MotoGP: Repsol Honda Raih Kemenangan Satu-Dua Di Aragon; Lorenzo Di Tempat Ke-tiga

 

  • Pusingan ke-14 MotoGP yang diadakan di Aragon semalam telah menyaksikan kemenangan satu-dua oleh penunggang pasukan Repsol Honda, Marc Marquez dan Dani Pedrosa.
  • Jorge Lorenzo (Ducati Team) telah menunjukkan peningkatan yang hebat dengan menamatkan perlumbaan di tempat ke-tiga setelah mendahului secara majoriti ketika masa perlumbaan itu di atas jentera Ducati Desmosedici GP17-nya.
  • Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP) berlumba dengan hebat sekali dan melintasi garisan penamat di P5 di belakang teman sepasukannya Maverick Vinales meskipun dia baru sahaja pulih dari kecederaan keretakan kaki yang dialaminya hanya 25 hari yang lalu.


Ianya merupakan pusingan MotoGP yang bersejarah di pusingan ke-14 MotosGP, Gran Premio Movistar de Aragon, di mana kedua-dua penunggang bagi pasukan Repsol Honda, Marc Marquez dan Dani Pedrosa, merangkul kemenangan satu-dua di hadapan penonton negara mereka. Jorge Lorenzo melengkapkan podium semua penunggang Sepanyol itu dengan penunggangan gaya Lorenzo klasik yang mengagumkan di atas jenteranya yang kini lebih serasi dengannya, Ducati Desmosedici GP17.

Permulaan perlumbaan itu menyaksikan Jorge Lorenzo mempamerkan penunggangan yang telah menjadi tanda pengenalannya sewaktu dia berada di pasukan Yamaha di mana dia akan melakukan gerakan ‘slingshot‘ ke hadapan dan mengekalkan kedudukannya itu sehinggalah pada bahagian penghujung perlumbaan. Ianya merupakan sebuah perlumbaan yang dipenuhi dengan aksi dan drama yang mana ia dipertingkatkan lagi dengan kehadiran penunggang pasukan Movistar Yamaha, Valentino Rossi.

Juara Dunia MotoGP sembilan kali itu memberikan usaha yang amat membanggakan bagi mengekalkan kedudukan di posisi ke-dua perlumbaan sebelum secara perlahan-lahan dia menamatkannya di P5 di belakang teman sepasukannya, Maverick Vinales. Satu usaha yang boleh dipuji bagi seorang penunggang berusia 38 tahun yang mengalami kecederaan keretakan di kaki kanannya di tiga tempat berbeza hanya 25 hari yang lalu.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai cerita Rossi berkenaan kecederaannya itu, TEKAN SINI.

Satu lagi kisah kecemerlangan datang dalam bentuk Aleix Espargaro serta pasukannya, Aprilia Racing Team Gresini, yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-enam di belakang “The Doctor”, dan menempatkannya sebagai penunggang bebas teratas dan seorang lagi penunggang kelahiran Sepanyol di parc ferme. Ianya merupakan keputusan terbaik buat jentera pengilang MotoGP Aprilia RS-GP buat setakat ini.

Andrea Dovizioso yang hadir di perlumbaan ini dengan kedudukan mata kejohanan yang sama dengan Marc Marquez tidak dapat menandingi rentak kelompok pendahulu dan menamatkan perlumbaan di P7 meskipun dengan segala isu yang dihadapi oleh penunggang dari Itali berkenaan sepanjang hujung minggu ini. Dia kini berada di tangga kedua mata keseluruhan kejohanan dengan jumlah 16 mata memisahkannya dengan pendahulu kejohanan.

Alvaro Bautista (Pull&Bear Aspar Team) memberikan persembahan yang mengagumkan dan melintasi garisan penamat di kedudukan yang boleh dibanggakan, P8. Dia juga turut memberikan saingan yang sengit buat Dovizioso di atas jentera yang dianggap sebagai jentera generasi terdahulu bagi jentera yang terkini, Ducati Desmosedici GP17 yang dikemudi oleh Lorenzo dan juga Dovizioso sendiri.

Johann Zarco (Monster Yamaha Tech 3) dan Pol Espargaro (Red Bull KTM Factory Racing) melengkapkan kedudukan 10 teratas walaupun dibebani dengan segala masalah serta isu yang dihadapi oleh kedua-dua penunggang berkenaan sepanjang hujung minggu ini.

Para penunggang kini dapat menarik nafas buat sementara waktu sebelum mereka meneruskan musim dengan tiga perlumbaan ‘flyaway‘ dalam tiga minggu berturut-turut yang akan diadakan di Jepun, Australia, dan Malaysia.

Teruskan kekal bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan terkini MotoGP.

Sumber: MotoGP

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]