Moto Guzzi Malaysia Dengan Rasminya Melancarkan Moto Guzzi Flagship Centre Di The Gasket Alley

 

 

  • Didi Resources (Moto Guzzi Malaysia) telah melancarkan Moto Guzzi Flagship Centre yang terletak di Gasket Alley, Petaling Jaya.
  • 3S Centre yang baru ini akan menempatkan bilik pameran pengeluar berkenaan serta memberikan perkhidmatan selepas jualan terbaik buat para pemilik motosikal Moto Guzzi.
  • Moto Guzzi V7 III Anniversario 2017 yang terbaru turut dilancarkan bersempena dengan pengenalan 3S Centre yang baru ini.

 

Moto Guzzi Malaysia akhirnya telah melancarkan Moto Guzzi Flagship Centre yang terbaru mereka pada awal hari ini. Hab Moto Guzzi yang baru dilancarkan di negara kita ini terletak di Gasket Alley, Petaling Jaya.

Didi Resources bersama dengan Piaggio Asia Pacific telah hadir untuk perasmian Moto Guzzi Malaysia 3S Centre yang baru itu dan juga bagi pelantikan Stronghold Cycles dan Goh Brothers Motorcycles sebagai pengendali bilik pameran serta perkhidmatan selepas jualan.


Para peminat, pemilik, serta bakal pemilik motosikal Moto Guzzi kini boleh mengunjungi prasarana seluas 30,000 kaki persegi ini yang terletak di Gasket Alley, Petaling Jaya yang akan dikendalikan oleh Stronghold Cycles. Selain daripada Moto Guzzi Flagship Centre yang baru ini, terdapat juga sebuah restoran dan bar, kedai pengkhususan, dan berbagai lagi kedai yang menarik terdapat di Gasket Alley ini.

Hadir ketika pelancaran ini adalah Simone Niccolai, Pegarah Urusan, Asia Pacific 2 Wheeler, Piaggio Asia Pacific. Menurut Encik Niccolai, “Kami percaya dengan adanya 3S Centre di Gasket Alley ini, ianya merupakan satu platform yang membolehkan pelanggan untuk mengalami sesuatu yang lebih baik daripada bilik pameran motosikal yang sedia ada dan penyepaduannya  dengan identiti korporat kami telah dilaksanakan dengan sempurna memperagakan persekitaran sebuah garaj Moto Guzzi.”

Bagi mereka yang berminat untuk melihat sendiri sebarang motosikal dari Moto Guzzi boleh menuju ke pusat yang baru dilancarkan itu. Kesemua pemilik motosikal Moto Guzzi juga boleh mengunjungi untuk mendapat perkhidmatan selepas jualan terbaik sama ada dari segi penyelenggaraan atau kerja pengkhususan bagi menambahkan sentuhan yang istimewa pada motosikal kesayangan anda.

Bersempena dengan pelancaran 3S Centre ini, Didi Resources juga mengambil peluang keemasan ini untuk melancarkan motosikal terbaru dalam rangkaian motosikal mereka, Moto Guzzi V7 III Anniversario 2017. Model edisi amat terhad ini hanya ada 1,000 buah model sahaja di seluruh dunia.

V7 III Anniversario 2017 yang baru ini merupakan motosikal Moto Guzzi generasi ke-tiga yang menyerlahkan sejarah gemilang 50 tahun pengeluar ini.Dijana oleh enjin empat lejang, V-berkembar 90 darjah, 744cc yang ikoniknya itu, V7 III Anniversario ini menghasilkan 51hp pada 6,200rpm dan 60Nm tork pada 4,900rpm.

Seperti model V7 III yang lain, Anniversario didatangkan dengan sepasang cakera hadapan terapung keluli tahan karat 320mm beserta dengan angkup Brembo dengan empat omboh berlainan saiz. Di bahagian belakangnya pula, motosikal V7 III Anniversario ini dilengkapi dengan cakera keluli tahan karat 260mm bersama angkup terapung dua omboh.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai V7 III Anniversario 2017 ini atau mana-mana model tawaran dari Moto Guzzi Malaysia, anda boleh kunjungi Flagship Centre mereka yang terletak di Gasket Alley, Petaling Jaya.

Leave a Reply