Kawasaki Versys X-250 – Motosikal Kembara Paling Mampu Milik Buat Penunggang Baru?

 

 

Artikel oleh: Wahid Ooi Abdullah

  • Motosikal Kawasaki Versys-X 250 menawarkan keseronokan permotosikalan kembara pada harga yang hebat.
  • Ia juga direka dengan ciri-ciri penunggangan kembara.
  • Ianya sudah pasti menarik minat bukan sahaja penunggang-penunggang baru, malahan para penunggang yang berkemahiran.

Sumber imej: advpulse

Motosikal Kawasaki Versys-X 250 datang dari salasilah motosikal kembara, dwi-sukan, ‘adventure-touring‘ yang besar, tinggi, serta merupakan jentera yang buas dan berkuasa; yang merantau bukit pasir dan gumuk di perlumbaan Rali Paris-Dakar. Masihkah anda ingat akan motosikal-motosikal dwi-sukan V – berkembar 750cc dan 900cc yang gagah itu? Mereka merupakan penghulu bagi motosikal-motosikal kembara.

Kelas perlumbaan motosikal dalam perlumbaan Rali Paris-Dakar (kini dikenali sebagai Rali Dakar) bermula dengan para peserta menunggang motosikal satu silinder yang lebih kecil namun dengan tercetusnya perang senjata yang menyaksikan para pengeluar dan penunggang cuba mendapatkan kelebihan di antara sesama sendiri, motosikal-motosikal itu bertukar menjadi lebih besar dan berat, dan semestinya, lebih berkuasa. Motosikal berasaskan-enduro, satu silinder yang dijual pada orang ramai dan diubahsuai untuk perlumbaan, digantikan dengan jentera yang dibina khas yang kemudiannya dijual sebagai replika.

Walau bagaimanapun, dengan peningkatan dari segi kelajuan, semakin banyak kemalangan dan kecelakaan yang membawa kematian dalam perlumbaan rali paling sukar di dunia ini. Ini menyebabkan pihak penganjur memansuhkan format berbilang-silinder ke satu silinder bagi mengehadkan kelajuannya, mulanya dari 690cc dan kini pada 450cc bermula tahun ini.


Di atas jalan raya, secara ironiknya, sebaliknya yang berlaku dari segi kapasiti enjin. Kebanyakan motosikal kembara atau ‘adventure-touring’ di pasaran dimonopoli oleh kelas pertengahan (750cc hingga 800cc) hinggalah ke model kelas terbuka (1000cc ke atas).

Motosikal kelas terbuka malangnya, datang dengan tanda harga yang mahal bagi kebanyakan penggemar motosikal, pada linkungan sekitar RM80,000. Kelas pertengahan pula, sering diletakkan harganya bermula dari RM50,000. Jangkauan kuasa enjinnya di antara 70hp hingga 160hp.

Jadi, bagaimana pula dengan Kawasaki Versys-X 350? (Anda boleh TEKAN SINI untuk membaca tanggapan pertama kami dan TEKAN SINI untuk membaca ulasan penuh tunggang uji jalan raya kami.)

1. Kuasa Yang Lancar

Menunggang di atas permukaan yang kasar bukannya berkenaan dengan kelajuan semata-mata. Kelajuan ‘off-road‘ secara puratanya sering kali sekitar 30km/j, dengan kelajuan terpantas pada tahap 60km/j. Lebih tinggi daripada kelajuan berkenaan adalah untuk para penunggang professional, atau sekiranya anda sudah menandatangani wasiat dan membayar ke semua hutang anda.

Dan jujurlah pada diri sendiri, kebanyakan daripada kita bukannya penunggang motocross separuh masa, apatah lagi professional.

Motosikal Versys-X 250 ini menghasilkan 33.5bhp dan 21.7Nm tork dengan berat 173kg, untuk nisbah 5.2kg/bhp. Dibandingkan dengan Kawasaki KLX250 Enduro, ia menghasilkan 23bhp dan 21Nm tork tetapi dengan berat 136, untuk nisbah 5.6kg/bhp. Ianya amat rapat sebenarnya antara kedua-dua motosikal ini.

Mengapa kuasa kudanya lebih rendah pada motosikal KLX? Kerana Kelajuan yang tinggi pada muka bumi yang tidak sekata bukanlah segala-galanya. Seperti mana motosikal Rali Dakar pada tahun-tahun yang lalu.

Bagi Kawasaki Versys-X 250, ianya pasti dihargai oleh penunggang baru, dan para penunggang professional pasti mendapatinya menarik sekali.

Dan bukan itu sahaja, tindak balas pendikitnya juga lancar dan tidak membahayakan pada permulaannya.

2. Kebolehkawalan

Menunggang secara ‘off-road‘ ini lebih kepada kebolehan untuk mengawal motosikal di pinggir cengkaman tayar, selain daripada kebolehan mengarahkannya kepada tempat yang ingin dituju.

Sumber imej: advpulse

Sudah tentu yang motosikal yang lebih besar mempunyai lebih banyak kelengkapan elektronik tetapi pada masa yang sama, ianya lebih berat, lebih tinggi dan mungkin sekali terlalu banyak kuasa di muka bumi yang kasar akan menyukarkan motosikal itu dikawal untuk kebanyakan penunggang.

Agihan kuasa dan tindak balas pendikit yang lancar dan mudah dijangka teramatlah penting.

Kebolehkawalan bermula dari kuasa yang mencukupi, agihan kuasa yang lancar, keringanan, ketirusan motosikal, ruang gerakan suspensi yang panjang, dan yang paling penting buat penunggang baru, ketinggian pelana yang sesuai.

3. Ringan

Motosikal ini akan melompat, terjatuh, tergelincir, dan menggeliang-geliut sewaktu anda menunggangnya secara ‘off-road‘. Lambat-laun, lengan, kaki, belakang, dan otot-otot utama anda akan mula terasa bahangnya.

Sumber imej: Ksatria Pinandhita

Dan kini, bayangkan anda sedang menunggang motosikal seberat 200kg lebih semasa ianya berlaku.

Tidak seronok langsung.

Badan dan minda anda tidak mampu menahan tekanan sebegitu dengan lama, dan lambat laun, pasti anda akan terjatuh. Pastinya ia akan mengurangkan keseronokan anda sewaktu menunggang.

Kita ambil sebagai contoh: Penulis pernah menunggang di gumuk pasir mencecah pergelangan kaki di Afrika Selatan. Di mana kebanyakan peserta memilih untuk menunggang motosikal ‘adventure-tourer‘ 1200cc, penulis memilih untuk menunggang motosikal enduro 600c yang lebih kecil dan ringan. Tidak lama kemudian, setiap penunggang 1200cc terbabas di bahagian berkenaan kecuali seorang, tetapi penulis dengan mudah menanganinya tanpa sebarang masalah. Dan gumuk pasir itu tidaklah begitu mencabar jika dibandingkan dengan yang ada di gurun Tenerife!

Setelah menunggang secara ‘off-road‘ di atas motosikal Versys-X 250 ini, penulis yakin yang ianya motosikal yang sesuai untuk tugas ini.

4. Badan Yang Ramping

Mempunyai bahagian tengah yang tirus di mana pelananya bertemu dengan tangki merupakan satu faktor rekaan yang penting. Seperti yang telah kami liputi dalam artikel tips untuk ‘off-roading‘ minggu lalu (TEKAN SINI), anda perlu berdiri sewaktu menunggangnya.

Sewaktu anda berdiri, kaki anda perlu selari dengan profil tegak motosikal, dan bukannya terkangkang seperti menunggang sebuah motosikal cruiser. Dengan cara itu, anda dapat membantu mengarahkan motosikal anda dengan menekan ke bawah menggunakan kaki anda, atau mengepit bahagian tengahnya bagi menstabilkan motosikal di seksyen lurus yang laju.

Motosikal Versys-X 250 mempunyai bahagian tengah yang tirus, tetapi ia juga ada satu lagi tambahan.

Jika anda perasan, tangkinya menyerong ke bawah ke arah pelana. Ianya untuk kegunaan penunggang, terutamanya kita yang bersusuk badan orang Asia, untuk mengimbangkan bahagian atas badan kita ke roda hadapan. Tangki yang berserong ini untuk memastikan yang bahagian atas tangki untuk tidak terhentak di celah kelangkang, sekiranya motosikal terlanggar bonggol.

5. Suspensi Dengan Ruang Gerakan Yang Panjang

Seperti mana kebiasaan sebuah motosikal kembara, Versys-X 250 ini mempunyai ruang gerakan suspensi 130mm di hadapan, dan 150mm di belakang. Roda hadapannya adalah berdiameter 19 inci. Gabungan ini bermakna yang ianya mempunyai kelegaan tanah yang agak luas, iaitu 180mm.

Ruang gerakan suspensi yang lebih panjang bermakna terdapat ruang yang lebih besar bagi suspensinya menyerap hentakan muka bumi, lebih-lebih pada permukaan yang tidak sekata dan kasar bagi memberikan tunggangan yang lebih lancar dan tidak terganggu buat penunggang.

6. Ketinggian Pelana Yang Rendah

Walaupun kebanyakan motosikal kembara ini tinggi, Kawasaki Versys-X 250 ini bercirikan ketinggian pelana yang rendah, hanya pada 815mm, memudahkan mereka yang baru menunggang dan di kalangan kita yang lebih pendek.

Kemampuan untuk menyentuh lantai dengan kaki sewaktu menunggang di jalan tanah merah akan memberikan keyakinan, terutamanya bagi penunggang baru, tetapi ianya juga sesuatu yang perlu kita lakukan sewaktu menyelekoh. Lebih pantas kaki menjejak tanah bermakna semakin kuranglah motosikal itu perlu condong sewaktu menyelekoh, yang bererti semakin tipis kemungkinan yang tayar tergelincir dari bawah penunggang.

Di atas jalan raya berturap, ketinggian pelana yang rendah ini juga menyumbang kepada keselamatan apabila motosikal ini dalam keadaan pegun atau pun tersekat dalam kesesakan trafik.

7. Praktikaliti

Motosikal sebegini secara nalurinya adalah praktikal dan Kawasaki Versys-X 250 ini tiada bezanya. Tetapi oleh kerana ianya motosikal yang berkapasiti lebih kecil, ia mempunyai profil yang ramping dengan palang pemegang yang lebih tinggi. Digandingkan dengan betapa ringannya motosikal ini, ianya sudah pasti sebuah motosikal dalam bandar yang hebat. Susuknya yang ramping dengan palang pemegang yang tinggi bermakna anda boleh menyelinap di antara trafik tanpa perlu risau, manakala dengan keringanannya bermakna yang ianya lincah.

Tambahan pula, oleh kerana motosikal ini agak tinggi, ia memberikan anda lapangan pandangan trafik yang lebih baik di sekeliling anda.

8. Kebolehan Touring

Oleh sebab motosikal Kawasaki Versys-X 250 ini sebuah motosikal kembara, ia mempunyai banyak ruang untuk bagasi. Lengkapkannya dengan sepasang pannier GIVI dan topcase dan anda sudah mempunyai sebuah motosikal adventure-tourer (seperti Versys-X 250 yang kami uji DI SINI).

Enjin sejukan cecair, empat injap, DOHC, 249cc, berkembar selari itu juga cekap bahanapi. Sepanjang sesi tunggang uji kami, kami telah mendapat sekitar 260 hingga 300km daripada tangki bahanapi 17 liternya itu.

Kelajuan tertingginya pada tahap 150km/j dan ianya cukup pantas untuk kebanyakan tujuan.

Kesimpulan

Sebagai penutupnya, motosikal Kawasaki Versys-X 250 ini disarankan bagi mereka yang ingin memulakan perjalanan mereka dalam dunia penunggangan kembara yang menarik ini. Walau bagaimanapun, oleh sebab ianya praktikal, ringan dan lincah, ia juga pasti menarik perhatian penunggang yang berpengalaman yang ingin mencuba sesuatu yang lebih mencabar. Pada masa yang sama, ianya juga sebuah motosikal jalanan yang amat berkebolehan.

Keseronokan penunggangan kembara tidak perlu hanya dialami di atas jentera yang mahal, seperti yang dibuktikan oleh Versys-X 250 yang mampu milik ini, dengan tanda harganya hanya pada RM23,789 (harga asas beserta GST). Sememangnya ianya satu-satunya yang berada di pasaran Malaysia.

SPESIFIKASI TEKNIKAL

 

Engine Liquid-cooled, DOHC, 8-valves, parallel-Twin
Displacement 249cc
Bore x Stroke 62.0 mm x 41.2 mm
Compression ratio 11.3 : 1
Fuel system Electronic fuel injection, 28mm with dual throttle valves
Maximum power 33.1 bhp (24.7 kW) @ 11,500 RPM
Maximum torque 21.7 Nm @ 10,000 RPM
Front suspension 41mm telescopic forks
Rear suspension Bottom-link Uni-Trak gas-charged shock, adjustable for preload
Front brakes 1 x 290 mm petal disc, 1 x balanced actuation dual-piston caliper
Rear brake 1 x 220 mm petal disc, 1 x dual-piston caliper
Frame High-tensile steel backbone
Rake 24.3 degrees
Ground clearance 180 mm
Seat height 815 mm
Fuel capacity 17 litres
Curb weight 173 kg

Leave a Reply