Modenas Tampilkan Dua Lagi ‘Teaser’ Motosikal Lumba Mereka Yang Akan Datang

  • Modenas telah menampilkan dua lagi gambar’ teaser’ di laman Facebook rasmi mereka mengenai motosikal lumba terbaru mereka yang telah dirancang untuk pelancaran pada 19 Mei 2017.
  • Kedua-dua ‘teaser’ ini tampak seperti motosikal Bajaj Pulsar RS200 dan varian ‘naked’ NS200 dengan motto “Power to Race” dan “Power to Play”

Modenas telah mengeluarkan satu lagi set ‘teaser’ di laman Facebook mereka mengenai motosikal lumba mereka yang akan datang yang telah dirancang untuk pelancaran pada 19 Mei 2017. Gambar-gambar yang menggoda ini kelihatan seakan sama dengan Bajaj Pulsar RS200 dan Bajaj NS200 dan ia nampak lebih dekat untuk menjadi satu realiti.

Dalam set kedua ‘teaser’ mereka ini, model motosikal ini tampak serupa dengan motosikal ‘naked’ Bajaj NS200 dengan motto “Power to Play”.
Memandangkan yang NS200 dijana enjin empat lejang SOHC, tiga palam pencucuh, 200cc dengan sejukan cecair, kami mendapat gambaran bahawa motosikal ‘naked’ terbaru dari Modenas ini akan menjadi jentera yang menyeronokkan sama seperti platform asalnya yang menjana 23.17hp pada 9,500rpm dan 18.3Nm pada 8,000rpm.

Spesifikasi penuh bagi model ini masih lagi tidak diketahui namun kita pasti akan mengetahuinya dalam masa dua minggu. Apa yang kita ketahui sekarang adalah motosikal ‘naked’ model Bajaj NS200 di pasaran India berharga 96,453 Rupees (sekitar RM6,508 selepas pertukaran).


 

 

‘Teaser’ kedua yang dikeluarkan hari ini menunjukkan apa yang kelihatan seperti motosikal lumba reraup penuh menyerupai Bajaj Pulsar RS200. Digandingkan dengan motto “Power to Race”, ianya berkemungkinan disasarkan sebagai motosikal gunaan harian semasa hari-hari bekerja dan jentera yang menyeronokkan untuk penunggangan mendaki bukit atau di litar pada hujung minggu.

TEKAN SINI untuk membaca artikel terdahulu kami mengenai motosikal lumba terbaru Modenas ini.

Berdasarkan spesifikasi yang terdapat pada Bajaj Pulsar RS200, Enjinnya adalah sama seperti enjin bagi varian ‘naked’ NS200 tetapi telah ditala untuk menjana 24.5hp pada 9,750rpm dan 18.6Nm pada 8,000rpm. Dengan kelajuan tertinggi didakwa mencapai sehingga 140km/j, menunggangnya di atas litar ELITE pada pagi Ahad pastinya satu idea yang cukup menarik sekali.

Perincian lain-lain pada Bajaj Pulsar Rs200 termasuklah speedometer digital, tachometer analog, lampu hadapan dwi-projektor, dan lampu belakang LED. Bagi harganya dan spesifikasi penuhnya untuk pasaran Malaysia, kami hanya boleh menunggu tarikh 19 Mei 2017. Untuk masa sekarang, motosikal ini dijual di India dengan harga 124,523 Rupees (kira-kira RM8,407) bagi versi tanpa ABS dan 136,738 Rupees (kira-kira RM9,231) untuk varian ABS.

Teruskan bersama di MotoMalaya untuk perkembangan terkini dari Modenas. Sementara itu, TEKAN SINI untuk ke Bike Buyer’s Guide, laman eksklusif Bikesrepublic.com untuk melihat kesemua model semasa tawaran Modenas.

98 thoughts on “Modenas Tampilkan Dua Lagi ‘Teaser’ Motosikal Lumba Mereka Yang Akan Datang”

Leave a Reply