Kejohanan Supermoto Malaysia: Siap Siaga Bagi Pusingan 2 Untuk 2017

  • Pusingan kedua Kejohanan Supermoto Malaysia (MSMC) akan diadakan pada hujung minggu ini di Taman Tasik Permaisuri, Cheras dari 6 hingga 7 Mei 2017.
  • Acara ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Utama Tengku Adnan Bin Tengku Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan dan Yang Berbahagia Datuk Seri Haji Mhd. Amin Nordin Bin Abd. Aziz, Datuk Bandar Kuala Lumpur.
  • Pusingan kedua MSMC ini diadakan serentak dengan Karnival Xtravaganza KL yang dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Malaysian dengan lebih 60 orang selebriti mengambil bahagian.


Lebih daripada 60 penunggang supermoto dari berbagai latarbelakang akan bersaing pada hari ini di Pusingan 2 Kejohanan Supermoto Malaysia 2017 (MSMC). Pusingan kedua ini akan dijalankan serentak dengan Karnival Xtravaganza KL pada hujung minggu ini di Taman Tasik Permaisuri, Cheras.

Acara 2 hari (6 dan 7 Mei 2017) ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Utama Tengku Adnan Bin Tengku Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan dan Yang Berbahagia Datuk Seri Haji Mhd. Amin Nordin Bin Abd. Aziz, Datuk Bandar Kuala Lumpur. Penggemar sukan permotoran boleh datang dan menikmati perlumbaan supermoto dan juga karnival ria keluarga kerana caj masuknya adalah percuma.

Bagi anda yang kurang arif mengenai perlumbaan supermoto, ianya merupakan gabungan pelbagai elemen menarik motocross, litar tanah, dan perlumbaan atas jalan dalam satu disiplin yang bercirikan lompatan, selekoh tajam ‘hairpin’, dan jalan lurus kelajuan tinggi di atas kedua-dua permukaan tanah dan asfalt.


Litar dan tempatnya boleh berubah dengan ketara, membenarkan perlumbaan ini dijalankan di litar perlumbaan, stadium sukan, tempat letak kereta terbuka dan litar jalan bandar tertutup. Sukan unik ini menawarkan keterujaan sejati bagi penonton yang ingin berada sehampir beberapa meter sahaja sewaktu perlumbaan.

Siri 2017 terdiri daripada lima kelas – SM Open, SM Novice, SM CKD Open dan SM Veteran. Para peserta wajib mendapatkan lesen rasmi dar AAM untuk bertanding dalam mana-mana kategori. Kejohanan ini terbuka kepada semua penunggang Malaysia yang ingin mengembangkan minat mereka dalam bidang ini.

“Sepanjang sejarah Malaysia, Kuala Lumpur senantiasa menjadi hab popular bagi pembangunan sukan permotoran, dan kami amat gembira kerana DBKL telah menyambut MSMC dengan tangan terbuka. Kejohanan ini adalah pertandingan satu dalam sejuta bagi industri dua-roda negara. Ia bertindak sebagai pemangkin untuk sukan yang sedang pesat di Malaysia, dan juga sebagai pentas untuk mencari penunggang handalan yang seterusnya,” ujar Satheswaran Mayachandran, Ketua Pegawai Eksekutif Asia Supersports Group.

Hujung Kanan: Encik Satheswaran Mayachandran, Ketua Pegawai Eksekutif Asia Supersports Group

“Para peminat serta penonton boleh mengharapkan satu hari cukup menggembirakan semasa perlumbaan dengan penunggang professional bertanding untuk kedudukan teratas. Pemegang takhta keseluruhan Kejohanan SuperMoto Asia FIM 2016, Muhd Habibullah Salleh (Gabit), juga akan bertanding dalam kategori SM Open menentang juara terdahulu. Tambahan pula, pemenang pusingan ini berhak ke atas satu penyertaan dalam perlumbaan serantau”, tambahnya lagi.

Muhd Habibullah Salleh (Gabit), Juara Kejohanan SuperMoto Asia FIM 2016

Litar 800 meter akan menampilkan dua selekoh tajam ‘hairpin’, selekoh-selekoh tajam dan dua bahagian bertanah dengan lompatan tinggi diharapkan dari para penunggang. Penunggang dijangkakan akan memecut laju di atas jalan tar yang lurus dan mencapai kelajuan maksima sehingga 100km/j. Pertarungan sengit diduga akan berlaku di 2 jalan lurus yang panjang dengan selekoh pada penghujung trek menjadi titik penentu bagi pendahulu perlumbaan bagi menguasai perlumbaan.

Muhammad Ibrahim Norrodin, adik kepada penunggang motosikal Grand Prix negara, Muhamad Adam Norrodin, dan juara bagi pusingan pertama MSMC Disember yang lalu juga akan bertanding bersama dengan bekas juara MSMC Khairy Zakaria dan Muhd Al-Amirul Ashshahid.

 

Bersempena perlumbaan ini, Persatuan Karyawan Malaysia juga akan menganjurkan satu karnival yang juga terdapat sebuah konsert menampilkan artis-artis terkenal tempatan seperti Saleem, Amelina, Siti Sarah, Haiza, Joey Joras, Irfan Haris, Ismail Izzani, Shaa, Fiena Mentor, Oja & Tunable dan juga kemunculan buat kali pertama supergroup yang ditubuhkan oleh legenda rock, Yazid Search, Rampage.

Aktiviti-aktiviti bertumpukan komuniti seperti pendaftaran dan pengesahan status pengundian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia(SPR), pemeriksaan gigi oleh Kementerian Kesihatan, dan juga bayaran kompaun oleh DBKL akan ditawarkan sebagai sebahagian daripada karnival.

Untuk mendapatkan maklumat lanjutan, lawati laman Facebook MSMC atau pun Instagram mereka. Bagi jadual hari Ahad (7 Mei 2017), sesi kelayakan pertama akan bermula pada pukul 10.30 pagi waktu tempatan.

Leave a Reply