Moto Guzzi V7 III Stone, V7 III Racer Dan V9 Roamer 2017 Dilancarkan – Dari RM66,900

 

  • Moto Guzzi V7 III Stone, V7 III Racer dan V9 Roamer telah dilancarkan pada hari Sabtu yang lalu di Moto Guzzi 3S Centre yang akan memulakan operasinya pada Ogos 2017.
  • Pengenalan motosikal terbaru ini disusuli dengan pengumuman Didi Resources Sdn Bhd sebagai pembekal dan pengedar rasmi di Malaysia.
  • Moto Guzzi 3S Centre baru yang terletak di Gasket Alley ini akan dilancarkan secara rasmi pada bulan Ogos 2017 nanti.


Sejurus sahaja pengumuman rasmi Didi Resources Sdn Bhd sebagai pengedar rasmi Moto GUzzi untuk pasaran Malaysia, mereka telah memeriahkan lagi acara dengan pelancaran tiga model terbaru yang mengujakan dari Moto Guzzi; Moto Guzzi V7 III Stone, V7 III Racer, dan V9 Roamer.

Majlis pelancaran berkenaan telah diadakan di Moto Guzzi 3S Centre terbaru yang akan dirasmikan pada bulan Ogos hadapan. Bilik pameran serta pusat perkhidmatan ini terletak di Gasket Alley, Petaling Jaya yang akan menjadi pusat tumpuan utama terkini bagi para penggemar Moto Guzzi serta peminat permotoran.

Moto Guzzi V9 Roamer 2017 – RM73,900 (asas beserta GST)


Acara pada hari Sabtu itu hanya melancarkan separuh daripada tawaran Moto Guzzi untuk tahun ini. Model yang paling dinanti-nantikan adalah semestinya Moto Guzzi V9 Roamer 2017. Motosikal cruiser terkini dari Moto Guzzi ini dilengkapi dengan sebuah enjin V-berkembar 90- darjah melintang patuh Euro4 850cc yang telah dibikin semula untuk menghasilkan 55hp pada 6,250rpm dan 62Nm tork pada 3,000rpm.

Dengan erti kata lain, enjin yang telah dibikin semula ini beserta dengan plet kering klac motosikal ini memberikan keluaran tork linear yang lebih banyak yang mana menjadikan pengalaman menunggang motosikal ini lebih lancar dan pada masa yang sama mengekalkan jiwa Moto Guzzi yang ikonik.

Dari segi rupa parasnya pula, motosikal V9 ini telah melalui satu evolusi di mana ergonomik penunggangannya telah dipertingkatkan untuk perasaan menunggang yang lebih baik, pengendalian dengan posisi yang lebih menegak yang memberikan keselesaan tambahan bagi perjalanan yang jauh.

Bagi melengkapkan motosikal ini dengan daya henti yang jitu, V9 Roamer terbaru ini telah didatangkan dengan cakera terapung keluli tahan karat 320mm dengan angkup empat omboh Brembo pada bahagian hadapannya dan cakera brek 260mm dengan angkup terapung dwi-omboh untuk bahagian belakangnya. Bagi mempertingkatkan lagi aspek keselamatan motosikal ini, V9 ini dilengkapi dengan sistem Continental ABS dwi-saluran dan kawalan traksi yang boleh ditukar, dinamakan Moto Guzzi Controllo di Trazione (MGCT).

Dibandingkan dengan motosikal-motosikal cruiser yang lain dalam kategorinya, motosikal V9 Roamer ini tampil menonjol dengan pertukangan berkualitinya menggunakan hanya aluminium dan keluli tanpa sebarang bahagian plastik. Anda mungkin fikirkan yang motosikal ini pasti berat oleh kerana sebab itu namun, V9 Roamer ini hanyalah seberat 199kg(bersih).

Moto Guzzi V9 Roamer ini dinilai pada harga RM73,900 (asas beserta GST). Terdapat juga motosikal V9 Bobber yang akan diperkenalkan di kemudian waktu ketika pelancaran bilik pameran ini pada Ogos nanti.

Moto Guzzi V7 III Stone & V7 III Racer 2017 – Rm66,900 & RM81,900

Sepasang motosikal Moto Guzzi V7 III 2017 juga turut memeriahkan majlis dengan kehadiran mereka, khususnya V7 III Stone dan V7 III Racer. Anda mungkin merasakan yang V7 III terbaru ini tampak agak serupa dengan generasi sebelumnya namun dengan peredaran masa serta kemajuan teknologi, V7 III terkini ini telah dibangunkan dengan kelengkapan terbaru.

Dijana oleh enjin V-berkembar 90-darjah 744cc, V7 III terbaru ini menghasilkan sehingga 52hp pada 6,200rpm dan 60Nm tork pada 4,200rpm. Dengan ini, V7 III terkini ini menawarkan 10% lebih keluaran kuasa dan kesemua kuasa itu dipacu ke roda belakang melalui sebuah kotak gear enam kelajuan yang diolah semula yang membolehkan kemasukan gear yang lebih baik dan senang untuk digunakan.

Seperti motosikal V9 yang baru, V7 III 2017 juga telah melalui penambahbaikan dari segi rekaan dan ergonomik penunggangan bagi memberikan bakal penunggangnya pengalaman menunggang yang lebih baik merentasi jangkauan rpm-nya dan juga pada sebarang keadaan jalan raya.

Rekabentuknya dikekalkan secara minima dan bersih terutamanya bagi model Stone yang mana membolehkan peluang pengkhususan yang lebih meluas di mana ianya sesuatu yang Moto Guzzi 3S Centre yang terletak di Gasket Alley akan dapat tawarkan di samping membantu para pelanggan menambah sentuhan peribadi tersendiri pada motosikal Moto Guzzi kesayangan masing-masing.

V7 III terkini ini juga merupakan sebuah motosikal yang amat serba boleh yang mampu memenuhi keperluan pelbagai penunggang terutamanya dengan ketinggian pelananya yang rendah itu. Bagi memastikan yang anda tidak perlu kerap berhenti untuk isian semula, ke semua model V7 III didatangkan dengan kapasiti bahanapi sehingga 21-liter yang mana ianya adalah terbesar dalam kategorinya. Tidak ketinggalan, V7 III ini juga dilengkapi dengan sistem kawalan traksi dua-tahap.

Moto Guzzi V7 III Stone 2017 telah dinilai pada harga berpatutan RM66,900 (asas beserta GST). Bagaimanapun, jika anda rasa anda perlu merasa deruan angin ketika memecut motosikal anda, terdapat juga motosikal Moto Guzzi V7 III Racer 2017 yang cukup indah sekali yang diletak harganya pada RM81,900 (asas beserta GST) atas beberapa sebab-sebab yang hebat.

Dari segi rupa luarannya, motosikal Racer ini dilengkapkan dengan tangki chrome kemasan satin dengan rangka merah yang amat tersendiri dan logo “Helang” Moto Guzzi dalam warna merah menyala diinspirasikan dari rangkaian motosikal lumba V7 yang terdahulu. Berlainan dari V7 III yang biasa, motosikal Racer ini adalah model yang bernombor yang bermakna ianya akan hanya dikeluarkan hingga ke satu tahap atau peringkat.

Selain daripada kemasan chrome satin pada keseluruhan motosikal (terutamanya pada bahagian yang melitupi panel meter analognya), suspensi belakangnya dilengkapkan dengan penyerap hentakan bolehlaras Ohlins bagi memberikan penunggangan yang lebih baik serta keserbabolehan untuk menangani selekoh ketika menyusuri jalan pergunungan.

Motosikal V7 III Stone dilengkapkan dengan sepasang roda aloi lightweight, manakala motosikal Racer pula datang dengan roda berjejari (juga terdapat pada V7 III Special dan V7 III Anniversario yang akan diperkenalkan pada bulan hadapan semasa pelancaran bilik pameran).

Setakat ini, Moto Guzzi Malaysia hanya memperkenalkan separuh daripada apa yang akan mereka tawarkan untuk tahun ini dan kami akan melaporkan selebihnya ketika pelancaran Moto Guzzi 3S Centre rasmi pada bulan hadapan. Buat masa ini, hayatilah keindahan ketiga-tiga si jelita ini sebelum mereka memperkenalkan V9 Bobber, V7 III Special, dan V7 III Anniversario.

Leave a Reply