Hafizh Syahrin Menyebarkan Keriangan Hari Raya Di Assen TT

Sukan permotoran adalah satu sukan yang beremosi, penuh dengan liku-liku, rintangan dan halangan, dan juga berbagai pancaroba yang sentiasa ada. Bagi para wira perlumbaan negara seperti Hafizh Syahrin, Khairul Idham Pawi, dan juga Adam Norrodin, perlumbaan GP Belanda (Assen TT) pada hujung minggu yang lalu merupakan perlumbaan yang penuh dengan emosi kerana ianya jatuh pada tarikh yang sama dengan Hari Raya Aidilfitri untuk tahun ini.

Walaupun mereka terpaksa berjauhan dengan keluarga mereka, yang semestinya mengikuti perkembangan perlumbaan mereka pada Hari Raya ini di kaca tv masing-masing, kita dapat melihat yang Hafizh Syahrin telah menceriakan suasana dan menyemarakkan lagi semangat Hari Raya di litar lumba berkenaan.

Penunggang berusia 23 tahun itu dapat dilihat di sekitar kawasan litar perlumbaan itu memperagakan pakaian tradisional Baju Melayu lengkap dengan songkok. Dia juga telah dilihat berkongsi juadah tempatan di mana dia menghulurkan kurma serta kuih-muih Raya kepada ahli pasukannya dan juga pasukan-pasukan yang lain.

Penunggang yang berasal dari Ampang itu, yang telah mengalami saat yang mendebarkan di atas litar apabila jentera perlumbaannya hampir terbabas tetapi dia berjaya mengawal kembali jenteranya itu, telah berkongsi beberapa gambar yang menarik di laman media sosialnya yang menampilkannya sedang beramah mesra, malah ada yang menunjukkannya menggayakan songkoknya itu di grid permulaan, sebelum digantikan dengan helmetnya apabila tiba masanya untuk para ahli pasukannya mengosongkan grid untuk berlumba. Beberapa orang ahli pasukannya juga telah dilihat mengenakan Baju Melayu lengkap bersongkok di kawasan grid permulaan dan juga sekitar pit perlumbaan.

Hafizh Syahrin menamatkan perlumbaannya di tempat kelapan selepas prestasi perlumbaan yang begitu baik sekali.

Tahniah kami ucapkan kepada Hafizh dan terima kasih di atas pengorbanannya pada Hari Raya ini dan kami turut berbangga dengan kejayaannya mengharumkan nama negara di persada sukan permotoran dunia. Dan tidak lupa juga, Selamat Hari Raya!

TEKAN SINI untuk mengikuti perkembangan Hafizh di laman Facebooknya.

Sumber imej : Laman Facebook Hafizh Syahrin.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]