Petronas Dan MAS Cargo Bekerjasama Dengan Borneo International H.O.G Rally

 

Salah sebuah acara permotosikalan yang terbesar di Malaysia, acara Borneo International H.O.G Rally Malaysia 2017, atau singkatannya BIHRM, akan berlangsung dari 30 September hinggan 9 Oktober.

Seperti yang dapat kita jangkakan, hal ehwal logistik bagi menguruskan sesuatu acara sebesar ini pastinya bukan satu tugas yang mudah. Jadi, bagi membantu mengurus sebahagian dari fungsinya dalam memastikan acara ini berjalan dengan jayanya, dua syarikat yang cukup terkenal dalam landskap perniagaan Malaysia telah tampil ke hadapan untuk membantu – Petronas dan Malaysia Airlines.

Petronas akan bertindak sebagai Rakan Kongsi Bahanapi Rasmi, manakala Malaysia Airlines (MAS) Cargo, pula sebagai Rakan Kongsi Logistik Rasmi bagi acara rali berkenaan.

Kerjasama antara Harley-Davidson Owners Group, Bahagian Kuala Lumpur dengan Petronas dan MAS Cargo ini telah dimeterai hari ini di Bilik Pameran Harley-Davidson di Petaling Jaya.

“BIHRM 2017 bermula dengan satu idea untuk menunggang dari Minggu Motosikal Antarabangsa Kota Kinabalu (Kota Kinabalu Bike Week) ke Minggu Motosikal Antarabangsa Kuching (Kuching International Bike Week),” ujar T.J Roslan, Pengarah bagi Harley-Davidson Owners Group Bahagian Kuala Lumpur, Malaysia.

“Idea ini telah menjadi satu kerjasama yang hebat dengan para ahli kelab H.O.G® tempatan di Sabah dan Sarawak. Hasil daripada idea itu, terciptalah BIHRM 2017.” Tambahnya lagi.

Acara Borneo International H.O.G.® Rally Malaysia (BIHRM) 2017 akan mengumpulkan para pemilik serta penggemar Harley-Davidson dari seluruh pelusuk dunia untuk satu tunggangan epik sejauh 1,450km dari Kota Kinabalu ke Labuan dan kemudiannya melalui Brunei sebelum menuju ke Miri, Bintulu, Sibu, dan akan berakhir di Kuching di sambil menikmati keindahan serta kebudayaan yang ada di Kepulauan Borneo itu.

Malaysia Airlines (MAS) Cargo telah bersetuju untuk menjadi Rakan Kongsi Logistik Rasmi untuk Borneo International H.O.G. Rally Malaysia (BIHRM) 2017, menyediakan pengangkutan udara yang pantas bagi mengangkut motosikal-motosikal ke Kota Kinabalu untuk permulaan rali berkenaan dan dari Kuching pada penghujungnya nanti.

Sebuah video promosi yang istimewa akan dirakamkan bagi menunjukkan betapa telitinya mereka di MAS Cargo semasa mengangkut motosikal-motosikal ini melalui udara.

Di sepanjang perjalanan itu, rali ini akan melawat beberapa lokasi di mana Petronas Dagangan Berhad akan mengadakan program “Water for Life”, yang akan menghubungkan komuniti tempatan dengan bekalan air bersih, serta program “Streetsmart” mereka yang mendidik orang awam akan asas keselamatan jalanraya.

Acara Borneo International H.O.G.® Rally Malaysia (BIHRM) 2017 diharapkan dapat memberi manfaat kepada para pemilik Harley-Davidson serta industri pelancongan tempatan dengan menjadikan BIHRM2017 ini sebagai penanda aras bagi mengilhamkan lebih banyak acara permotosikalan di Kepulauan Borneo pada masa akan datang.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply