Diuji: Kawasaki Z900 ABS 2017 & Z900 ABS SE – “Jembalang Kelajuan”

 

  • Kawasaki Z900 ABS 2017 terkini dianggap sebagai satu penambahbaikan yang hebat bagi model yang digantikannya, motosikal Z800.
  • Kami membawa motosikal Z900 dan Z900 SE (Special Edition) untuk satu sesi tunggang uji yang panjang untuk melihat sendiri prestasi motosikal-motosikal ini.
  • Bagi memberi perspektif, kami bandingkannya dengan model Z800 terdahulu dan juga model Z1000 bagi memahami sepenuhnya bagaimana Z900 ABS ini menjadi sebuah jentera super naked yang jauh lebih baik dari Kawasaki.


Motosikal naked dan ‘street fighters‘ telah pun menjadi sebahagian besar industri permotosikalan sejak para penggemar motosikal telah mengubahsuai motosikal mereka untuk menjadikannya lebih agresif serta memberikan prestasi yang lebih baik daripada sebelum ini. Pengeluar motosikal telah memberi perhatian pada hakikat ini dan semenjak itu, mereka telah menghasilkan motosikal naked dan ‘street fighters‘ yang siap sedia untuk ditunggang.

Kawasaki adalah contoh utama sebuah pengeluar yang telah menjalankan usaha ini buat sekian waktu dan mereka menghasilkannya dengan cukup baik sekali. Motosikal naked mereka yang paling mendapat sambutan sudah pasti merupakan Kawasaki Z800 yang telah menjadi sebutan di kalangan para peminat motosikal besar seluruh dunia. Di Malaysia, ianya dianggap sebagai pilihan yang sempurna bagi mereka yang ingin menaiktaraf ke motosikal besar pertama dengan prestasi yang hebat tanpa membebankan poket mereka.

Dianggap sebagai salah sebuah motosikal besar permulaan yang paling laris sepanjang masa, ianya menjadi semakin ketinggalan semenjak beberapa tahun yang lalu dan Kawasaki menyedari bahawa untuk tampil dengan pengganti yang sesuai dengan model Z800 yang cukup popular ini adalah satu tugas yang cukup mencabar. Sebelum mereka dapat melakukannya, mereka terlebih dahulu telah melancarkan sebuah lagi ‘super naked‘ yang kekar rupa parasnya, iaitu model Kawasaki Z1000 yang menjelmakan semangat “Sugomi” dalam bentuk yang paling asli sekali, menjadikannya antara motosikal naked paling garang dan pada masa yang sama, tetap sedap untuk dipandang mata.


Ini telah menjadikan tugas mereka menghasilkan pengganti Z800 lebih sukar kerana ianya seharusnya lebih baik daripada Z800 tetapi pada masa yang sama tidak menggugat kehebatan model Z1000. Dan ketika mereka melancarkan Z900 ABS pada awal tahun ini, kita dapat lihat dengan sendiri bagaimana Kawasaki telah pun berjaya melakukannya dengan motosikal itu.

Kami telah pun menunggang uji model Kawasaki Z900 sebelum ini ketika satu sesi tunggang uji yang telah dianjurkan oleh Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) beberapa bulan yang lalu dan kami agak kagum akan prestasi motosikal Z900 ABS ini. Kami memutuskan untuk mengujinya sekali lagi dengan teliti bagi memahami apakah yang membuatkannya lebih baik daripada Z800 dan juga apakah perbezaannya dengan saudaranya yang lebih besar dan juga garang, Z1000.

Kawasaki Z1000 ABS

Pertama sekali, rupa paras motosikal Z900 ABS ini cukup menawan. Ia masih membawa rekaan ikonik ‘Sugomi’ pada keseluruhan motosikal itu yang menjadi intipati bagi rangkaian siri Z Kawasaki. Ia masih mempunyai tarikannya yang garang itu seperti mana sama seakan Z800 tetapi dengan sekilas pandang anda pasti dapat merasakan ada sesuatu yang istimewa mengenainya. Secara peribadi, kami lebih gemarkan Z1000 dari segi rupa tetapi jika diberikan sebuah Z900 ABS sudah pasti tidak akan kami tolak.

Motosikal ini bukan sekadar sebuah pengganti bagi model Z800 kerana ia telah mengharungi begitu banyak evolusi sehinggakami kami secara mudah dapat mengatakan bahawa ianya sebuah motosikal yang berbeza sama sekali. Jika dibandaingkan, ianya 21kg lebih ringan daripada model Z800 dan ianya berpunca daripada begtu banyak perincian yang ditambahbaik pada enjin, lenganbuai, casis, dan sebagainya.

Perubahan terbesarnya adalah pada penukaran kepada kerangka trellis yang serupa seperti yang boleh didapati pada model Kawasaki H2. Dibuat semula secara menyeluruh, model Z900 ABS ini telah menghapuskan sub-kerangkanya sama sekali yang mana ianya membolehkannya menurunkan berat keseluruhannya sebanyak 11kg berbanding dengan casis Z800. Dengan kata mudah, cuba anda tunggangi Z900 ini dengan dua kapit beras 10kg di dalam beg anda dan pasti anda akan faham bagaimana penurunan berat ini banyak membantu meningkatkan lagi tahap prestasi keseluruhan jentera ini.

Bagi bahagian enjinnya pula, ianya diasaskan daripada enjin Z1000 yang terdahulu namun telah diubahsuai menjadikannya sebagai enjin suntikan bahanapi, empat silinder sejajar, DOHC, sejukan cecair, 948cc yang buas dan menghasilkan sehingga 123.6hp dan 98.6Nm tork. Untuk perbandingan, model Z900 ini berkapasiti 142cc lebih besar daripada Z800 dan hanya 95cc lebih kecil daripada Z1000. Dari segi kuasa dan tork, Z900 ini mempunyai 13.6hp dan 15.6Nm lebih daripada Z800 dan hanya 16.7hp dan 12.4Nm kurang daripada model Z1000. Model Z900 ini terletak elok-elok sahaja di antara kedua-dua model berkenaan.

Kita teruskan ke bahagian beratnya pula. Di sini, dengan jumlah kuasa dan tork yang tidak jauh berbeza dengan model Z1000, model Z900 ABS ini ternyata unggul dari segi nisbah kuasa-ke-berat kerana ianya hanyaseberat 210kg (213kg bagi Special Edition) di mana ianya 11kg lebih ringan daripada Z1000 dan seperti yang dinyatakan sebelum ini, 21kg lebih ringan berbanding dengan Z800. Prestasi lebih hebat ditambah dengan berat yang lebih ringan bermakna ianya cukup MENGAGUMKAN. Sudah pasti ramai akan bersetuju dengan kesimpulan ini.

Dari segi kestabilan keseluruhannya, Z900 ABS sekali lagi tampil lebih hebat dengan suspensi ‘back-link‘ mendatar baru yang menumpukan lagi pemusatan jisim yang agak serupa dengan model motosikal aras tinggi Kawasaki seperti Ninja ZX-10R dan Z1000SX. Ia memberikan motosikal ini pengalaman penunggangan yang lebih baik yang amat lancar pada kelajuan tinggi dan juga keteguhan ketika menyelekoh. Begitu hebat pengalaman menunggang Z900 ABS ini, sukar untuk dipercayai yang ianya sebuah motosikal naked dan bukannya sebuah jentera litar.

Bagi diri penulis ini, motosikal Z900 ABS ini cukup mengagumkan dan pada masa yang sama ianya menggerunkan. Ianya terasa begitu lancar dan hampir sempurna sehinggakan sebarang input mikro dapat dirasakan ketika menunggang motosikal ini. Penulis menyangkakan gaya penunggangan dirinya hanyalah sederhana sahaja, namun Z900 ini telah menyedarkan diri betapa banyak lagi yang perlu dipelajari untuk menjadi seorang penunggang yang hebat.

Ianya bagaikan ketika anda belajar bermain gitar dengan gitar yang lama dan murah. Anda terasa seperti anda sudah memahiri setiap kord tetapi apabila anda cuba bermain gitar eletrik Gibson yang bermutu tinggi, lengkap dengan segala-galanya, semua kecelaan dan kedangkalan petikan gitar bagaikan bergema dan keinginan untuk menguasai dan memperbaiki petikan gitar semakin menebal. Begitulah juga dengan Z900 ABS ini, ianya bagaikan satu tamparan yang mengerdilkan diri dan kami yakin tiada motosikal lain dalam jangkauan ini yang dapat melakukan tugas ini dengan secekap dan sebaik Z900 ini.

Menunggang Z900 ini juga terasa begitu hebat sekali dari segi kedudukan menunggangnya yang telah dipertingkatkan dari pendahulunya itu. Dengan kelebaran palang pemegangnya yang dilebarkan dan ketinggian pelana yang direndahkan, ia menawarkan kestabilan yang hebat serta kebolehgerakan yang mengagumkan dalam trafik sesak yang semestinya agak menggerunkan apabila mengemudi Z800. Kebanyakan orang Asia dengan purata ketinggian yang lebih rendah akan menghargai Z900 ABS ini namun bagi mereka yang melebihi ketinggian 170cm akan merasakan yang Z900 ABS ini agak kekok dan menyesakkan.

Selain dari itu, Z900 ABS ini hampir sempurna untuk sebarang keperluan penunggangan pada bila-bila masa. Motosikal Z900 ABS ini dengan bersahaja mampu untuk bersiar di atas lebuhraya namun dengan sedikit pulasan pendikitnya anda akan merasakan kuasanya yang hebat itu. Kali terakhir kami mencubanya dalam persekitaran yang terkawal, kami telah mencecah sehingga 200km/j dengan begitu mudah sekali dan jika terbentangnya satu jalan tarmac yang panjang dan sempurna, kami yakin yang kami mampu mencapai angka yang lebih tinggi. Jentera ini mempunyai begitu banyak kuasa dan tork, ia mampu melakukan ‘wheelie‘ sehingga ke gear keenamnya di tangan mereka yang pakar (yang sudah semestinya, bukan kami).

Kami juga telah menyebutnya sebelum ini bahawa Z900 ini nyata lebih hebat dari Z800 dan Z1000 dengan adanya klac ‘Slip and Assist’ yang membantunya dengan operasi klac yang lancar yang membolehkannya bergerak dengan mudah dan juga mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini ketika menukar ke gear yang lebih rendah. Pada pengalaman kami, ianya berfungsi dengan cukup hebat sekali sehinggakan kami bagaikan terlupa akan sifat sebenar motosikal Kawasaki ini.

Kuasa yang hebat perlukan daya henti yang setara hebatnya dan dengan cakera brek hadapan berkembar 300mm dilengkapi dengan empat angkup piston beserta dengan cakera belakang 250mm bersama dengan satu angkup piston membolehkan Z900 ini berhenti dengan sempurna. Dilengkapi lagi dengan Sistem Pembrekan Anti-Lock (Anti-Lock Braking System – ABS), ia menawarkan prestasi pembrekan yang lebih baik di samping memberi keyakinan apabila anda membrek dengan keras namun berhati-hati kerana ianya tidak mempunyai ABS menyelekoh jadi gunakan tuil brek secara cermat dan progresif apabila melalui selekoh dan anda pasti akan selamat.

Kami boleh terus memuji betapa hebatnya Z900 ini namun kata-kata tidak mampu menggambarkan segalanya di mana anda perlu menikmati pengalaman menunggang motosikal ‘super naked‘ Kawasaki terbaru ini dengan sendirinya. Berharga RM49,158 (asas beserta GST), ianya di julat harga yang sama seperti Z800 tetapi sejumlah RM33.562 lebih murah berbanding Z1000. Jika anda tambah RM1,801 lagi anda sudah mampu untuk membawa balik model Special Edition-nya dengan kemasan warna Biru dan chrome serta fork teleskopik berwarna emas.

Kelengkapan tambahan lain-lain termasuk gelangsar gandar roda hadapan, gelangsar enjin, cecincin penutup enjin, skrin radiator, penutup skrin, penutup pelana tunggal, pelindung tangki, dan pad lutut dan juga yang melengkapkan lagi perinciannya, sebuah ‘output‘ DC yang membolehkan penunggan untuk mengecas semula telefon pintar atau pun unit GPS mereka ketika menunggang motosikal. Tawaran yang cukup hebat yang dilengkapkan pada motosikal ini.

Secara keseluruhannya, Kawasaki bukan sahaja berjaya dalam menggantikan model Z800 yang agak ketinggalan malah ianya dilakukan dengan gilang gemilang sekali dengan segala penaiktarafan dan penambahbaikan yang sukar untuk dipercayai yang ianya hanya bernilai sekitar RM50,000 sahaja. Satu sahaja nasihat dari kami, tinggalkan sahaja Z800 yang lama dan usahlah nantikan Z1000 baru kerana Z900 ini lebih daripada mencukupi untuk memanaskan darah anda dan meluap-luapkan adrenalin setiap kali anda menunggangnya. Ianya sememangnya moosikal yang “Lets the Good Times Roll“.

Leave a Reply