Boon Siew Honda Pratonton Tiga Model Baru Akan Datang – Rebel 500, CRF250L & CRF250 Rally

 

 

  • Boon Siew Honda telah membuat pratonton beberapa motosikal yang cukup mengujakan semalam, termasuk Rebel 500, CRF250L, dan CRF250 Rally 2017.
  • Tambahan terbaru ini telah dipratontonkan bersama beberapa model yang diperkemaskini seperti skuter NSS300, CBR250R, dan rangkaian 500cc dan 650.
  • Ketiga-tiga motosikal terkini ini akan boleh didapati dalam suatu masa dalam bulan Ogos tahun ini dalam jangka harga antara RM25,000 hingga RM35,000.

Ketika acara berbuka puasa bersama media yang diadakan semalam di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Boon Siew Honda (BSH) telah memberikan para ahli-ahli media sekilas pandang model terbaru mereka yang akan datang bagi tahun 2017. Bersama dengan beberapa model yang telah diperkemaskini, BSH menganjurkan sesi litar ringkas dengan kesemua model-model terkini sebelum berbuka puasa. Model-model ini adalah Honda Rebel 500, CRF250L dan juga CRF250 Rally 2017.

Honda Rebel 500 2017

Dilancarkan lewat tahun lalu, Rebel 500 mewakili penambahan terbaru pada rangkaian gayahidup Honda dengan model terkini ini. Direka bagi menembusi pasaran cruiser middleweight, model Rebel ini menggambarkan beberapa perkara mengenai cruiser yang mengujakan kita; kecantikan, mampu milik dan juga boleh diharap.


TEKAN SINI untuk membaca dengan lebih lanjut mengenai Rebel 500 (dan tentang ‘adiknya’, Rebel 300).

Motosikal Honda ala bobber ini tertumpu pada gaya dan juga kefungsiannya, yang telah didasarkan atas model saudaranya yang sporty, CBR500R. Dijana oleh enjin selari, sejukan cecair, 471cc yang sama, Rebel 500 ini telah ditala semula bagi menghasilkan 45.6hp pada 8,500rpm dan 43.2Nm tork pada 7,000rpm. Memacu kesemua kuasa dan tork itu ke roda belakang adalah transmisi enam kelajuan.

Telah diwar-warkan bahawa cruiser middleweight Rebel 500 ini akan boleh didapati di pasaran Malaysia seawal bulan Ogos dengan harga yang menggiurkan, RM35,000. Tidak sabar rasanya menantikan kemunculan jentera ini nanti.

Honda CRF250 Rally 2017

Konsep untuk Honda CRF250 Rally ini pada mulanya diperkenalkan sejak penghujung 2015 lagi dan kini, model ini akan boleh didapati di pasaran Malaysia dalam masa terdekat. Motosikal enduro atau dwi-fungsi dari BSH ini bertumpu pada menakluki sebarang bentuk muka bumi pada harga yang mampu milik serta dengan pakej yang menyeronokkan.

Selain dari rupanya yang diilhamkan dari jentera perlumbaan rally-cross Dakar, CRF250 Rally ini dilengkapi dengan enjin satu silinder DOHC sejukan cecair 250cc yang menghasilkan sekitar 24.4hp pada 8,500rpm dan 22.6Nm tork pada 6,750rpm. Kesemua kuasa ini dipindahkan ke roda belakang melalui sistem transmisi manual enam kelajuan.

Bagi model ini, khabarnya ianya akan terdapat di pasaran Malaysia pada bulan Ogos dan harga yang ditetapkan dikatakan di bawah RM30,000. Ini
menjadikan motosikal dwi-sukan 250cc premium dari BSH ini satu tambahan yang cukup menarik.

Honda CRF250L 2017

CRF250L ini merupakan versi Rally yang lebih ringan serta lincah yang kami rasakan cukup sesuai untuk off-roading tegar dan juga mencuba beberapa lompatan jika anda berminat dengan motocross gaya bebas. Rekabentuk yang mudah mengingatkan kami pada scrambler masa lalu yang mempunyai tarikan yang seksi dan juga keseronokan.

Dikuasakan dengan enjin yang sama dengan Rally, CRF250L ini mempunyai nisbah kuasa-ke-berat yang lebih baik kerana beratnya yang hanya 145kg berbanding dengan Rally yang mencapai berat sehingga 157kg. 250L ini juga mempunyai tangki bahanapi yang kecil sedikit dengan kapasiti bahanapi sebanyak 7.8liter berbanding dengan Rally yang mempunyai tangki 10.1liter. Jadi ianya lebih ringan dan lincah berbanding dengan Rally dan secara teorinya ini menjadikannya sebuah motosikal yang amat sesuai untuk mereka yang ingin menceburkan diri dalam arena off-road.

Disebabkan 250L ini kelihatan seperti versi Rally yang dipermudah tetapi tetap sama menyeronokkan dengannya, harganya mungkin juga lebih rendah, dalam jangkauan RM25,000. Kesemua motosikal terkini dari Honda ini akan boleh didapati pada suatu masa dalam bulan Ogos nanti.

Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan terkini dari Boon Siew Honda.

Leave a Reply