Diuji: Benelli 302R 2017 – “Motosikal Lumba Kecil Yang Berjiwa Besar”

  • Benelli 302R 2017 adalah peserta terbaru dalam segmen motosikal lumba tahap permulaan di pasaran Malaysia.
  • Dicipta dengan rekaan yang indah serta prestasi yang baik dari enjin dwi-silinder 300cc-nya itu, 302R ini merupkan pakej keseronokan menyeluruh
    terutamanya buat mereka yang masih baru bermula.
  • Dengan harga yang berpatutan iaitu RM21,888 (harga asas tanpa GST), kami cuba untuk mendapatkan jawapan sama ada ianya berbaloi dengan nilainya sebagai sebuah motosikal lumba tahap permulaan.


Jika dilihat pada pilihan motosikal lumba yang terdapat di negara kita Malaysia ini, kebanyakan orang pasti akan meneliti dengan bersungguh-sungguh bagi mencari motosikal yang terbaik buat diri mereka. Dan di mana kita telah bernasib baik mempunyai begitu banyak pilihan dalam segmen motosikal lumba tahap permulaan, muncul pula satu lagi tambahan terbaru dari Benelli, 302R 2017.

Kami telah diberi peluang untuk menguji kebolehan motosikal Benelli 302R ini dalam beberapa senario penunggangan yang berbeza. Pada masa yang sama, kami ingin mendapatkan jawapan kepada persoalan yang utama iaitu sama ada ianya berbaloikah untuk anda dapatkannya untuk diri anda sendiri.

Sewaktu kami mendapatkan motosikal ini di ibu pejabat Mforce Bike Holdings yang terletak di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur, kami telah dimaklumkan yang motosikal ini telah pun mencatatkan perbatuan yang agak tinggi memandangkan ia telah terlibat dengan jelajah ke seluruh negara “Jelajah 1 Malaysia” Ulangtahun Jubli Emas ke-50 BERNAMA. Ianya satu petanda yang baik buat kami kerana motosikal ini telah pun melalui pelbagai senario penunggangan dunia nyata dan juga bagi membandingkannya dengan tanggapan pertama kami sewaktu motosikal mula dilancarkan.


Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang tanggapan pertama kami mengenai Benelli 301R 2017 ini, TEKAN SINI.

Melihat pada rekaannya, secara jujur kami dapat katakan yang motosikal 302R ini mempunyai gabungan tarikan motosikal lumba gaya lama di bahagian hadapannya dan sewaktu lirikan mata anda mengekorinya ke bahagian belakang, anda akan perasan begitu banyak garisan serta alur-alur tajam yang moden. Malah, kami menyedari yang ianya mempunyai banyak kualiti yang sering dilihat pada motosikal besar sewaktu menangkap gambar jentera yang indah ini dari belakang yang mana ianya agak mirip seperti motosikal lumba pertengahan. Sememangnya Benelli 302R ini sebuah jentera yang direka dengan cantik sekali.

Beberapa kelengkapan motosikal besar juga boleh didapati pada 302R ini. Sebagai contoh, pakej suspensinya terdiri daripada fork hadapan teleskopik terbalik yang besar dengan ruang gerakan 120mm serta suspensi belakang teleskopik pegas gegelung redaman minyak dengan ruang gerakan 45mm. Tunggangannya terasa amat lancar dan tidak memenatkan langsung, tidak seperti sesetengah motosikal lumba tahap permulaan yang lain yang terpaksa mengorbankan sedikit keselesaan bagi memastikan harganya rendah.

Pakej breknya juga agak mengagumkan bagi sebuah motosikal lumba dengan bajet yang kecil. Keseluruhan sistem terdiri daripada sepasang cakera brek hadapan 260mm digandingkan dengan angkup dwi-silinder (beserta dengan satu cakera brek belakang 240mm) jadi daya henti 302R ini telah dimudahkan tanpa perlu menekan dengan kuat tuil breknya. Mereka juga telah membekalkan daya henti terkawal yang secukupnya pada bila-bila masa sahaja yang anda perlukan yang menjadikan 302R ini amat baik sekali walau pun untuk mereka yang masih baru berjinak-jinak dengan motosikal.

Kini, kita teruskan ke bahagian utama 302R ini, enjin dwi silinder 300cc-nya. Dibina dengan lapan injap, DOHC, dan teknologi suntikan bahanapi terkini dari Benelli, motosikal 302R ini menghasilkan 37hp pada 10,000rpm dan 27.4Nm tork pada 9,000rpm.

Enjin 300cc ini telah ditala untuk pengagihan kuasa yang liear dan lancar merentasi rpm rendah dan sederhana tetapi akan mengaum sebaik sahaja anda melepasi 9,000rpm. Ianya bukanlah motosikal yang terpantas tetapi cukup pantas untuk membuatkan anda melirikkan senyuman. Digandingkan dengan bunyi masukan yang menggiurakan yang mana selalu kita dengari pada motosikal berprestasi tinggi seperti Kawasaki Z900 ABS, motosikal Benelli 302R ini semestinya sebuah jentera yang seronok untuk ditunggang.

Pecutannya juga agak bagus dan ia dapat mencapai kelajuan lebuhraya dengan cepat sekali. Disebabkan masa serta ruang yang terhad, kami tidak dapat menguji kelajuan tertinggi yang dapat dicapai motosikal 302R ini. Walaubagaimanapun, kami dapat berbual dengan salah seorang pemilik motosikal ini dan dia mendakwa yang dia pernah mencapai kelajuan sekitar 193km/j sebelum dihadkan oleh rpm.

Semasa merentasi transmisi enam kelajuannya, kami perasan yang ia mempunyai kecenderungan untuk melompat keluar dari gear empat jadi anda perlu menarik tuil klac sehabisnya dan menukar gear dengan efisien bagi mengelakkan berlakunya ‘false neutrals‘. Selain dari itu, kotak gear itu agak mudah untuk digunakan tanpa sebarang isu.

Selain itu, kami juga terperasan yang palang pemegangnya, terutamanya pada sebelah kanan bergetar sedikit, dan sebarang getaran kecil yang bergerak ke arah lengan untuk jangka waktu yang panjang akan menyebabkan kelesuan dan ketidakselesaan buat penunggang. Perkara yang sama juga berlaku pada tempat letak kaki namun getaran agak sukar untuk disedari jika anda memakai sebarang but atau kasut penunggangan yang disyorkan.

Sepasang tayar Metzeler yang dilengkapkan semestinya pilihan tepat yang telah dibuat oleh Benelli kerana ianya memberikan cengkaman yang mencukupi serta kebolehan menyelekoh yang lancar. Sesiapa pun pasti menyangkakan yang 302R ini merupakan sebuah jentera yang menyeronokkan untuk sesi hari litar walaupun untuk litar yang besar seperti Litar Antarabangsa Sepang. Tetapi, dengan hanya beberapa pusingan pemanas yang mencukupi dan anda boleh menikmati keseronokan di litar-litar yang lebih kecil seperti ELITE Speedway di Subang atau Litar Kart Antarabangsa Sepang.

Satu aspek yang penting yang telah kami sedari selepas seminggu menunggangnya adala tangki bahanapi 14 liternya itu ramping dan panjang bentuknya. Walaupun ianya tampak hebat dan membolehkan ruangan yang hebat bagi anda merapatkan badan anda sewaktu memecut di jalan lurus yang panjang, ia telah memberikannya seakan sebuah motosikal yang lebih kecil berbanding dengan keseluruhan jentera yang lebih besar itu. Mengapit tangki dengan kaki anda memerlukan penyesuaian oleh kerana bentuknya yang unik itu namun setelah beberapa ketika, anda pasti dapat beraksi bagaikan Maverick Vinales sewaktu berlumba di atas litar.

Secara keseluruhannya, kami rumuskan yang Benelli 302R ini sebagai sebuah pakej motosikal lumba tahap permulaan yang menyeronokkan. Dengan harga yang amat boleh dimiliki iaitu RM21,888 (harga asas tanpa GST), memiliki Benelli 302R anda tersendiri tidak akan memberikan beban yang besar pada poket anda.

Walaupun kami fikir ianya sebuah motosikal lumba tahap permulaan yang bagus untuk dimiliki, di ingatkan buat mereka yang ingin memiliki model ini untuk meluangkan masa dan juga wang untuk mendapatkan lesen B ‘Full’ kerana ianya sebuah motosikal berkapasiti 300cc. Motosikal yang baik, rekabentuk yang hebat, prestasi yang membanggakan, dan juga mampu milik. Ke semua faktor yang pasti menggiurkan para peminat motosikal negara.

Bagi meneliti spesifikasi penuh Benelli 302R 2017 ini, TEKAN SINI.

Leave a Reply