Honda Malaysia Melancarkan Pembukaan Pusat 4S Terbesar Di Malaysia

 

  • Kah Motor Co. Sdn. Bhd. (Tebrau) kini telah menjadi Pusat 4S Honda terbesar di Malaysia dengan keluasan sehingga 142,389 kaki persegi.
  • Sejumlah RM 40 juta telah dilaburkan pada Pusat 4S Honda terbaru ini yang akan menempatkan Pusat Jualan, Servis, Alat Ganti, dan juga Pusat Mengecat.
  • Honda Malaysia telah mencatat peningkatan jualan bagi suku pertama 2017 sehingga 45%, dengan syer pasaran sebanyak 20.5% dicapai pada bulan Mac, jumlah tertinggi dalam sejarah jualan Honda Malaysia.

Honda Malaysia dengan kerjasama Kah Motor Co. Sdn. Bhd. pada hari Jumaat yang lalu telah melancarkan pembukaan Pusat 4S Honda terbesar di Malaysia, terletak di Tebrau, Johor Bahru. Kumpulan pengedar Honda terbesar di Malaysia, Kah Motor mengembangkan kapasitinya untuk melayan pelanggan dengan lebih baik dengan Pusat 4S terkininya yang menempatkan Pusat Jualan, Servis, Alat Ganti serta Pusat Mengecat di bawah satu bumbung.

Pengerusi Oriental Holdings Berhad, Datuk Loh Kian Chong, bersama Presiden serta Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, En. Roslan Abdullah, menandatangani plak bagi mengingati pembukaan Pusat 4S Honda Kah Motor di Tebrau

Pembesaran Pusat 4S Honda oleh Kah Motor ini seiring dengan tumpuan Honda Malaysia untuk menyediakan khidmat selepas jualan yang memainkan peranan yang penting dalam motto mereka “Joy on Buying” dan untuk kepuasan pelanggan mereka. Peristiwa ini juga jatuh pada tahun yang cukup bermakna bagi mereka di mana Honda dan Kah Motor menyambut ulang tahun ke-60 sejak pengasas Kah Motor, mendiang Tan Sri Loh Boon Siew dan juga pengasas Honda, mendiang Soichiro Honda bertemu pada 1957.

Dengan peningkatan jualan bagi model-model Honda di wilayah Selatan negara, terutamanya di negeri Johor, permintaan untuk khidmat selepas jualan juga turut bertambah. Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, En. Roslan Abdullah, “Johor merekodkan jumlah pengambilan servis lebih daripada 128,000 unit pada 2016, yang mana ia merupakan peningkatan sebanyak 15% dari 2015. Dengan pembukaan Pusat 4s yang baru dan diperluaskan ini tepat pada masanya untuk memenuhi permintaan yang bertambah dan menyediakan kemudahan bagi bilangan pelanggan kami yang makin meningkat. Dengan kapasiti servis Kah Motor yang diperbesarkan sehingga mampu menampung sejumlah 100 buah kenderaan sehari, kami akan dapat melayani
keperluan khidmat selepas jualan para pelanggan dengan lebih cekap. Pada masa yang sama, pembesaran ini adalah untuk menyepadukan Pusat Mengecat ke dalam lokasi yang sama bagi memudahkan lagi para pelanggan kami,”

Sejumlah RM40 juta telah dilaburkan untuk Pusat 4S Honda terbesar di Malaysia ini yang mempunyai keluasan sehingga 142,389 kaki persegi. Pelaburan yang dibuat adalah untuk kawasan, binaan, alatan serta kemudahan. Dengan adanya sejumlah 37 ruangan penservisan ianya dijangka mampu menampung lebih banyak kenderaan, dan akan memberi perkhidmatan sehingga 36,000 unit setiap tahun.

Untuk keselesaan pelanggan, Pusat 4S Honda baru ini ada menawarkan kawasan rehat ‘Customer Lounge’ serta ‘Cafe Counter’, sebuah ‘Executive Lounge, perkhidmatan wi-fi, ruangan untuk kanak-kanak dan juga Surau.

Bagi mereka yang ingin menggunakan khidmat atau mengetahui lebih lanjut tentang perkhidmatan atau pun tentang fasiliti ini, anda bolehlah menghubungi Kah Motor Co. Sdn. Bhd. (Tebrau) di talian 07-357 7722 atau lawati mereka di No. 20, Jalan Kencana Emas 2, Kawasan Perindustrian Tebrau III, 81100, Johor Bahru, Johor Darul Takzim.

Atau, TEKAN SINI bagi melawati laman sesawang rasmi Honda Malaysia untuk maklumat lanjut.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]