Memperkenalkan Ducati 1299 Panigale R Final Edition!

 

  • Akhirnya, motosikal Ducati Panigale 1299 R Final Edition telah pun dilancarkan di Pusingan Amerika Syarikat WorldSBK di litar lumba ikonik Laguna Seca.
  • Edisi terakhir ini digayakan dengan elegan sekali dalam kemasan ikonik ‘tricolore’ bendera Itali ini secara dasarnya adalah sebuah Superleggera yang dipermudahkan tetapi masih lagi menyengat dengan 209hp.
  • Berharga $40,000 (sekitar RM172,000), Panigale yang dijana V-berkembar yang terakhir sekali ini akan memberi laluan buat motosikal superbike Ducati janaan V-4 yang mana ia mungkin diperkenalkan pada penghujung tahun ini.


Ducati akhirnya telah menyingkap selubung di sebalik motosikal yang dinanti-nantikan, Ducati 1299 Panigale R Final Edition. Seperti yang telah dijanjikan, motosikal ini telah membuat kemunculan rasmi sulungnya di Pusingan Geico Amerika Syarikat WorldSBK di litar legenda Mazda Raceway Laguna Seca yang sedang berlangsung pada hujung minggu ini.

Digelar sebagai ‘Final Edition’, ianya telah diberi penghormatan yang sepatutnya dengan kemasan ikonik ‘tricolore’ yang pasti membuatkan Panigale yang terakhir ini sebuah motosikal yang unik dan amat diingini terutamanya dengan seksyen ekornya yang berwarna hijau itu. Ianya dikatakan sebagai versi muktamad bagi Panigale janaan enjin V-berkembar seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, sebelum Ducati mengorak langkah dengan rancangan mereka mengeluarkan motosikal superbike terbaru yang dijana oleh enjin V-4 yang berkemungkinan dikeluarkan pada penghujung tahun ini.

TEKAN SINI untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Panigale janaan V-4.


Edisi Terakhir ini berkongsi beberapa persamaan dengan motosikal 1299 Superleggera selain daripada penggunaan yang meluas karbon fiber, silinder enjin disarung aluminium, dan perumah yang telah menggunakan tuangan-pasir dan ianya masih lagi menyengat.

Enjin L-berkembar Superquadro 1285cc yang sudah cukup buas dengan empat injap yang didorong secara Desmodromik bagi setiap silinder telah
dipertingkatkan lagi dengan aci engkol yang lebih ringan, pin engkol yang lebih besar, pad pengimbang tungsten, dan juga injap dan ‘con-rod’ titanium.

Ducati menyatakan bahawa Edisi Terakhir ini mampu menghasilkan sehingga 209hp dimana ianya dalam kelas yang sama dengan Superleggera. Satu lagi faktor utama yang membezakan kedua-dua model ini adalah berat keseluruhannya dimana motosikal Edisi Terakhir ini hanya lebih sedikit sahaja dari 190kg disebabkan kerana penggunaan pengikat dan bahan-bahan konvensional sewaktu pembinaannya.

Oleh sebab itu, motosikal Edisi Terakhir hanya 0.45kg lebih ringan daripada 1299 Panigale S dan hampir 6kg lebih berat daripada 1199 Panigale R namun Edisi Terakhir ini menebusnya kembali dengan tambahan 100cc. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang speisifikasinya, TEKAN SINI.

Ducati juga telah memaklumkan yang untuk pasaran Amerika Syarikat, mereka akan menjual Edisi Terakhir ini pada harga sekitar $40,000 (sekitar RM172,000 selepas pertukaran terus), semestinya satu harga yang agak mahal. Namun memandangkan ia hampir serupa dengan Superleggera dari segi kuasa (dan juga hakikat yang ianya mungkin sekali Panigale V-berkembar yang terakhir sekali), kami mengandaikan yang ianya pasti akan habis terjual sebelum tiba di mana-mana bilik pameran sekalipun.

Satu lagi fakta yang menarik mengenai Edisi Terakhir ini adalah ianya bukannya edisi terhad tetapi sebaliknya adalah jentera yang akan disirikan. Ini bermakna setiap motosikal akan menerima nombor pengeluaran istimewa yang secara tradisionalnya akan diukir pada pengapit bertiganya. Ducati bagaimanapun tidak lagi menyatakan berapa banyakkah motosikal Edisi Terakhir ini yang akan dikeluarkan tetapi apa yang pasti, ianya tidak akan menjadi sejarang motosikal Desmosedici RR yang sah jalanan.

Bagi menambahkan lagi keistimewaan motosikal Edisi Terakhir ini, ianya akan didatangkan dengan ekzos gaya WorldSBK yang juga telah digunakan oleh Aruba.it Racing pada jentera Panigale mereka yang digelar “The Shotgun”. Atas ihsan Akrapovic, ekzos titanium yang teramat ringan itu juga boleh didapati pada motosikal 1299 Superleggera.

Bagi perlumbaan WorldSBK yang akan berlangsung hari ini, kedua-dua Chaz Davies dan Marco Melandri akan menggayakan kemasan yang sama seperti yang ada pada motosikal Edisi Terakhir. Semestinya satu strategi pemasaran yang hebat untuk motosikal ini.

 

 

Leave a Reply