HJC Helmets Keluarkan Helmet Istimewa Sempena Cars 3 Pixar!

 

  • HJC Helmets telah memperkenalkan helmet grafik RPHA11 terkini yang didasarkan daripada filem terbaru akan datang keluaran Pixar, Cars 3.
  • Dua helmet rekaan khas yang berilhamkan watak utamanya, Lightning McQueen dan antagonis terbaru, Jackson Storm.
  • Kedua-dua boleh didapati dalam bentuk helmet perlumbaan RPHA11 dari €599.90 (RM2,885.73).


Selepas kejayaannya menghasilkan helmet-helmet yang begitu cantik yang diilhamkan dari beberapa superhero Marvel kesayangan ramai, HJC Helmets kini kembali dengan tawaran yang berbeza bagi semua peminat filem di luar sana. Bersempena dengan pelancaran filem terbaru keluaran Pixar, Cars 3, HJC mempersembahkan dua rekaan istimewa yang diilhamkan dari filem ini yang direka atas helmet perlumbaan utama mereka, RPHA11.

Rekaan pertama merupakan gambaran watak ikonik dan disukai ramai Lightning McQueen yang juga merupakan protagonis francais filem Cars ini. Dengan skema warna merah menyala dan nombor #95 yang terpapar di atasnya, ianya amat dikenali di kalangan peminatnya. Bagi melengkapkan lagi rupa McQueen ini, halilintar kuning dan tajaan pasukan ditambah pada helmet perlumbaan ini sebagai sentuhan pelengkap.

Rekaan helmet yang berikutnya diilhamkan dari pencabar Lightning McQueen dan antagonis terbaru dalam filem Cars, Jackson Storm. Dikenali sebagai pemimpin bagi pelumba elit Next Generation, dia digambarkan sebagai sebuah kereta lumba futuristik yang akan merampas takhta Lightning McQueen selamanya. Sebagai antagonis, helmetnya menggambarkan rupa kelam dan futuristik dengan rupa gentian karbon terdedah bersama dengan garisan biru dan kemasan metalik.

Filem ini dijangkakan akan dikeluarkan untuk tontonan ramai di antara bulan Jun dan Ogos 2017. Sejurus penayangannya, helmet-helmet ini akan boleh didapati untuk belian dalam bulan September di pengedar HJC yang sah seluruh dunia. Walaupun kami belum mendapat kepastian mengenai harganya di pasaran Malaysia, HJC Helmets telah pun mengumumkan harga rasminya seperti yang tertera di bawah:

RPHA 11 Pro (DOT/ECE) Lightning McQueen $599.99 (RM2,886.16)
RPHA 11 (ECE) Lightning McQueen €599.90 (RM2,885.73)
RPHA 11 Pro (DOT/ECE) Jackson Storm (Gentian Karbon) $749.99 (RM3,607.71)
RPHA 11 (ECE) Jackson Storm €749.90 (RM3,607.28)

*Harga selepas pertukaran terus matawang

Sementara itu, tontonilah sedutan trailer rasmi Cars 3 ini sebelum kemunculannya di panggung wayang berhampiran!

Sumber: HJC Helmets

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]