjaya mendapatkan tempat bagi penunggang keduanya, grid MotoGP kini telah muktamad dengan 24 orang penunggang.

 

Barisan penunggang MotoGP bagi musim 2018 semakin menarik nampaknya! Semalam, ianya telah diumumkan bahawa penunggang Moto2 semasa yang berasal dari Jepun, Takaaki Nakagami akan berhijrah ke peringkat MotoGP bagi musim 2018 sebagai penunggang kedua pasukan LCR Honda.

Penunggang berusia 25 tahun dari Wilayah Chiba, Jepun itu akan berlumba di samping teman sepasukannya yang baru yang juga merupakan penunggang tunggal bagi pasukan LCR Honda bagi musim 2017, Cal Crutchlow. Ini bermakna yang grid MotoGP akhirnya telah pun sudah penuh diisi dengan penunggang ke-24 dan terakhirnya apabila LCR Honda akhirnya berjaya mendapatkan Nakagami sebagai penunggang kedua pasukan itu.

Menurut Lucio Cecchinello, Ketua Pasukan LCR Honda, “Kami berasa sangat gembira kerana dapat mengesahkan Takaaki Nakagami sebagai ahli terbaru pasukan kami; pasukan yang akan terus berkembang dengan ahli kru dengan pengalaman yang sangat meluas. Projek ini, bersama-sama dengan projek semasa kami dengan Cal Crutchlow, menandakan tercapainya matlamat kesukanan kami.”

“Saya berasa benar-benar gembira, dan bagi pihak semua yang berada di LCR Honda Team, saya boleh katakan yang kami berasa teramat bermotivasi untuk bekerjasama dengan seorang penunggang rookie seperti Taka, kerana semenjak dia membuat kemunculan sulungnya sebagai penunggang muda dia telah menunjukkan potensi yang amat besar. Dari diri saya, pasukan, serta dari HRC kami akan memberikan sokongan yang sebaik boleh buat Takaaki bagi menghadapi cabaran yang seterusnya dalam kerjayanya.” Tambah Cecchinello.

Presiden Honda Racing Corporation (HRC), Yoshishige Nomura berkata “Nakagami akan meneruskan perjalanannya ke tahun 2018 sebagai penunggang kontrak HRC, dan dengan menggunakan semangatnya serta kemahiran menunggangnya ke tahap tertinggi, tidak syak lagi dia akan menjadi aspirasi buat generasi muda bukan sahaja di Jepun, malah di rantau Asia keseluruhannya. Saya percaya impiannya akan mendorongnya untuk menjadi seorang penunggang terunggul yang akan menarik perhatian ramai peminat.”

Penunggangnya sendiri, Nakagami,  juga turut meluahkan kata-kata bersemangat mengenai perjalanannya yang baru. “Sejak saya bermula dengan menunggang ‘pocket bike’ pada usia 4 tahun, saya telah mensasarkan untuk bertanding dengan yang terbaik dalam dunia. Peluang ini telah menjadi kenyataan atas jasa teman-teman serta para peminat.”

“Masih ada tujuh lagi perlumbaan Moto2 yang tinggal untuk musim ini, termasuklah Grand Prix Jepun. Saya akan menumpukan sepenuh perhatian pada perlumbaan-perlumbaan ini, dan pada masa yang sama menambahkan kemahiran yang saya perlukan untuk tahun hadapan. Saya berharap yang semua orang akan terus menyokong saya seperti mana yang telah mereka lakukan pada waktu ini.”

Teruskan kekal bersama MotoMalaya untuk perkembangan lanjut dari MotoGP.

Sumber: MotoGP

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]