BMW Motorrad Malaysia Memperkenalkan Tiga Model Terbaru 2017; BMW R nineT, RnineT Pure, Dan R nineT Racer Dari RM82,900

  • BMW R nineT melambangkan gaya elegan kasual yang tertumpu kepada elemen rekabentuk terpenting motosikal ini.
  • BMW R nineT Pure yang baru menjelmakan intipati roadster tulen dan klasik yang tampak ringkas dengan komponen-komponen terpenting sahaja.
  • BMW R nineT Racer yang terkini menampilkan gaya motosikal sports klasik ala sebuah cafe racer

BMW Motorrad Malaysia baru sahaja memperkenalkan tiga varian terkini dalam rangkaian model BMW Motorrad Heritage menerusi BMW R nineT, BMW R nineT Pure, dan juga BMW R nineT Racer yang baru. Varian ‘Heritage’ yang baru dan telah dikemaskini telah direka untuk tujuan pengalaman penunggangan sejati dengan berbagai pilihan untuk pengayaan dan pengubahsuaian.

 

Model-model terbaru ini telah diperkenalkan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif bagi BMW Group Malaysia, En. Han Sang Yun, yang
sebelumnya telah berkata, “Rangkaian motosikal BMW Motorrad Heritage yang baru ini membolehkan kami berkongsi keghairahan kami terhadap jentera dua roda premium menerusi satu segmen baru kepada pelanggan kami di sini dan membantu mereka lebih menikmati kehidupan.”

“Sejak dua tahun yang lalu, BMW Motorrad dilihat terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila mencatatkan penghantaran motosikal melebihi
1,000 unit di Malaysia. Ianya merupakan satu petunjuk positif. Bukan sahaja terhadap potensi pertumbuhan motosikal premium di negara ini, malah tarikan ke atas motosikal kami telah mencipta satu segmen motosikal yang baru.”

Ketiga-tiga model ini berkongsi enjin boxer 1,170cc yang begitu berkuasa dengan sistem sejukan cecair/udara yang sama. Ianya menjana sehingga 110hp dan tork maksimum 116Nm, diganding dengan kotak gear enam kelajuan. Bagi memastikan yang enjinnya mematuhi syarat Euro4, enjin ini telah melalui satu evolusi bagi pemetaan enjinnya, sistem bahan bersama tabung karbon untuk pengudaraan tangki bahanapi serta sistem ekzos yang pengubah bermangkinnya telah diubah suai agar ianya mempunyai keratan rentas yang lebih besar.

Dibawah adalah butiran bagi setiap model motosikal premium terbaru BMW ini.

BMW R nineT

Dengan pengalaman selama 90 tahun, model R nineT terbaru ini melambangkan intipati sejati kejuruteraan Jerman. Tertumpu kepada elemen rekabentuk terpenting untuk motosikal, pasukan pereka bentuknya mengembalikan rupabentuknya pada bentuk asasnya. Hasilnya, gabungan sempurna antara penggayaan moden dan klasik dalam satu pakej yang menakjubkan.

Enjin boxer yang cukup sinonim dengan BMW Motorrad mengagihkan kuasanya ke roda belakang roadster klasik ini disempurnakan aci pandu cardannya yang telah menjadi pilihan pengeluarnya untuk berdekad lamanya.

Sebagai sebahagian daripada kelengkapan pakej R nineT ini, ia juga didatangkan dengan penunjuk kelajuan berkembar serta alat pengesan pecutan pada komputernya. Bakal pemilik akan diberikan sejumlah pilihan untuk pengubahsuaian motosikal mereka sendiri dengan Aksesori Tulen BMW Motorrad yang merangkumi alat ganti khusus “Machined” dengan kerjasama tukang pengkhususan terkemuka, Roland Sands, untuk BMW R nineT baru ini.

BMW R nineT 2017 boleh didapati pada harga RM101,900 (asas beserta GST).

BMW R nineT Pure 2017

Bagi mereka yang mahukan roadster yang dinamik dengan rupa dan rasa klasik, model R nineT Pure adalah pilihan yang amat sesuai. Dengan konsep
mengembalikan motosikal dalam rupa asasnya, BMW Motorrad melakukannya dengan cemerlang sekali dengan model Pure ini. Seperti R nineT, model ini telah menggabungkan elemen klasik dan moden bersama dan ianya terzahir dengan bahagian yang diperbuat daripada aluminium tempa serta kemasan anoda jernih.

Tangki bahanapi dan madgad R nineT Pure ini didatangkan dalam kemasan kelabu (Catalano Grey) yang menggambarkan pertukangan yang sofistikated yang hanya dapat dilihat dari kejuruteraan Jerman sejati. Panel kelompok instrumennya menyerikan lagi gabungan moden klasik ini dengan susunan paparan analog dan LCD.

BMW R nineT Pure ini boleh didapati dengan RM82,900(asas termasuk GST).

BMW R nineT Racer

Model ini adalah bagi para penggemar cafe racer di luar sana. Varian yang berorientasi perlumbaan ini menampilkan sesuatu yang berbeza sepenuhnya
daripada dua model sebelum ini: gaya sukan yang sebenar, rekabentuk yang emosional dan pengayaan yang tidak berkompromi sebagai sebuah jentera
lumba klasik.

BMW R nineT yang baru ini menyampaikan inspirasi jentera gaya lama yang sporty menerusi bahagian hadapan pendek dan reraup separuh di bahagian
sterengnya yang mana ia dibangunkan secara berteliti dengan teknologi moden. Dengan bahagian depannya yang tirus, tidak salah lagi bahawa ia merupakan salah satu cafe racer bergaya moden klasik tercantik buat masa sekarang.

Pencuri tumpuan sudah semestinya ialah sistem ekzos keluli tahan karat dengan peredam yang mencerminkan intipati sebuah motosikal klasik tahun 60-an dan 70-an. Tidak mahu ketinggalan zaman, BMW R nineT Racer ini disertakan dengan rim aloi tempa ringan serupa dengan R nineT Pure. Model Racer ini terdapat dalam warna putih (Lightwhite).

Bagi menambah lebih gaya, pelanggan dapat memilih untuk menambah pelana pembonceng, alat gentian karbon HP untuk penutup bahagian belakang, madgad, penutup snorkel pengambilan, penutup rantai pemasaan, penutup kepala silinder, penutup penghidup enjin, cagak navigasi dan banyak lagi.

BMW R nineT Racer ini boleh didapati pada harga RM88,900(asas termasuk GST).

Berminat untuk menatap model-model ini dengan sendiri, kunjungilah acara BMW Motorrad Nightfuel pada hari Sabtu, 15 April 2017 dari 7:00 petang sehingga 10:00 malam di tempat letak kereta terbuka berhadapan Pulp Coffe, Jalan Riong, Bangsar dan anda tidak akan menyesal.

TEKAN SINI untuk mengetahui lebih lanjut apa yang ditawarkan ole BMW Motorrad Malaysia di Bikesrepublic Bike Buyer’s Guide.

Sumber: BMW Motorrad Malaysia
Galeri BMW R nineT 2017

Galeri BMW R nineT Pure 2017

Galeri BMW R nineT Racer 2017

7 Comments

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.