Yamaha YZ450F 2018 – Dirt Bike Yang Boleh Ditala Menggunakan Telefon Pintar!

 

  • Dirt Bike Yamaha YZ450F 2018 yang terbaru kini boleh ditala menggunakan sebuah aplikasi yang boleh dimuat turun ke peranti Android dan iPhone anda.
  • Motosikal ini bercirikan ECU yang berkebolehan Wi-fi yang membantu dalam membuat penukaran pada aturcara seperti pemetaan pencucuhan dan bahanapi dengan hanya menggunakan telefon pintar.
  • Ciri-ciri lainnya termasuk enjin, kerangka, transmisi, dan radiator baru yang meletakkan Yamaha YZ450F ini pada harga $9,199 (sekitar RM39,201).

Yamaha telah mengumumkan bahawa motosikal Yamaha YZ450F 2018 mereka bukan sahaja didatangkan dengan enjin, radiator, penghidup elektrik, dan bateri lithium-ion serba baru, malah ianya mempunyai kebolehan untuk ditala mengikut keperluan menunggang anda melalui sebuah aplikasi yang anda boleh muat turun ke telefon pintar anda!

Yamaha menyatakan bahawa mereka telah memasang sebuah ECU yang revolusionari yang berkebolehan Wi-Fi yang membenarkan aturcara seperti pemetaan pencucuhan serta bahanapi ditukar dengan hanya menggunakan telefon pintar iPhone atau Android anda. Bagi mereka yang arif mengenainya akan menghargai perincian ini terutamanya dalam keadaan penunggangan atau perlumbaan yang berbeza yang merupakan satu kebiasaan apabila bergerak dari satu tempat ke tempat yang berikutnya bagi mendapatkan prestasi terbaik daripada dirt bike Yamaha mereka.

Kebolehan untuk menala motosikal anda melalui aplikasi telefon pintar bukanlah sesuatu yang baru kerana sudah terdapat beberapa gajet selepas jualan yang ada di luar sana yang membolehkan anda melakukan talaan sebegini. Contoh yang terbaik yang dapat anda temui di pasaran Malaysia adalah unit ECU boleh atur cara TuneBoss dari FSR Technology.

TEKAN SINI untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang produk keluaran Malaysia dari TuneBoss, ECU boleh atur cara.

Dengan adanya teknologi ini pada Yamaha YZ450F menjadikannya kali pertama kita melihatnya digunapakai pada motosikal keluaran oleh pengilangnya sendiri. Dengan menggunakan aplikasi yang dimuat turun, penunggang dengan mudah boleh mengubah ke atur cara yang berbeza mengikut keperluan litar perlumbaan atau keadaan menunggang tanpa perlu merongkah motosikal itu secara fizikal.

Selain daripada kebolehannya untuk menala motosikal anda, aplikasi ini juga membenarkan perincian lain seperti diagnostik sistem, masa gunaan enjin, mengingatkan jadual selenggaraan, dan juga menunjukkan gambaran keseluruhan tentang bagaimana prestasi motosikal berkenaan. Sesungguhnya ia adalah satu alat yang kami lihat dapat diterapkan secara meluas pada semua rangkaian motosikal.

Selain daripada pakej elektronik yang baru ini, Yamaha YZ450F ini juga dilengkapi dengan enjin yang telah diperbaiki yang mana ia telah direka dan diletakkan dengan sempurna di dalam kerangka alang aluminium dwisisi bagi memberikan keseimbangan keseluruhan motosikal yang lebih baik, keteguhan, serta mempertingkatkan lagi pengalaman penunggangan terutamanya ketika menangani selekoh.

Bahagian enjin barunya termasuk kepala silinder, aci engkol, omboh berkemampatan tinggi, dan badan pendikit yang memberikan penambahbaikan besar pada penjana kuasa 450cc dari segi kawalan kuasa dan tindak balas keseluruhan. Terdapat juga radiator yang baru dan lebih besar untuk prestasi penyejukan yang lebih baik untuk memastikan jentera Yamaha ini kekal sejuk dan berfungsi dengan baik pada hari yang panas.

Gear dan plet klacnya juga telah dipertingkatkan dengan menyeluruh bagi menawarkan pakej transmisi yang lebih tahan lasak yang memberikan hubungan manusia dan jentera yang lebih baik. Tidak dilupakan juga pada bateri lithium-ion lightweight serba baru dan juga motor penghidup kompak. Selain daripada mengurangkan beratnya, Yamaha YZ450F ini juga dilengkapkan dengan butang tekan pemula bagi memudahkan mulaan semula enjin terutamanya ketika perlumbaan.

Bercakap tentang perlumbaan, Yamaha YZ450F ini juga mempunyai Sistem Kawalan Permulaan bagi memastikan permulaan perlumbaan yang terbaik untuk penunggang dalam setiap perlumbaan. Suspensi yang telah disertakan pada motosikal ini adalah penyerap hentakan belakang KYB yang menawarkan redaman lebih baik yang sesuai untuk kegunaan lebih panjang.

Dirt bike ini akan mula dipasarkan secara global di bilik pameran Yamaha bermula pada bulan Julai namun tiada berita lagi sama ada motosikal ini akan boleh didapati untuk pasaran negara kita. Menurut laman sesawang Yamaha Motorsports, Harga Runcit Cadangan Pengilang (Manufacturer’s Suggested Retail Price – MSRP) telah ditetapkan pada $9,199 (kira-kira RM39,201 selepas pertukaran terus). Berdasarkan duti import tinggi di Malaysia dan cukai-cukai yang ada, harga ini pasti akan jauh lebih tinggi apabila ianya terdapat di pasaran Malaysia nanti.

Buat sementara waktu, saksikanlah video mengenai Yamaha YZ450F di atas!

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]