Laporan Penyiasatan Kemalangan Nicky Hayden Dikeluarkan

  • Nicky Hayden telah dilanggar oleh sebuah kereta pada bulan Mei tahun ini.
  • Dia meninggal dunia lima hari kemudian.
  • Penyiasat kes ini mengatakan yang kedua-dua belah pihak bersalah dalam kemalangan ini.


Kehilangan Nicky Hayden masih lagi kuat dirasai di kalangan persaudaraan perlumbaan motosikal, peminatnya (ramai daripada mereka juga berada di Malaysia), dan juga mereka yang telah mengenalinya di luar paddock.

Dunia dikejutkan dengan berita yang mengatakan bahawa dia dilanggar oleh sebuah kereta sewaktu dia sedang berbasikal berhampiran dengan Litar Misano di Itali pada 17 Mei 2017 (TEKAN SINI untuk membaca laporan kami). Dia kemudiannya telah dipindahkan ke unit ICU sebuah hospital di luar Rimini, Itali. Ucapan semangat dan doa mula menbanjiri, memenuhi laman Facebook dan laman sesawang. Semua orang berasa yakin yang dia mampu mengatasi kecelakaan ini, seperti mana yang sering dia lakukan, mengatasi segala halangan di hadapannya semasa di atas litar.

Tetapi malangnya, Nicky tidap dapat mengatasi kecederaan ini, dan dia meninggal dunia lima hari kemudian akibat kecederaan kepala yang serius (TEKAN SINI untuk membaca laporan kami). Berita itu amat menyedihkan bagi semua orang.

Kes ini telah disiasat oleh badan pendakwaan tempatan, dan hasilnya telah diumumkan kepada orang ramai.

Penyiasatan ini telah mendapatkan kenyataan dari pemandu, saksi-saksi, dan juga rakaman CCTV. Kesalahan telah pun dibahagikan kepada kedua-dua belah pihak, yang bermakna kedua-dua Nicky dan pemandu kereta berkenaan yang bersalah dalam hal ini. 70% daripadanya merupakan kesalahan pemandu kereta, kerana memandu dengan kelajuan berlebihan, dan 30% pula ke Nicky Hayden, kerana gagal untuk berhenti sepenuhnya di papan tanda berhenti di persimpangan.


Pemandu berusia 30 tahun itu merempuh Nicky sewaktu memandu pada kelajuan 70km/j dalam zon had laju 50km/j.

Sering kali kemalangan adalah hasil gabungan keadaan, dan amat jarang sekali ianya kesalahan satu pihak 100%.

Kes ini akan dihadapkan ke mahkamah Itali dan para peguam akan membahaskan perbandingan kesalahan antara Nicky Hayden dan pemandu tersebut.

Pemandu berkenaan berhadapan dengan hukuman lima sehingga sepuluh tahun penjara, kerana dia dituduh melakukan homisid berkenderaan.

Pada pendapat kami, kita perlu sama-sama mengawasi satu sama lain, tidak kiralah sama ada berkereta, bermotosikal, berbasikal mahu pun pejalan kaki. Kepekaan pada persekitaran sewaktu di atas jalan raya perlu dijadikan keutamaan bagi mengelakkan sebarang kecelakaan. Gunakanlah segala ciri-ciri keselamatan (hon, lampu isyarat, kadar kelajuan yang sesuai) untuk kesejahteraan bersama. Semoga ianya menjadi satu pengajaran dan peringatan buat kita semua.

Leave a Reply