Pusingan Kelayakan BMW Motorrad GS Trophy Asia Tenggara 2017 – Malaysia (Hari Akhir)

 

  • Satu hari yang penuh persaingan sengit untuk memilih wakil tunggal Malaysia.
  • Seorang penunggang wanita Malaysia akan bersaing untuk tempat dalam pasukan wanita di Thailand.
  • Pemilihan awal bagi tiga penunggang Singapura turut dijalankan.

 

Hari Kedua dan terakhir bagi Pusingan Kelayakan BMW Motorrad GS Trophy Asia Tenggara telah diadakan pada hari Ahad, 13 Ogos 2017.

Sepuluh orang finalis dari hari Sabtu, 12 Ogos 2017 bertanding untuk mengisi posisi sebagai wakil tunggal Malaysia dalam pasukan Asia Tenggara untuk pertandingan BMW Motorrad GS Trophy 2018 di Mongolia.

TEKAN SINI untuk membaca artikel kami mengenai hari pertama pusingan kelayakan ini.


Walaupun pemilihan itu diadakan di tapak yang sama seperti hari sebelumnya, Penyelia Trophy serta wakil Malaysia untuk GS Trophy 2016, Faisal Sukree telah menyediakan cabaran serta ujian yang baru untuk para peserta. Selain itu, sistem pemarkahan telah ditukar kepada pemarkahan binari. Setiap bahagian atau ujian akan dinilai sama ada 1 atau 0. Ya atau tidak. Lulus atau pun gagal.

Selain itu, para finalis kini akan menggunakan motosikal yang sama iaitu R 1200 GS LC dengan kemasan GS Trophy, dan bukannya motosikal mereka sendiri seperti pada hari yang pertama. Ianya dibuat bagi menyesuaikan para peserta dengan motosikal yang bakal mereka gunakan pada pusingan akhir nanti.

Ujian Kawalan Klac yang tidak asing lagi dalam GS Trophy telah membuat kemunculannya hari ini. Para peserta perlu turun dari motosikal, memegang bahagian kiri palang pemegang dengan sebelah tangan, masukkan gear motosikal dan bermain dengan klac bagi memusingkan motosikal mereka sebanyak 360 darjah. Menyentuh motosikal dengan mana-mana anggota badan yang lain dilarang. Ujian ini menguji kebolehan penunggang untuk menggerakkan motosikal mereka sekiranya berlaku sebarang kejadian yang menyebabkan tangan kanan mereka terkehel atau pun patah.

Satu lagi ujian yang mencabar adalah “The Garage”. Peserta perlu mengendali motosikal R 1200 GS LC mereka dalam ruangan yang sempit dipenuhi dengan kon. Kawalan motosikal yang jitu pada kelajuan rendah merupakan objektif utama ujian ini.

Bahagian pasir lembut dalam serta rentasan air juga telah ditambah di litar.

Satu lagi aspek GS Trophy terserlah pada hari itu. Kebolehan penunggang untuk beraksi dalam tekanan yang tinggi. Kemahiran menunggang yang tenang diuji dengan kegemuruhan yang mereka rasai di mana kebanyakan penunggang telah membuat kesilapan yang jarang mereka lakukan dalam keadaan yang sebaliknya, menyebabkan banyak insiden terjatuh atau terbabas. Tiada yang tercedera.

Walaupun keputusannya telah selesai dikira menjelang waktu makan tengah hari, empat peserta telah terikat di tempat kedua, jadi mereka perlu sekali lagi menempuh ujian berkenaan, dan di sini, kesilapan menjadi faktor penentu.

Kesudahannya,penunggang yang menamatkan hari pertama di tempat ke atas, telah tersingkir dari kedudukan yang teratas itu. Mohd. Apis Bin Sagimin, yang menamatkan hari pertama di tempat ke-sembilan telah berjaya menduduki tempat teratas. Finalis teratas pada hari pertama, Wan Harith Wan Taqiyuddin Bin Wan Deraman berada di tempat ke-dua, manakala finalis di tempat ke-tiga hari pertama, Ghazi Fawwaz Bin Md. Arif melengkapkan kedudukan podium. Malah, Mohd. Apis sendiri terkejut dengan keputusan berkenaan.

Dengan ini, Mohd. Apis telah menjadi wakil Malaysia dalam Pasukan Asia Tenggara.

Hari kedua juga menyaksikan pusingan kelayakan awal bagi penunggang Singapura. Sejumlah enam orang penunggang menghadirkan diri pada pagi berkenaan, setelah menunggang dari Singapura sehari sebelumnya. Tiga finalis layak pada penghujung hari itu untuk ke pusingan kelayakan akhir di Khao Yai, Thailand pada bulan September.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Penunggang yang layak dari Singapura adalah Jerome Ranatunga, Lee Bee Chong, dan Muhammad Hafidz.

Peserta wanita tunggal negara, Khaizatul Akmar (atau lebih dikenali sebagai Khai), layak ke pusingan kelayakan akhir di Khao Yai, Thailand.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tamatnya hari kedua melabuhkan tirai hujung minggu yang hebat buat para peserta dan juga bagi BMW Motorrad Malaysia, yang mengambil kesempatan ini untuk melancarkan tiga model terbaru; R 1200 GS Adventure Triple Black, motosikal lumba naked S 1000 R, serta yang dinanti-nantikan, G 310 R.

Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan terkini segenap dunia permotoran.

GALERI GAMBAR

Leave a Reply