Next Bike Sdn. Bhd. Melancarkan Ducati Monster 797 Dan Multistrada 950 2017 Yang Baru! Dari RM55,900

  • Next Bike Sdn. Bhd. (Ducati Malaysia) telah melancarkan motosikal Ducati Monster 797 dan Ducati Multistrada 950 2017 yang terbaru.
  • Dua motosikal tahap mulaan dari Ducati itu telah dilancarkan semalam di NAZA Merdeka Autofair 2017 yang diadakan di NAZA Automall, Petaling Jaya.
  • Motosikal Ducati Monster 797 dinilai pada harga RM55,900 manakala Multistrada 950 terbaru pula pada harga RM85,900 (harga asas beserta GST).


Next Bike Sdn. Bhd., pengimport dan pengedar tunggal motosikal Ducati di Malaysia telah melancarkan dua motosikal tahap mulaan dalam rangkaian semasa mereka.

Kedua-dua motosikal baru ini adalah Ducati Monster 797 dan Ducati Multistrada 950 2017. Pelancarannya telah diadakan bersempena dengan NAZA Merdeka Autofair 2017 yang sedang berlangsung dari 10 Ogos 2017 hingga 13 Ogos 2017 di NAZA Automall, Petaling Jaya.

Ducati Monster 797 2017 – RM55,900 (harga asas beserta GST)

Tercari-cari motosikal yang sempurna yang menggabungkan kesemua intipati dan semangat motosikal naked ikonik Monster? Jentera Ducati yang sporty, kompak, dan serbaboleh ini didatangkan dengan segala ciri tercanggih dan moden dalam pakej tahap mulaan ini.


Memberi penghormatan kepada zaman kegemilangan Ducati Monster pada tahun 90-an, motosikal Monster 797 terbaru ini dilengkapkan dengan segala perincian terbaik sebuah motosikal moden.

Dijana oleh enjin L-berkembar sejukan udara 803cc, motosikal Monster terkini ini menghasilkan 75hp pada 8,250rpm dan 67Nm tork pada 5,750rpm.

penjana kuasa yang mematuhi piawaian Euro4 ini telah ditala untuk perstasi menakjubkan tanpa ianya menjadi terlampau menyesakkan yang menjadikannya sesuai sekali untuk penunggang baru dan juga penunggang veteran.

sebagai imbuhan tambahan buat penunggang baru, Monster 797 juga didatangkan dengan unit ABS Bosch sebagai kelengkapan standard yang dipadankan dengan dwi-cakera brek hadapan 320mm dan cakera brek belakang 245mm Brembo beserta angkup dilekapkan secara jejari Brembo M4.32.

Sama ada anda berulang alik ke tempat kerja atau pun menikmati keseronokan menunggang menyusuri jalan raya pada hujung minggu, Monster 797 ini merupakan pakej sempurna untuk mengujakan sesiapa sahaja.

Ducati Monster 797 2017 ini diletakkan pada harga RM55,900 (harga asas beserta GST). Terdapat tiga pilihan warna yang tersedia untuk belian; Ducati Red, Star White Silk, dan Dark Stealth.

Ducati Multistrada 950 2017 – RM85,900 (harga asas beserta GST)

Menyertai Monster 797, Multistrada 950 terbaru ini menyertai rangkaian Ducati sebagai tarikan utama jenama ini bagi jentera ‘sports touring‘ tahap mulaan.

Walaupun ianya ‘multibike‘ terkecil yang dikeluarkan jenama itu, Multistrada 950 ini masih menyengat dengan enjin dwi-silinder Testastretta 937cc yang menghasilkan 113hp pada 9,000rpm dan 96.2Nm tork pada 7,750rpm.

Lebih ringan berbanding saudaranya, Multistrada 1200, Multistrada 950 ini juga mempunyai kesemua rekaan dan geometri casis ikonik Multistrada. Dilengkapi dengan ketinggian pelana 840mm, dinamik penunggangannya juga menawarkan prestasi keseluruhan yang cukup hebat.

Tercari-cari sebuah jentera yang menawarkan pengalaman menunggang yang menyeronokan dan pada masa yang sama cukup selesa? Multistrada 950 terbaru ini didatangkan dengan roda hadapan 19 inci beserta pakej suspensi yang menakjubkan yang dapat ditetapkan mengikut keperluan penunggang dengan mod tunggangan kembaranya; Touring, Sport, Urban, dan Enduro.

Risau akan kos penyelenggaraannya? Anda boleh menghela nafas lega memandangkan penyelenggaraan dalamannya adalah pada setiap 15,000km atau 12 bulan. Secara ringkasnya, anda hanya perlu menyelenggaranya setahun sekali dengan penggunaan purata normal.

Bagi menambah aspek keselamatan untuk pakej serba baru ini, Multistrada 950 didatangkan dengan Ducati Safety Pack yang juga termasuk unit ABS Bosch 9.1 MP dan semestinya, Ducati Traction Control (DTC).

Ducati Multistrada 950 2017 ini dinilai pada harga RM85,900 (harga asas beserta GST). Dua pilihan warna yang tersedia adalah, Ducati Red dan Star White Silk.

Bagi menyaksikan motosikal-motosikal ini dengan mata anda sendiri, kunjungilah NAZA Merdeka Autofair 2017 yang diadakan sekarang sehingga 13 Ogos 2017 di NAZA Automall, Petaling Jaya untuk tawaran-tawaran yang hebat.

 

Leave a Reply