MotoGP: Valentino Rossi Tidak Akan Berlumba Pada Hujung Minggu Ini

 

  • Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP) telah disahkan tidak akan mengambil bahagian dalam GP San Marino pada hujung minggu ini.
  • Ini bermakna yang Rossi tidak akan berlumba di perlumbaan halamannya disebabkan oleh kecederaan yang dialami pada kaki kanannya semasa satu sesi latihan enduro pada minggu lalu.
  • Rossi telah dinasihatkan untuk berehat sepenuhnya selama dua perlumbaan bagi memastikan kecederaannya pulih sepenuhnya sebelum dia dapat bersaing semula.

 

 

Dengan hati yang berat kami sampaikan berita bahawa Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP) tidak akan mengambil bahagian dalam pusingan MotoGP yang berikutnya yang mana ianya akan diadakan di Misano pada hujung minggu ini. Disebabkan oleh kecederaan kakinya dan pembedahan yang berjaya bagi merawat tulangnya yang retak, “The Doctor” akan terlepas peluang untuk berlumba di perlumbaan halamannya sendiri yang mana ianya juga satu tamparan yang hebat dalam usaha kejohanan MotoGP 2017-nya.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kemalangan enduro Rossi yang menyebabkan patah kaki kanannya itu, TEKAN SINI.

Berikutan satu kemalangan enduro yang dialaminya sewaktu satu sesi latihan pada minggu lalu, juara dunia MotoGP sembilan kali itu telah mengalami keretakan pada tulang fibula dan tibia di kaki kanannya. Walaupun pembedahan bagi merawat kecederaan itu dianggap berjaya, penunggang berusia 38 tahun itu masih perlu berehat selama dua pusingan lagi bagi memastikan kecederaannya pulih sepenuhnya sebelum dia benar-benar sihat untuk berlumba semula.


Kerana kesuntukan masa, GP San Marino ini akan hanya menyaksikan penyertaan seorang sahaja penunggang Movistar Yamaha MotoGP iaitu teman sepasukan Rossi, Maverick Vinales. Vinales kini menduduki tangga ke-tiga dalam kejohanan dunia 2017 di belakang Andrea Dovizioso dari Ducati dan Marc Marquez dari Honda.

Walaupun tiada pengganti tempat bagi perlumbaan di halaman Rossi di Misano pada hujung minggu ini, kemungkinan besar akan ada seorang penunggang yang akan mengisi tempatnya di pusingan yang berikutnya yang akan diadakan di Aragon pada 24 September 2017. Apa yang dapat kami sahkan buat masa ini adalah kejadian malang ini menjadikannya mustahil buat Rossi untuk merangkul takhta dunia MotoGP ke-10, setidaknya bukan untuk tahun 2017 ini.

Kami di sini turut bersedih untuk Rossi, dan mendoakannya agar sembuh dengan segera.

Teruskan kekal bersama MotoMalaya untuk perkembangan terkini MotoGP

Sumber gambar: MotoGP

 

Leave a Reply