Boon Siew Honda Sedia Untuk Gegarkan MotoGP dengan Gerai “Feel the Vibe”

  • Bagi pusingan MotoGP Malaysia 2017 tahun ini, Boon Siew Honda telah menyediakan sesuatu yang amat istimewa di gerai MotoGP mereka.
  • Bertemakan “Feel the Vibe”, akan adanya muzik, aktiviti, dan kelengkapan perlumbaan dan gaya hidup terkini yang akan disediakan buat para pembeli.
  • Selain itu, sebuah motosikal RC213V akan disediakan khas buat para pengunjung untuk sesi bergambar buat memperingati acara yang hebat ini.


Pusingan MotoGP Malaysia 2017 sudah benar-benar hampir tiba sehinggakan anda boleh merasakan kemeriahannya. Dianggap sebagai salah sebuah acara perlumbaan motosikal terbesar di dunia (dan sudah semestinya yang terbesar di Malaysia), ke semua pengeluar telah berusaha sepenuh tenaga untuk mempersembahkan yang terbaik untuk diperagakan di acara ini. Salah satu daripadanya sudah semestinya adalah Boon Siew Honda.

Bagi tahun ini, mereka telah menyediakan sesuatu yang cukup istimewa sekali buat para pengunjung yang singgah ke gerai mereka yang amat luas di Mall Area yang terletak di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Pada tahun lalu, mereka telah membawa sebuah jentera Honda RC213V yang menakjubkan untuk diperagakan, jadi bagaimanakah caranya untuk menjadikannya lebih hebat untuk tahun ini? Dengan membawa DUA jentera Honda RC213V ke pesta ini!

Sebuah jentera akan diperagakan lengkap dengan segala peralatannya manakala sebuah lagi telah disediakan buat ke semua pengunjung untuk dinaiki dan bergambar buat kenang-kenangan. Ianya satu peluang sekali dalam seumur hidup untuk merasakan bagaimana gayanya berada di atas sebuah jentera perlumbaan yang telah dicipta oleh bijak pandai di Honda. Jadi, pastikanlah kamera dan telefon pintar anda mempunyai bateri yang mencukupi dan pastikanlah anda mendapat gambar yang cantik sekali.

Sudah puas bergambar dengan jentera RC213V? temuilah ratu perlumbaan yang jelita dan istimewa diterbangkan khas dari Korea Selatan yang akan berada di gerai Honda MotoGP pada hujung minggu ini.

Untuk tahun ini gerai Honda di MotoGP akan bertemakan “Feel the Vibe”. Selain daripada motosikal-motosikal hebat yang diperagakan, terdapat juga seorang DJ terkenal yang akan memutarkan lagunya bagi memastikan mereka yang menjejakkan kaki ke gerai Honda dihiburkan pada setiap masa dengan dendangan terkini.

Pelbagai jenis barangan akan dijual dengan lebih banyak pilihan tersedia berbanding dengan sebelum ini. Boon Siew Honda telah mempertingkatkan lagi daya tarikan barangan mereka dengan menyediakan rekaan dan inspirasi dari latar belakang gaya hidup dan juga perlumbaan. Pastikan anda mempunyai wang tunai yang mencukupi kerana hanya terdapat sebuah sahaja mesin ATM di sekitar kawasan itu dan pada hujung minggu ini, sudah pasti panjang barisannya.

Jadi, datanglah beramai-ramai kerana terdapat lebih banyak aktiviti dan keseronokan yang telah dirancang oleh Honda untuk sepanjang hujung minggu berkenaan. Sekiranya penunggang mereka, Marc Marquez berjaya merangkul takhta Kejuaraan Dunia MotoGP 2017 pada hari Ahad ini, sudah pasti ianya satu bonus buat ke semua peminat Honda di luar sana. Sudah tiba masanya untuk anda #FeeltheVibe dan meraikannya!

Sumber imej: MotoGP

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]