ads

Kenstomoto Ju Racer – Motosikal Kawasaki ZX-10R Yang Bertukar Menjadi Jentera Litar Naked Muktamad

 

  • Bengkel Kenstomoto telah memperagakan ciptaan terbaru mereka semasa festival Art of Speed Malaysia 2017 iaitu Kenstomoto Ju racer, sebuah motosikal Kawasaki ZX-10R buatan khas penuh.
  • Si geliga di belakang tabir segala rekaan serta pembikinannya adalah tidak lain serta tidak bukan, Kenny Yeoh, pengasas Kenstomoto yang juga merupakan ahli Custom Cartel.
  • Hasilnya merupakan sebuah jentera litar yang amat menakjubkan yang telah memenangi beberapa anugerah di perhimpunan Art of Speed Malaysia tahun ini.

 

Bagi mereka yang berpegang kepada pepatah bahasa Inggeris “You can’t teach an old dog new tricks”, sudah pasti tidak mempunyai sebarang kenalan sekalipun dalam industry permotosikalan. Di mana sesetengah orang sama ada memberi nafas baru kepada motosikal lama mereka, atau pun mereka akan memulihkan kembali motosikal lama kepada rupa yang asal seperti baru sahaja keluar dari kilang, mereka yang berada di Kenstomoto membawa konsep ini ke satu tahap yang baru.

Nama Kenny Yeoh tidak asing lagi di dalam kancah pengkhususan motosikal di dalam negara kita Malaysia ini. Bersama dengan bengkelnya yang dinamakan Kenstomoto yang khusus untuk rekaan, pengkhususan, serta pertukangan motosikal, Kenny menaikkan taraf kerjanya ke satu peringkat yang berbeza dengan projeknya yang terbaru ini.

Memperkenalkan Kenstomoto Ju racer, sebuah motosikal yang memulakan hidupnya sebagai sebuah Kawasaki ZX-10R 2004. Jika di lihat pada motosikal in terutamanya di depan mata sendiri, is sukar untuk dipercayai yang ianya sudah berusia 13 tahun. Jadi, apa yang mendorong Kenny untuk melaksanakan projek yang istimewa ini?

The before and after as usual. tell us how you feel about Ju.

A post shared by Kenstomoto (@kenstomoto) on

Sebelum ini, motosikal ini seringkali telah menggembirakan bekas pemiliknya terutamanya ketika tunggangan hujung minggu atau pun pada hari di litar. Malangnya, pemilik berkenaan telah meninggal dunia dalam satu insiden malang dengan sebuah motosikal berbeza dan Kawasaki ZX-10R ini telah terbiar buat beberapa waktu.

Adik kepada pemilik kemudiannya telah bertemu dengan Encik Kenny Yeoh dan setelah mendengar kisahnya, Kenny merasakan yang motosikal itu berhak untuk bangkit semula bak seekor burung Phoenix, namun, ianya bukan sebagai motosikal yang baru sahaja keluar dari bilik pameran. Ianya akan menjadi yang LEBIH BAIK.

Kami bertemu dengan Encik Kenny di festival Art of Speed Malaysia 2017 baru-baru ini di mana dia telah memperagakan beberapa ciptaan hebatnya termasuklah ZX-10R yang tampak menakjubkan ini. Perkara pertama yang dimaklumkan kepada kami oleh Kenny adalah ianya akan menjadi sebuah jentera litar sepenuhnya.

Dia mengambil masa selama empat bulan untuk menyiapkan motosikal ini. Tiga dari empat bulan itu dihabiskan untuk menyelesaikan segala rekaan dan bagaimana rupa paras terakhir yang mereka inginkan pada motosikal ini sebelum ianya sedia dipamerkan kepada orang ramai di festival Art of Speed Malaysia 2017 di MAEPS, Serdang. Disebabkan itulah kita dapat menatap rekaan masukan udara hadapan berbentuk sarang lebah yang tampak amat jahat itu.

Bagi membaca segala sorotan menarik mengenai Art of Speed Malaysia 2017, TEKAN SINI.

Rekaan ini bagaimanapun bukannya satu tugas yang mudah buat Kenny. Dia telah membuat sebanyak tujuh rekaan yang berbeza sebelum dia benar-benar berpuas hati dengan rupa paras motosikal berkenaan. Perkara pertama yang telah dilakukannya adalah menanggalkan reraup hadapan bagi memberikannya rupa “super naked”.

Kebanyakan orang pasti bersetuju bahawa sebuah ZX-10R super naked adalah satu idea yang cukup bernas, namun Kenny inginkan rupa paras yang lebih garang. Disebabkan itulah anda dapat melihat reraup separuh ala sayap yang menempatkan sepasang lampu hadapan LED untuk pencahayaan di kala memintas penunggang yang malang yang berada di laluannya.

Keseluruhan sub-kerangkanya telah dikeluarkan untuk memberi laluan kepada sebuah sub-kerangka aluminium yang dibuat khas bagi menempatkan seorang penunggang dengan sempurna semasa menderu di atas litar. Ergonomik penunggangan keseluruhannya telah dipertingkatkan lagi bagi membolehkan sesiapa sahaja yang cukup berani menunggang si buas ini mengelilingi litar merapatkan lagi badan bagi mendapatkan posisi badan terbaik ketika memecut laju di jalan depan yang lurus.

Sementara enjinnya dikekalkan agak standard, pasukan Kenstomoto memutuskan untuk menghiasi motosikal ini dengan beberapa penambahan seperti ECU ‘piggyback’ baru, unit quickshifter, ekzos AHM dan semestinya sepasang tayar ‘racing slick’ bagi memberikan cengkaman terbaik ketika mengakali selekoh yang laju.

Hasilnya, sebuah Kawasaki ZX-10R yang boleh dikatakan  antara yang paling kekar, garang, dan tampak moden yang pernah kami lihat seumur hidup kami yang telah memenangi beberapa anugerah di AOS 2017. Kos keseluruhannya melebihi RM20,000, dan ianya lebih daripada mencukupi untuk mengembalikan kegemilangan jentera ini serta memberikan satu tujuan baru untuk jentera buas ini; mengaum di litar, menderu dengan pantas bersama racing slick yang mencengkam.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Kenstomoto serta ciptaan mereka yang menakjubkan, anda boleh layari laman Facebook mereka DI SINI. Kami di MotoMalaya serta Bikes Republic ingin mengucapkan tahniah kepada Encik Kenny Yeoh serta pada pasukan Kenstomoto di atas ciptaan yang mengagumkan ini dan berharap akan muncul lebih banyak lagi ciptaan yang lebih hebat di sana yang akan datang!

 

 

Leave a Reply