Diuji – KTM 1290 Super Adventure S 2017

Artikel oleh Sep Irran untuk Bikesrepublic.com
Terjemahan oleh Zarul Faiz

  • KTM 1290 Super Adventure S 2017 yang serba baru ini muncul sebagai antara pencabar utama bagi gelaran motosikal kembara terbaik berada di pasaran Malaysia.
  • Dilengkapi dengan enjin V-berkembar 1,301cc DOHC yang menjana 160hp serta 140Nm tork, ianya enjin paling ringan serta fleksibel dihasilkan oleh KTM.
  • Pengalaman tunggangan keseluruhannya dipertingkatkan lagi dengan jasa pilihan Travel Pack termasuk Quickshifter +, sistem KTM MY RIDE, Pengaturan
    Gelinciran Motor (Motor Slip Regulation – MSR), dan juga Hill Hold Control (HHC).


Berikutan pelancaran KTM 1290 Super Adventure S 2017 dan KTM 1290 Super Duke R 2017 yang telah berlangsung pada hari Jumaat yang lalu, KTM
Malaysia dengan segera mengelola satu tunggangan pada hari yang berikutnya. Hari Sabtu itu sememangnya menyeronokkan bagi penulis kerana tunggangan yang dicadangkan merupakan satu perjalanan harian menaiki Cameron Highlands. TEKAN SINI bagi membaca dengan lebih lanjut pelancaran pada hari jumaat yang lalu.

Laluan yang dirancang membawa kami melalui perjalanan sejauh 500km menyusuri jalan-jalan kecil, berbelok-belok menaiki bukit, jalan sempit yang tidak rata dengan trafik yang banyak serta off-road yang pendek (atau lebih tepat, jalan yang diturap dengan buruk sekali) ke lokasi salah satu sesi penggambaran kami. Perjalanan setengah hari ini memberikan kami begitu banyak maklumbalas tentang prestasi jentera KTM terbaru ini, terutamanya bagi motosikal KTM Super Adventure S. Keputusannya? Ianya sebuah jentera kembara yang indah serta megah.


Motosikal terbaru ini serta beberapa model yang terdahulu meninggalkan Ruang Pameran KTM Lifestyle yang terletak di Kota Damansara pada pukul 8 pagi dan bergerak menuju ke destinasi pertama kami pada hari itu, Lemang To’ki. Terdapat 10 motosikal kesemuanya, lima darinya adalah KTM 1290 Super Adventure S dan hanya satu Super Duke R sambil kami menunggang menuju ke kawasan sarapan terkenal terletak di Bentong, Pahang itu.

Kita mulakan dengan rupanya. Dari jauh, ia mengingatkan kami kepada Yamaha Super Tenere tetapi pada pendapat kami, Super Adventure S ini memiliki raut yang lebih hebat dan lebih gempak terutamanya pada lampu hadapannya yang baru yang seringkali menyebabkan orang ramai tertarik di mana-mana sahaja ia berada. Rekabentuk lampu hadapannya juga mengingatkan kami kepada adiwira Marvel yang disayangi ramai, Deadpool.

Kami telah dimaklumkan oleh kru KTM bahawa kesemua 1290 Super Adventure S terbaru telah dilengkapi dengan pilihan KTM Travel Pack yang disertakan dengan Quickshifter +, sistem KTM MY RIDE, Pengaturan Gelinciran Motor (MSR) dan akhir sekali, Hill Hold Control (HHC). HHC ini ternyata amat berguna apabila kami terpaksa berhenti pada satu lerengan yang curam bagi membenarkan trafik bergerak melepasi satu jalan bukit yang amat sempit.

Dengan kelegaan tanah sebanyak 220mm dan ketinggian pelana 860mm, ianya merupakan satu cabaran bagi penggemar motosikal ini yang berbadan 170cm, 80kg untuk menunggangnya. Namun, sejurus sahaja kami berderu menyusuri lebuhraya, segala kesukaran bagaikan lenyap serta merta setelah kami merasai kemegahan yang ditawarkan oleh jentera ini.

Ergonomik motosikal ini terasa begitu hebat dan sungguh selesa walaupun selepas berjam-jam menunggang. Pengendalian Super Adventure S ini telah
dipermudahkan (dan lebih menyeronokkan) tidak kira walau bagaimana pun keadaan jalan bagi penunggang yang berpengalaman atau pun bagi penunggang yang baru mencuba. Gabungan kestabilan mutlak dan kawalan sepenuhnya telah diseimbangkan dengan cukup sempurna dengan berbagai kemaskini seperti suspensi semi-aktif keseluruhan WP, kerangka keluli trellis chrome-molybdenum dan lengan buai acuan tuangan berkekisi terbuka.

Motosikal dengan jolokan “Groundbreaker” ini dijana oleh enjin V-berkembar 1,301cc yang menghasilkan sehingga 160hp pada 8,750rpm dan 140Nm pada
6,750rpm. Rekabentuk yang padat menggunakan bahan-bahan berteknologi angkasa menjadikan ia antara enjin V-berkembar paling ringan pernah dikeluarkan oleh KTM dengan beratnya hanya 62kg. Bukan sahaja ianya ringan, malah penjana kuasa ini juga lincah serta fleksibel di setiap jangkauan rpm dan dengan berat keseluruhan motosikal ini pada 238kg (termasuk 23 liter bahanapi), ianya mempunyai nisbah berat-ke-kuasa yang luar biasa.

Merentasi segenap gear cukup menggembirakan kami dengan penggunaan Quickshifter + yang terdapat dengan pilihan Travel Pack. Ini bermakna motosikal ini mampu menukar ke gear lebih tinggi mahu pun rendah tanpa menggunakan tuil klac. Penukaran gear terasa mudah dan cepat tanpa sebarang gangguan. Tanpa satu lagi benda yang perlu dilakukan (menggunakan tuil klac), perjalanan melalui jalan yang berbelok-belok terasa begitu menyeronokkan dan mengujakan.

Pakej pembrekannya adalah tambahan yang paling dinantikan di antara kesemua pakej yang ada apabila ia digandingkan dengan suspensi semi-aktif WP. Kelengkapan yang dipilih bagi bahagian hadapan adalan sepasang cakera brek Brembo empat omboh 320mm dengan angkup tetap radial dan cakera brek dwi-omboh 267mm untuk belakangnya.

Kesemuanya diatursuaikan dengan bantuan elektronik yang amat berguna seperti Bosch 9ME bersama ABS yang dapat digunakan bagi menyelekoh serta untuk kegunaan ketika off-road. Menuruni Cameron Highlands, ianya banyak membantu ketika menyusuri jalan yang berselekoh tajam yang tidak rata, basah dan dikelilingi trafik. Jika ianya sebarang motosikal yang lain, kami tidak akan dapat menikmati pengalaman yang semudah atau pun segembira ini.

Di atas lebuhraya, 1290 Super Adventure S ini cukup senang ditunggang. Motosikal ini amat stabil walaupun pada kelajuan tinggi menyebabkan kami jatuh cinta padanya. Aerodinamik dan pembiasan angin telah dipertingkatkan lagi berbanding dengan Super Adventure GT bila kita menyentuh mengenai pengadang angin boleh laras dan cermin pandangan belakang yang berfungsi dengan begitu baik sekali sepanjang perjalanan setengah hari itu.

Keseluruhannya, kami bukan sahaja kagum dengan model terbaru dari KTM ini. Sebetulnya, kami bagaikan terpukau dengan bagaimana bagusnya rupa serta prestasi motosikal ini sejurus sahaja ia meninggalkan ruangan pamerannya. Dengan harga yang diletakkan oleh KTM Malaysia pada RM115,000 (asas beserta GST) tanpa pilihan Travel Pack, ianya ditawarkan pada harga yang kompetitif dengan motosikal kembara yang lain.

KTM berjaya dengan gemilang dalam pengenalan 1290 Super Adventure S yang terbaru ini. Kami boleh terus memuji segala kelebihannya, namun kata-kata tidak dapat menggambarkan perwatakan motosikal KTM 1290 Super Adventure ini. Lawatilah mana-mana ruangan pameran KTM seluruh negara dan biarkan pengalaman anda sendiri meyakinkan anda kerana kami pasti, anda juga pasti akan jatuh hati padanya.

TEKAN SINI untuk melihat selebihnya apa yang dipasarkan KTM di Malaysia di Bikesrepublic.com Bike Buyer’s Guide. Anda juga boleh melihat lagi ciri-ciri
motosikal ini di laman sesawang rasmi KTM

Galeri KTM 1290 Super Adventure S

Leave a Reply