Siri Tayar Motosikal Bahagian 2 :- Jenis-Jenis Tayar Motosikal Jalanan

 

 

  • Terdapat pelbagai jenis tayar motosikal jalanan berbeza yang ada di pasaran hari ini dari tayar cruiser sehinggalah ke tayar perlumbaan.
  • Kami akan meneliti beberapa jenis tayar bagi membantu anda memahami jenis-jenis yang berbeza dan bagaimana untuk memilih tayar yang terbaik untuk anda.
  • Pemilihan tayar yang sesuai dengan motosikal anda bergantung kepada beberapa faktor; jenis motosikal, gaya penunggangan, cuaca dan paling penting sekali, dimana dan bila anda menunggang.


Melihat pada industrinya hari ini, terdapat begitu banyak pilihan apabila ingin membeli satu set tayar motosikal untuk motosikal kesayangan anda. Dengan begitu banyak jenama mengeluarkan jenis yang berbeza dan variasi tayar, persoalan yang sering berlegar di minda adalah yang manakah terbaik untuk motosikal anda?

Sebagai permulaan. setiap tayar akan ada imbangan serta kompromi pada dua kriteria berbeza; cengkaman dan ketahanan. Pilihan ini dapat dipermudahkan jika anda ketahui jenis motosikal anda, dimana dan bila anda menunggangnya, gaya tunggangan dan juga keadaan cuaca.

Dalam artikel terdahulu yang berkaitan dengan tayar, kita telah rangkumkan pengetahuan asas yang perlu anda tahu mengenai tayar motosikal seperti tekanan udara tayar, saiz, beban dan indeks kelajuan serta tarikh pengilangan. TEKAN SINI untuk membaca semula artikel berkenaan.

Dalam siri kali ini pula, kami akan melihat kepada beberapa jenis tayar yang digunakan untuk tujuan yang berlainan, bermula dengan tayar kompaun keras bagi tujuan touring atau penunggangan jarak jauh sehinggalah ke tayar perlumbaan lembut super yang menawarkan cengkaman yang hebat untuk perlumbaan.

Tayar Cruiser

Jika anda memiliki motosikal besar dan berat seperti Harley, Indian atau Victory, tayar cruiser adalah adalah pilihan anda secara amnya. Jenis tayar yang khusus ini telah direka untuk keteguhan dan ketahanan bagi mengendalikan motosikal yang besar dan berat. Sebagai penunggang touring lazimnya menunggang dengan jarak yang jauh, ia juga dapat mengendalikan penggunaan jarak jauh serta berfungsi dengan baik dalam semua keadaan cuaca.

Jika dilihat pada luarannya, tayar cruiser mempunyai alur yang banyak bagi mengalihkan sebarang air di atas jalan bagi memastikan cengkaman maksima tayar. Sebaliknya pula, ianya tidak begitu sesuai untuk menyelekoh, jadi janganlah anda cuba menjadi seperti pelumba MotoGP jika menggunakan tayar cruiser ini.

Jika anda inginkan kestabilan jalan lurus yang menakjubkan (iaitu tujuan utama bagi jenis tayar cruiser), pilihan yang popular yang ada di luar sana adalah seperti Bridgestone Exedra Max, Pirelli Night Dragon serta rangkaian Michelin Commander.

Tayar Perlumbaan Jalan
Sumber imej: Michelin

Apabila melihat pada tayar perlumbaan jalan, ianya bertentangan sama sekali dengan tayar cruiser. Ianya dapat memberikan cengkaman dan prestasi yang begitu hebat sama ada meluncur laju pada jalan yang lurus dengan kelajuan 300km/j atau pun mengendalikan selekoh selaju boleh sambil mencecah lutut (atau siku) ke asfalt.

Dani Pedrosa di #AmericasGP (Sumber imej: MotoGP)

NOTA: TAYAR PERLUMBAAN JALAN HANYA UNTUK KEGUNAAN LITAR DAN BUKAN UNTUK JALAN AWAM. Walaupun ia memberikan tahap prestasi dan cengkaman terbaik yang dapat dibeli, kita tidak boleh dengan sewenang-wenangnya memasangnya pada motosikal dan terus menunggang semahu-mahunya. Ianya oleh kerana tayar-tayar ini sangat mahal harganya dan ianya memerlukan keadaan yang sangat khusus baginya untuk beraksi secara optimal.

Ducati Desmosedici GP17

Tayar perlumbaan adalah teramat sensitif kepada haba serta tekanan udara tayar. Ini bermakna pemanas tayar adalah satu kemestian dan anda juga memerlukan kru yang berkebolehan bagi memastikan tayar-tayar itu pada suhu yang berpatutan dan tekanan udaranya tepat, jika tidak, ia tidak akan berfungsi sebagus yang ia patut.

Tayar perlumbaan dibalut dengan pemanas tayar (Sumber imej: www.carpimoto.it)

Tayar perlumbaan seperti Bridgestone V02 dan Pirelli Diablo memberikan cengkaman yang hebat NAMUN tayar-tayar ini bukanlah untuk kegunaan jangka masa yang panjang. Apabila digunakan atas litar, seorang penunggang yang cekap berkemungkinan akan menggunakan satu set tayar perlumbaan lebih kurang 30 pusingan bergantung pada keadaan. Ini bermaksud sejumlah ribuan ringgit telah dibelanjakan untuk beberapa pusingan sahaja di atas litar bagi cengkaman tahap tinggi.

Terdapat pilihan yang lebih murah, seperti tayar perlumbaan DOT, tetapi perbezaan harga hanyalah kecil sahaja. Tayar-tayar ini kelihatan seperti tayar perlumbaan dengan alur, tetapi ianya adalah untuk kegunaan perlumbaan sahaja. Contoh-contoh tayar ini adalah seperti Bridgestone Battlax Racing R10, Pirelli Supercorsa SP dan banyak lagi.

Tayar Sport Touring
Michelin Pilot Road 3

Jika mencari keseimbangan antara cengkaman yang ulung dan jangka hayat yang panjang, tayar sport touring adalah calonnya. Bersesuaian untuk kegunaan harian dan tunggangan hujung minggu melalui jalan-jalan yang lebih mencabar, tayar ini dapat melakukan segalanya.

Kawasaki Z900 2017

Secara mudah, tayar ini mempunyai alur yang banyak bagi memastikan prestasi maksimum dalam sebarang keadaan cuaca dan biasanya dibentuk dengan dwi-kompaun. Getah yang lebih keras digunakan pada bahagian tengah untuk memastikan jangka hayat yang lebih panjang untuk kegunaan touring manakala kompaun yang lebih lembut pada bahagian sisinya untuk mengendali selekoh.

Tayar-tayar ini biasanya adalah untuk kegunaan sebarang keadaan cuaca dan di negara kita Malaysia, itulah yang diperlukan terutamanya pada masa kini dengan cuaca yang tidak menentu. Ia juga agak mudah untuk dipanaskan ke suhu yang sepatutnya yang bermakna anda tidak perlu untuk bangun terlalu awal untuk memasang pemanas tayar padanya. Hanya perlu tunggang motosikal anda dengan biasa dan tayarnya akan mencapai suhunya dengan mudah.

Apabila tayar anda dalam suhu yang optimum, ianya tidak mustahil untuk beraksi bak Rossi jika anda tahu bagaimana. Pendek kata,tayar sport touring mampu memberikan prestasi terbaik atas jalan DAN ianya akan tahan lebih lama.

Pirelli Angel GT

Jika anda kenal sesiapa yang merungut yang mereka perlukan lebih cengkaman tayar, anda bolehlah memberitahu mereka yang tayar sport touring mampu membantu mereka. Cadangkan sahaja pada mereka untuk mendapatkan tayar Bridgestone Battlax T30, Michelin Pilot Road 3 atau Pirelli Angel GT.

Tayar Hypersport
Tayar belakang hypersport pada Honda CBR1000RR Fireblade SP2

Tayar hypersport adalah tayar yang satu tangga di bawah tayar perlumbaan dan tayar perlumbaan DOT. Ianya berasaskan prestasi dan terdapat pada motosikal berkuasa tinggi seperti Yamaha YZF-R1, Suzuki GSX-R 1000 dan Honda CBR1000R Fireblade SP.

Tayar hypersport merupakan tayar berprestasi tinggi yang hanya setapak di belakang rangkaian tayar perlumbaan DOT. Malah, teknologi tayar hypersport telah diambil secara terus dari teknologi perlumbaan dan diaplikasikan untuk gabungan kegunaan harian dan juga sesi hari litar.

BMW S1000RR

Walaupun ianya adalah tayar sah di atas jalan biasa, ianya tidak dapat beraksi sebaiknya dalam keadaan basah. Bagi mendapatkan prestasi terbaik dari tayar ini, menunggang dalam cuaca yang panas dan cerah adalah yang paling disarankan. Pada masa yang sama, penggunaan kerap seharian tidaklah digalakkan kerana tayar ini agak mahal untuk digantikan semula.

Yamaha YZF-R1 di litar

Antara contoh terbaik tayar hypersport adalah Bridgestone Battlax RS10, Pirelli Diablo Supercorsa SC dan rangkaian Michelin Pilot Power. Ianya bagus untuk penunggangan yang mencabar ataupun sebagai tayar semasa hari di litar, namun, ada baiknya jika anda kekal dengan tayar sport touring untuk kegunaan harian dan anda pasti akan mendapat prestasi terbaik darinya.

Pirelli Diablo Supercorsa SC

Sebagai rumusan, terdapat begitu banyak jenis tayar yang ada di pasaran dan yang terbaik untuk anda bergantung kepada jenis motosikal, gaya
penunggangan, keadaan cuaca dan semestinya, dimana dan bila anda menunggangnya. Dengan penerangan dari artikel ini, kami berharap dapat membantu anda dan memberikan maklumat yang berguna supaya pada kunjungan anda ke kedai tayar yang seterusnya, anda dapat membuat pilihan yang sesuai untuk motosikal kesayangan anda.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

9 Replies to “Siri Tayar Motosikal Bahagian 2 :- Jenis-Jenis Tayar Motosikal Jalanan”

Leave a Reply