Masjid Perodua Di Rawang Telah Dirasmikan Oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor

 

  • Masjid ini dibina untuk kemudahan kakitangan Perodua serta untuk penduduk sekitar.
  • Sejumlah 8.86 ekar keluasan tanah diperuntukkan untuk pembinaan masjid ini serta segala kemudahannya yang menelan belanja sehingga RM39 juta.
  • Antara fasiliti yang ada di masjid ini termasuk bilik kuliah, bilik pengurusan jenazah, kawasan khas sembelihan korban serta Pusat Pembangunan Kanak-Kanak Perodua.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj menandatangani plaque merasmikan Masjid Perodua, disaksikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

Pada 12 Mei 2017, hari Jumaat lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj telah berkenan untuk merasmikan Masjid Perodua di Rawang. Ianya merupakan masjid pertama dibina oleh syarikat pengilang kereta itu di daerah Hulu Selangor. Majlis ini turut dihadiri oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Selangor, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh, Presiden dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, serta para wakil agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

“Masjid Perodua mampu menampung 3,000 jemaah pada satu-satu masa dan direka bentuk dengan fungsi dan kecekapan terancang,” ucap Tan Sri Asmat Kamaludin, Pengerusi Perodua.

Pengerusi Perodua, Yang BebBahagia Tan Sri Asmat Kamaludin(kiri) menemani DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj mencemar duli bersalaman dengan rakyat selepas Solat Jumaat

Pada majlis itu, Tan Sri Asmat Kamaludin turut mewakafkan masjid ini kepada Perbadanan Wakaf Selangor yang telah diterima oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.

Berkategorikan masjid pengurusan, masjid ini menawarkan pelbagai kemudahan bagi kakitangan Perodua serta kepada para penduduk sekitarnya. Antara fasiliti yang tersedia di masjid ini adalah bilik kuliah, bilik pengurusan jenazah, dan kawasan khas untuk ibadah sembelihan korban serta sebuah Pusat Pembangunan Kanak-Kanak Perodua (PCDC).

Perodua telah memperuntukkan kira-kira 8.86 ekar atau 38,850 meter persegi untuk pembinaan masjid ini dan kemudahannya untuk kegunaan kakitangan Perodua dan masyarakat setempat. Kompleks masjid ini dibahagikan kepada empat bahagian; bangunan utamanya yang berkeluasan 3,567 meter persegi dengan peruntukan sebanyak RM10 juta. Bersebelahannya adalah PCDC, dengan keluasan tanah 2.7 ekar yang berjumlah RM9 juta.

Selain itu, Perodua turut membelanjakan RM20 juta untuk membina jalan raya bagi menghubungkan ibu pejabat dan masjid sekaligus untuk kegunaan masyarakat setempat.

“Perodua telah membelanjakan sebanyak RM39 juta secara keseluruhan untuk membina masjid, PCDC dan jalan raya demi manfaat kakitangan kami dan komuniti setempat”, ujar Tan Sri Asmat.

“PCDC merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab korporat kepada kakitangan kami dalam menyediakan kemudahan terbaik buat mereka,” tambah beliau lagi.

Masjid Perodua ini telah mula dibina pada bulan Ogos 2014 dan siap sepenuhnya pada Julai 2016. Bermula bulan Ogos 2016, Masjid Perodua telah mengadakan pelbagai aktiviti antaranya ibadah korban dan mengedarkan daging korban tersebut kepada fakir miskin dan masyarakat setempat.

Pihak Jawatankuasa masjid juga turut mengadakan kuliah agama berterusan untuk masyarakat yang merupakan sebahagian daripada proses pendidikan kepada komuniti.

Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya bagi perkembangan terkini segenap dunia permotoran.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]