KTM Memperkenalkan Motosikal Motocross Elektrik KTM Freeride E-XC 2018 Yang Terbaru! Dari RM35,499

 

  • KTM telah memperkenalkan tawaran terkini dalam rangkaian motosikal motocross elektrik Freeride dengan KTM Freeride E-XC 2018
  • Motosikal KTM Freeride E-XC didatangkan dengan motor elektrik 260V yang menawarkan 21.5hp dan 42Nm tork pada pulasan pendikitnya.
  • KTM Amerika Utara kini sedang menjalankan satu program istimewa menawarkan motosikal KTM Freeride E-XC 2018 ini pada harga pengenalan yang istimewa serendah $8,300 (sekitar RM35,499).

KTM sekali lagi telah melonjakkan nama mereka jauh ke hadapan dalam segmen motosikal ‘off-road‘ elektrik dengan pelancaran motosikal terbaru dari mereka, KTM Freeride E-XC 2018 untuk pasaran Amerika Syarikat. Berdasarkan satu laporan yang telah dibuat oleh Rideapart.com, KTM USA akan menjalankan satu program perintis istimewa yang akan menawarkan motosikal KTM Freeride E-XC yang baru ini dalam jumlah yang terhad pada harga yang lebih rendah.

Bagi mereka yang meragui keupayaan prestasi motosikal elektrik ‘dirt bike‘ untuk melakukan tugas setanding dengan motosikal menggunakan enjin pembakaran dalaman, KTM mengatakan bahawa motor elektrik yang telah dipilih untuk motosikal Freeride E-XC terkini ini menghasilkan sehingga 21.5hp dan 43Nm tork yang mana ianya hampir serupa dengan seperti kebanyakan motosikal 250cc yang berada di pasaran buat masa ini.


Tambahan pula, motor elektrik 260V bersama dengan bateri lithium-ion 2.6KW-nya itu mampu membekalkan keseluruhan kuasa dan torknya dari 0rpm berbanding dengan enjin janaan petrol yang perlu mencapai jumlah rpm yang tertentu sebelum ia mencapai jumlah kuasa dan tork yang sama. Satu lagi kelebihan yang besar pada motosikal ini adalah ianya hanya memerlukan 80 minit untuk mengecas baterinya sehingga penuh.

Motosikal E-XC ini mempunyai tiga mod penunggangan yang boleh dipilih iaitu Economy, Standard, dan Advanced yang menawarkan tahap kuasa dan tork yang berbeza mengikut gaya penunggangan pilihan anda pada waktu berkenaan. Tambahan terkini dalam keluarga Freeride ini tidak dilengkapkan dengan tuil klac sebaliknya tuil di sebelah kiri palang pemegang digantikan sebagai tuil brek belakang jadi menunggang motosikal ini semudah menunggang sebuah skuter.

Menurut Tom Etherington, Naib Pengerusi Jualan KTM Amerika Utara, “KTM telah mencipta program perintis ini sebagai satu cara untuk lebih memahami tahap sambutan pelanggan untuk motosikal elektrik, yang mana ia akan membantu kami dalam perancangan masa depan apabila kami menimbangkan untuk membuat pengeluaran bersiri motosikal elektrik dalam tahun yang mendatang. Bahagian yang mengujakan bagi para pelanggan adalah melalui program perintis ini, motosikal FREERIDE E-XC ini boleh didapati pada harga yang jauh lebih rendah daripad model yang akan dijual selepas tamatnya program ini.”

Motosikal Freeride E-XC 2018 terbaru ini akan boleh didapati pada harga pengenalan khas $8,299 (kira-kira RM35,499 selepas pertukaran terus). Tiada sebarang berita mengenai sama ada ianya akan tersedia di Malaysia namun memandangkan usaha KTM dalam menyemarakkan kembali kancah motocross di Malaysia, kami jangkakan yang ianya mungkin tiba pada suatu masa nanti untuk mengujakan semua.

Leave a Reply