Sesi Tunggang Uji – 2017 Kawasaki Ninja 650 dan Z650

Pada Rabu lepas, Kawasaki Motors Malaysia telah menganjurkan satu sesi tunggang uji bagi dua motorsikal keluaran terbaru mereka iaitu 2017 Kawasaki Ninja 650 dan Z650.

Kawasaki baru sahaja melancarkan empat model terbaru bagi 2017 pada bulan lepas termasuk Kawasaki Versys-X 250 dan Kawasaki Z900. Bagi sesi tunggang uji kali ini, kami berpeluang untuk mencuba Ninja 650 yang merupakan pengganti ER6-F dan Z650 mengganti tempat ER6-N.

Konvoi lebih kurang 20 penunggang termasuk unit polis yang membawa kami dari Nilai ke Morib memberi kami banyak peluang untuk melihat potensi motorsikal-motorsikal terbaru dari Kawasaki ini. Dengan melalui jalan-jalan kampung, kawasan pekan dan juga lebuhraya, kami mendapati bahawa kedua-dua jentera ini sangat ringan dan senang untuk dibawa.


Dari segi enjin, kedua-dua model ini mempunyai enjin yang sama berkapasiti 649cc ‘twin parallel’ yang mampu menjana 67hp dan 65.7Nm tork. Ia telah disambungkan kepada rangka jenis trellis yang ringan dan kuat. Rekabentuk rangka yang sama boleh didapati pada model hypersport mereka iaitu Kawasaki H2 dan H2R.

Dengan rangka dan enjin baru ini juga, Kawasaki telah berjaya membuat berat Ninja 650 hanya 193kg dan Z650 pada 187kg. Jika dibandingkan dengan berat ER6-F dan ER6-N, beza berat adalah antara 16-17kg.

Dengan kehadiran ABS dan klac jenis “Assist and Slipper”, membawa kedua-dua jentera 650cc ini telah menjadi jauh lebih senang. Boleh dikatakan lebih senang untuk membawa Ninja 650 dan Z650 dari mana-mana jentera 250cc yang terdapat pada pasaran sekarang.

Dengan jumlah berat yang ringan dan kuasa tinggi, tidak susah untuk membawa kedua-dua model ini lebih mencecah 200km/j. Dengan kelajuan yang lebih tinggi, lebih senang untuk membawa Ninja 650 dengan adanya reraub (fairing) untuk memotong angin.

Z650 juga mampu tetapi kegunaannya lebih sesuai dalam kawasan bandar dengan bar pemegang yang lebih selesa untuk penunggang. Bar pemegang yang terdapat pada Ninja 650 lebih tegak dan sesuai untuk penunggangan gaya sukan atau ‘sport’. Akan tetapi, terdapat sedikit gegaran pada Ninja apabila mencecah 120km/j. Pada Z650, gegaran tersebut dapat terasa serendah 80km/j.

Dalam impresi awal ini, pihak kami sangat kagum dengan kedua-dua model terbaru dari Kawasaki. Kedua-dua motor sangat ringan, selesa dan senang dibawa. Ia merupakan pilihan yang sesuai bagi yang baru ingin menjinakkan diri dalam motorsikal berkuasa tinggi. Pada masa yang sama, golongan penunggang berpengalaman juga akan berpuas hati dengan jentera-jentera ini.

Ditambahkan lagi dengan harga mampu milik untuk kedua-dua model ini, memang susah untuk tidak menyukai 2017 Kawasaki Ninja 650 dan Z650. Jika berminat, anda boleh membuat tempahan dimana harga yang telah ditetapkan untuk Ninja 650 terbaru ini bermula pada RM37,189 (harga asas bersama GST) dan untuk Z650 adalah RM35,609 (harga asas bersama GST).

Kami akan berpeluang untuk menguji kedua-dua unit untuk jangka masa yang lebih lama pada bulan April. Terus bersama MotoMalaya untuk berita terbaru dalam dunia motorsikal.

69 Comments

Leave a Reply