MotoGP : Musim 2017 Bermula Hari ini!


Musim MotoGP secara rasminya bermula pada hari ini dengan kesemua pasukan bersedia untuk berentap bila tibanya hari Ahad ini. Para penunggang,
pasukan dan kru telah bersedia di Qatar untuk pusingan pertama dalam salah satu perlumbaan motosikal paling berdaya saing seluruh dunia di Litar
Antarabangsa Losail. Kebanyakkan penunggang utama telah berkumpul untuk sidang akhbar pertama bagi musim 2017 semalam.


Marc Marquez dari pasukan Repsol Honda membuka bicara dengan menyatakan “musim sejuk yang lalu terasa panjang…”. Jika diambil kira kisah-kisah dan insiden yang berlaku kepada kebanyakkan penunggang ketika keempat-empat sesi pengujian pra-musim, hampir keseluruhan penunggang akan bersetuju dengan kenyataan juara tersebut.


Menyertai Marc Marquez semasa sidang akhbar pra-acara semalam adalah Valentino Rossi dan Maverick Vinales. dari pasukan Movistar Yamaha, Jorge
Lorenzo dari pasukan Ducati, Andrea Iannone mewakili pasukan Suzuki Ecstar dan Cal Crutchlow dari LCR Honda.


“Ianya merupakan musim sejuk yang panjang namun sekarang kita sudah di sini! Pra-musim kali ini berjalan lebih lancar berbanding tahun lepas, saya lebih
gembira dan merasa lebih selesa. Saya berpuashati dengan motosikal saya secara keseluruhannya. Saya berharap untuk memulakan musim 2017 dengan
permulaan yang bagus. Kami telah melakukan perubahan yang besar, terutama sekali pada enjin, tetapi kami masih perlu bekerja keras untuk menala motosikal sebaik mungkin – ia tetap mengambil masa,” ujar Marquez berkenaan dengan pengujian pra-musim.

Apabila perhatian ditumpukan kepada The Doctor, Rossi menyatakan, ” Kami perlu mencuba untuk berada dalam kelompok hadapan walaupun menghadapi
musim sejuk yang sukar. Kami menghadapi kesukaran mendapatkan penalaan yang baik dan dengan itu kami perlu bekerja kuat dan cuba untuk
memperbaikinya – namun saya harap kami menjadi lebih kuat dan berdaya saing.


Perkara sebaliknya boleh dikatakan tentang rakan sepasukan Juara Dunia sembilan kali itu yang juga merupakan muka baru di pasukan pengilang Yamaha M1 tetapi pada masa yang sama telah menjadi yang terpantas dalam keempat-empat sesi pengujian pra-musim. Vinales menerangkan bahawa “Buat masa sekarang ia hanyalah pra-musim tetapi kami telah menemui talaan yang bagus dalam kesemua ujian, di kesemua litar. Jadi kami akan cuba meneruskannya dalam musim ini. Kami telah mempertingkatkan motosikal kami sepanjang musim sejuk dengan begitu banyak! Perubahan gaya menunggang dari Suzuki ke Yamaha tidaklah begitu berbeza.”

Jorge Lorenzo akan menjadi antara penunggang tumpuan tahun ini dengan pilihannya yang amat mengejutkan untuk berpindah ke pasukan Ducati dan jentera Desmosedici. Selepas beberapa sesi pengujian yang menyukarkan dalam cubaannya untuk menjadi lebih selesa dengan jenteranya yang baru, Lorenzo berkata ” ini adalah satu era baru bagi saya jadi saya tidak sabar untuk memulakannya. Sedikit demi sedikit, begitulah caranya pramusim ini bergerak ke hadapan dan di Qatar, kami telah mengorak langkah yang besar, tetapi keutamaan tetap diberikan untuk satu pusingan pada satu masa.”

“Jadi sasaran utama kami sebelum bermulanya perlumbaan adalah untuk memperbaiki kadar kelajuan kami sedikit demi sedikit. Hari pertama di Sepang
memberi sedikit kejutan kerana saya sudah terbiasa bersaing dari permulaan dan ianya mengambil masa, tetapi pada hari terakhir saya telah mengorak ke
hadapan dan agak berdaya saing. Di Qatar ini kami telah pun menjadi lebih baik dan ianya membuatkan saya berharapan baik untuk masa depan.”

Tiada lagi sesi pengujian. Dari sekarang kesemua penunggang dan pasukan akan menumpukan segala usaha dalam persediaan untuk perlumbaan pertama (dan satu-satunya perlumbaan malam) di Litar Antarabangsa Losail. Sesi latihan pertama bermula malam ini pada pukul 11.00mlm (waktu tempatan) dimulakan dengan penunggang Moto3. #2017StartsNow!

 

Sumber Gambar : MotoGP

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]