Tunggang Uji Dan Ulasan BMW R nineT Urban G/S – Kembalinya Sebuah Ikon


Artikel oleh:Wahid Ooi Abdullah

  • Motosikal BMW R nineT Urban G/S ini berdasarkan platform R nineT.
  • Ianya mengenang kembali kepada motosikal ikonik R80G/S yang telah memenangi empat buah perlumbaan Paris-Dakar Rally.
  • Ketercapaian, praktikaliti, dan penggayaan yang tidak konvensional adalah tarikan utamanya.


“Wahid,” kata Shaz dalam suaranya yang paling lunak merdu, “Kau kena buat artikel mengenai ‘adventure riding’.” Ianya cukup untuk membuat lampu di pejabat seakan-akan berpinar di sekeliling saya. Ya, saya pernah menunggang di jalan tanah merah dan menghadiri latihan motocross di Most Fun Gym (MFG) milik Oh Kah Beng dari masa ke semasa, tetapi, untuk menulis mengenainya adalah satu hal yang berbeza.

Namun begitu, dengan sedikit kajian saya telah membongkar pelbagai cerita yang menakjubkan mengenai perlumbaan Paris-Dakar Rally.

Acara ‘rally raid’ legenda ini (kini dikenali sebagai Dakar Rally atau hanya The Dakar, dan telah berpindah ke Amerika Selatan dari Afrika) yang bermula pada tahun 1979 terbahagi pada kelas motosikal, quad (ATV), kereta, dan trak.

The Dakar bukanlah sejenis perlumbaan rali yang sering kita saksikan dalam World Rally Championship (WRC), di mana para pesertanya berlumba melalui Special Stage (SS) sepanjang 2km bagi mendapatkan masa terpantas.


The Dakar memerlukan pesertanya untuk merentasi jarak 800 hingga 900 kilometer sehari dalam keadaan yang sukar. Kurang daripada 30 peratus laluannya itu terdiri daripada tahap jalan raya, di mana selebihnya merupakan jalan tanah merah – merentasi gumuk pasir, lumpur, rumput, batu, dan pelbagai lagi bentuk muka bumi yang cukup sukar, walaupun hanya dengan berjalan kaki, Tambahan pula, gurunnya yang tidak mengenal mangsa. Malah, telah ada kes di mana peserta hilang tanpa sebarang kesan langsung. Jarak keseluruhan perlumbaan rali ini boleh mencapai sehingga 10,000km. Menamatkannya sahaja terasa seperti satu kemenangan.

Ia tidaklah digelar “Rali Tersukar Dunia” tanpa sebarang sebab.

Bagaimanapun, sedang saya meneliti senarai penghormatannya, dua abjad telah menarik perhatian saya. “G” dan “S”. Lebih tepat lagi, “BMW R80G/S”

Begini, motosikal pada zaman itu telah terbahagi dengan jelas sekali mengikut peranan masing-masing; sama ada ianya untuk jalan raya atau pun jalan tanah merah sepenuhnya. Motosikal jalan raya menawarkan kebolehan ‘touring’ seperti jangkauan yang lebih jauh, kebolehan mengangkut bagasi, dan keselesaan untuk dua orang penunggang dan pembonceng. Sebaliknya, sekiranya anda inginkan motosikal yang dapat menangani laluan tanah Alpine, denai gurun, jalan berpasir atau hutan, ianya sebuah motosikal yang telah ditanggalkan segala kelengkapan ‘touring’nya. Tiada yang lain di antara keduanya.

BMW Motorrad mengambil keputusan yang berani untuk mengisi kekosongan ini dengan sebuah motosikal yang dapat melakukan segalanya. Lahirlah segmen Reiseenduro (touring enduro). (Reise bermaksud “pertukaran lokasi” dalam bahasa Jerman, manakala duro bermaksud “bertahan” dalam bahasa Sepanyol.)

Bagi meringkaskan cerita, BMW Motorrad memperkenalkan motosikal R80G/S krpada dunia di Avignon, Perancis pada 1 September 1980. “G/S” di sini bermaksud Gelände/Straße (offroad/road). BMW Motorrad mempromosikan motosikal R80G/S ini dengan slogan, “Sports machine, touring machine, enduro… Welcome to a motorcycle concept with more than one strings to its bow.”

Motosikal R80G/S juga telah merintis tahap kejuruteraan yang baru, termasuklah dengan bagaimana enjin Boxer-berkembar 800cc-nya itu digabungkan kepada lengan ayun satu-sisi yang juga merumahkan aci pandunya, dinamakan “Monolever”. (“Paralever” diperkenalkan pada 1987 pada R80GS dan R100GS.)

Jadi, motosikal R80G/S merupakan penghulu bagi segala motosikal ‘adventure-touring’, termasuklah motosikal R 1200 GS semasa.

BMW menyertai perlumbaan Paris-Dakar Rally pada tahun 1980, dan penunggang Jean-Claude Morellet menamatkannya di tempat ke-lima di atas jentera R80G/S. Keputusan itu telah menunjukkan potensi G/S dan membakar semangat BMW untuk berusaha lebih keras bagi tahun 1981, dengan hasil yang dituai Hubert Ariol yang memenanginya 3 jam di hadapan pesaing terdekatnya, manakala Morellet menamatkannya di tempat ke-empat. Sebuah G/S bukan milik pengilang yang menjalani pengubahsuaian kecil telah mendapat tempat ke-tujuh.

Sekali lagi BMW memenanginya pada tahun 1983, kali ini bersama dengan penunggang berbadan kecil dari Belgium bernama Gaston Rahier, dengan Auriol di tempat ke-dua. Rahier kemudiannya mempertahankan kemenangannya sekaligus memenanginya perlumbaan Paris-Dakar Rally buat kali kedua berturut-turut pada tahun 1984 di atas jentera R80G/S.

Empat kemenangan perlumbaan Dakar dalam masa lima tahun. Oleh kerana itulah motosikal R80G/s ini merupakan sebuah ikon.

Kini, mari kita kembali ke tahun 2017.

Motosikal BMW R nineT Urban G/S 2017 dengan rasminya telah dilancarkan di Malaysia semasa acara Nightfuel BMW Motorrad Malaysia di Pulau Pinang. (TEKAN SINI untuk membaca liputan kami.)

Dibina berasaskan platform BMW R nineT modular (TEKAN SINI untuk membaca tentang tunggang uji dan ulasan kami), penggayaannya mengimbau kembali kenangan motosikal R80G/S, jadi ia kelihatan retro. Tetapi adakah ia sebuah motosikal warisan?

BMW Motorrad Malaysia telah bermurah hati menyediakan sebuah unit untuk tunggangan ke Pulau Pinang bagi liputan acara berkenaan, namun
memandangkan kami berkongsi pelbagai motosikal berbeza di kalangan ahli-ahli media yang lain, saya hanya dapat menunggangi motosikal Urban G/S ini dari Tian Siang Motorrad di Ipoh.

Beralih daripada motosikal lumba naked/streetfighter S 1000 R yang hebat, motosikal R nineT G/S ini merupakan pertukaran rentak yang hebat, dan juga pertukaran dari aspek fizikal dah mental.

Berbanding dengan pelbagai ciri S 1000 R, motosikal R nineT Urban G/S ini dipadankan dengan sebuah speedometer yang besar dengan sebuah skrin LCD yang kecil diterapkan dalamnya, tiada mod tunggangan (namun ianya dilengkapi dengan ABS yang tidak boleh dimatikan), tiada pengaturcaraan suspensi elektronik, tiada ‘quickshifter‘, tiada ngauman enjin empat-selari.

Tetapi, apa yang ia ada ialah enjin Boxer-berkembar, 1170cc “Oilhead”, dengan 110bhp dan 116Nm tork!

Apabila dihidupkan, ianya bermula dengan satu raungan dan juga ‘tendangan’ yang amat ketara ke arah kanan; begitu juga sewaktu anda memulas pendikitnya. Motosikal ini bagaikan bernyawa dan ia tidak sabar untuk bermula.

Palang pemegang yang di belakang ‘penghadang angin’ klasik itu meletakkan saya pada posisi menunggang menegak. Pelananya diwarnakan seperti mana yang terdapat pada motosikal R80G/S edisi Paris-Dakar, dan ianya rata. Tempat letak kakinya terkehadapan sedikit seperti mana yang terdapat pada motosikal enduro.

Melepaskan klacnya, daya kilas enjin Boxer itu mengambil alih dan motosikal itu bergerak dengan mudah. Nota bunyi enjinnya terasa bersahaja, malahan ianya agak santai.

Di atas Lebuhraya Utara Selatan, kami memutuskan untuk memulas pendikitnya setibanya kami di jalan bersimpang-siur menuju ke Terowong Menora. Deruan enjin yang sekata bertukar menjadi ngauman, bercampur dengan dendangan dari kotak udara di bawah tangki dan juga laungan BRRRAAAP dari ekzosnya itu. Bunyi ekzos sudah cukup nyaring bagi memberi amaran pada kenderaan yang lain.

Sistem suspensinya mungkin agak ringkas dan kurang kebolehalarasan namun kedua-dua bahagian hadapan dan belakang berfungsi dengan agak baik sewaktu kami menangani selekoh-selekoh tersebut pada kelajuan tinggi. Ianya juga dapat menyerap bonggolan garisan ‘speed breaker‘ berwarna merah yang di cat atas laluan, tanpa motosikal terasa seakan mahu ke kiri atau kanan.

Kami bertukar motosikal sekali lagi apabila ke berhenti untuk isian semula di Gunung Semanggol, dan saya mendapat peluang menunggang motosikal tourer K 1600 GT untuk kali ini. Namun begitu, sebaik sahaja berpeluang, saya kembali menunggangi Urban G/S sekali lagi dalam perjalanan kami ke acara Nightfuel.

Lalulintas di Pulau Pinang tidak sesak sewaktu kami meninggalkan G. Hotel di Gurney Drive, tetapi ianya berubah apabila kami tiba di lebuh raya pesisiran pantai yang menuju ke Jambatan Pulau Pinang. Keadaannya begitu sesak sehinggakan motosikal kecil juga mengalami kesukaran untuk menyelinap di antara trafik. “Dah macam babak filem bencana gayanya. Macam semua orang dekat Pulau Pinang ini sedang cuba melarikan diri dari bencana alam!” ujar Sep ketika kami bersembang di kemudian waktu.

Saya berjaya mengekori rapat di belakang sekumpulan penunggang motosikal R 1200 GS tempatan sewaktu mereka membuka laluan dengan menggunakan laluan motosikal. Di sinilah waktunya saya berasa benar-benar bersyukur dengan kelincahan R nineT Urban G/S ini. Ianya stabil sewaktu memotong laluan pada kelajuan yang rendah walaupun ketika kuncian penuh palang pemegang. Turut membantu adalah tuil klacnya yang progresif dan tork enjinnya yang rendah dan lancar. Breknya juga kuat dan progresif, tanpa ia menjadi terlampau agresif.

Jalannya lebih kosong selepas jambatan itu. Kemudiannya, hujan turun selebatnya secara tiba-tiba!

Pakaian menunggang saya telah pun basah sewaktu dalam perjalanan ke Pulau Pinang dan saya telah meninggalkannya untuk dikeringkan di hotel, jadi saya berpakaian baju-T lengan panjang BMW GS Trophy dan, kamera DLSR saya yang tergantung di leher dalam hujan! Hanya satu perkara sahaja yang boleh saya lakukan.

PECUT!

Saya memecut melepasi 130, 140, 150km/j semasa air hujan menghempasi kulit, bagaikan jarum-jarum yang sejuk di sebelah kiri saya. Namun, R nine T Urban G/S ini tetap kekal stabil. Dengan kepala saya ditundukkan di belakang skrin, lutut dan siku dirapatkan, hanya sedikit sahaja tiupan kencang angin yang dirasai.

Saya memarkir di ruang pertama yang terbuka sewaktu tibanya di tapak acara (di tempat pertama, seperti Rahier) dan berlari ke dalam. Ianya ketika pelancaran itulah baru saya tersedar yang saya telah menunggang BMW R nineT Urban G/S yang pertama didaftarkan dalam negara dengan sepenuh kehendak hati saya.

Pada kemudian waktu malam itu, saya bertemu seorang teman yang berada di Pulau Pinang dan kami menunggang ke bandar.

Jalan raya di Pulau Pinang tampak bertambah buruk dan ianya tidak sekata di merata-rata. Ditunggang melebihi kelajuan 60km/j, suspensi R nineT Urban G/S ini dengan mudah menyerap sebarang hentakan bonggolan dan lubang, tetapi ianya terasa lebih keras di bawah kelajuan tersebut. Jadi, tungganginya dengan lebih laju! Pembonceng saya tiada rungutan, mungkin sebab dia lebih ringan daripada saya

Kembalinya ke Kuala Lumpur di mana lalulintasnya bergerak pada kadar yang lebih cepat dan jalannya juga lebih lebar, motosikal R nineT Urban G/S ini tiada masalah sekalipun dengan sebarang permukaan jalan raya yang dihadapinya. bonggol besar dan lubang dihadapi dengan berdiri di atas tempat letak kakinya, dan ianya terasa bagaikan celaan jalan raya yang biasa. Saya sudah serasi sepenuhnya dengan motosikal itu semasa itu dan menunggangnya terasa amat semulajadi.

Tambahan pula, bertepatan dengan pemeringkatan Euro 4 motosikal ini dan prinsip BMW Motorrad dalam membina motosikal yang ekonomikal, Setangki penuh bahanapi dari hentian R&R Tapah telah bertahan selama dua hari penunggangan dalam bandar.

Kesimpulan
Platform BMW R nineT telah dicipta untuk melahirkan lebih banyak varian dan ianya benar-benar menyegarkan untuk mempunyai R nineT Urban G/S dalam rangkaiannya. Ia masih mengekalkan persamaan dengan R80GS yang ikonik dan aspek ‘touring‘nya juga telah dikendalikan dengan baik sekali. Meskipun kami tidak membawa ke jalan tanah merah, motosikal R nineT Urban G/S ini menangani cabaran jalan raya kota yang kasar dengan jayanya sekali. Oleh sebab itulah adanya “Urban” dalam namanya.

Sejujurnya, pada mulanya saya tidak begitu tertarik dengan motosikal ini tetapi setelah mengenali perwatakannya dan mengetahui yang ianya berkongsi gen motosikal R80GS, hati saya tertawan sepenuhnya.

Selain itu, motosikal BMW R nineT Urban G/S ini boleh dikhususkan lagi mengikut citara anda – contohnya, seperti Lac Rose Concept – menonjolkannya lagi di lautan motosikal bergaya kemas.

SPESIFIKASI TEKNIKAL

ENGINE
Engine type Air/Oil-cooled, 4-stroke, DOHC, 4 valves per cylinder, horizontally-opposed (Boxer) Twin
Compression ratio 12.0 : 1
Bore X Stroke 101 mm X 73 mm
Displacement 1170 cc
Fuel system Electronic intake pipe injection
Maximum power 110 bhp (81 kW) @ 7550 RPM
Maximum torque 116 Nm @ 6000 RPM
TRANSMISSION  
Clutch Single dry plate clutch, hydraulically actuated
Gearbox Constant mesh, 6-speed, shaft drive
CHASSIS
Front suspension 43mm telescopic forks, 125mm travel
Rear suspension Single central shock absorber adjustable for preload and rebound damping. 140mm travel
Front brakes Two 320mm floating discs, Brembo four-piston radially-mounted calipers
Rear brake Single 265 mm disc, Brembo two-piston floating caliper
ABS BMW Motorrad ABS, front and rear
Front tyre 120/70-R19
Rear tyre 170/60-R17
FRAME & DIMENSIONS
Frame Three-part frame consisting of one front and two rear sections; load-bearing engine and transmission; rear set frame removable for single rider
Swingarm Cast aluminium single-sided swingarm with BMW Motorrad Paralever
Trail 110.6 mm
Rake 28.5 degrees
Wheelbase 1527 mm
Seat height 850 mm
Dry weight 209 kg
Fuel capacity 17 litres

 

Leave a Reply