Quickshifters, adakah ianya diperlukan?

  • Apakah itu Quickshifters?
  • Adakah ia diperlukan penunggang?
  • Terdapatkah cara-cara yang lain untuk menukar gear?

Sejak lahirnya penggunaan teknologi, manusia telah mencari dan mengkaji pelbagai cara untuk menjadi lebih pantas. Motosikal, penunggang dan juga pasukan semakin berdaya saing di atas litar dan setiap millisaat sangat berharga untuk semua pelumba. Salah satu alat berteknologi tinggi yang digunakan untuk memperbaiki masa pusingan litar adalah Quickshifters. Apakah sebenarnya Quickshifters? Dalam artikel ini, kita akan menghuraikannya dan melihat jika ianya diperlukan oleh penunggang.

Bagaimana penunggang menukar gear?

Sumber : MotoGP

 

Dalam aspek menukar gear motosikal, kebanyakkan daripada kita diajar untuk melepaskan pendikit minyak, tarik tuil klac, masukkan ke gear lebih tinggi dan lepaskan klac secara berperingkat sambil memulas pendikit minyak pada waktu yang sama bagi mendapatkan peralihan yang lancar. Kebanyakkan penunggang berpengalaman dapat melakukan semua langkah ini dalam beberapa saat dan penunggang professional boleh melakukannya dalam masa kurang dari setengah saat.

Sesetengah penunggang memilih untuk menggunakan gaya penukaran gear yang berbeza yang dipanggil kaedah “Clucthless upshift”. Kelebihan kaedah ini adalah penunggang tidak perlu menggunakan klac jika ingin menukar ke gear lebih tinggi. Ini dapat dilakukan kerana majoriti motosikal di pasaran sekarang telah mengadaptasi kotak gear berjujukan. Disertakan di bawah video ringkas bagaimana untuk melakukan clutchless upshift.

Untuk kotak gear jenis ini, kaedah kemasukan dog clutch digunakan dan ia hanya perlukan gangguan sementara dari segi tork atau kuasa untuk menukar gear. Dengan erti kata lain, anda dapat menukar gear motosikal tanpa penggunaan klac JIKA ANDA TAHU CARA MELAKUKANNYA. Apa yang perlu anda lakukan ialah melepaskan pendikit minyak untuk seketika apabila enjin memecah RPM optimum dan menukar ke gear lebih tinggi. Walaupun kaedah ini tampak mudah, adalah dinasihatkan kepada semua untuk berhati-hati dalam melakukannya kerana sebarang kesilapan akan menjadikan kotak gear kurang berkesan atau mengakibatkan bencana.

Jadi, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan quickshifter?

Dengan penggunaan quickshifter, proses penukaran gear telah dipermudahkan. Apa yang perlu dilakukan penunggang adalah hanya menggerakkan tuil gear sahaja. Tidak perlu untuk menarik tuil klac atau melepaskan pendikit minyak. Teruskan memecut dan quickshifter akan melakukan selebihnya untuk anda. Hebat bukan? Tetapi bagaimana ia berfungsi? Ada beberapa jenis yang akan diterangkan dalam video di bawah.

Alat ini bersambung dari penukar gear yang terletak di sebelah kiri hingga ke unit ECU motosikal. Apabila ia mengesan yang penunggang akan menukar gear melalui tolok tekanan atau sensor, ia akan menghantar isyarat bagi memutuskan sama ada kuasa, pencucuh api, atau bahan api untuk membenarkan gear berikut dapat menyelinap masuk tanpa melakukan sebarang kerosakan. Menggunakan konsep yang sama seperti melepaskan pendikit minyak ketika kaedah clutchless upshift namun proses ini jauh lebih pantas tanpa perlu melepaskan pendikit minyak. Demonstrasi ringkas ada dalam video di bawah

 

Perlukah kita menggunakan quickshifter?

 Ada beberapa scenario di mana ianya amat berguna. Semestinya penggunaan terbaik untuk teknologi ini adalah bagi tujuan perlumbaan atau ketika hari di litar. Penunggang perlu menukar gear sepantas mungkin secara berkesan terutamanya ketika memecut laju pada bahagian litar yang lurus. Alat ini membolehkan penukaran gear lebih pantas tanpa mengorbankan kuasa akibat pelepasan pendikit berbanding dengan keadah penukaran gear yang biasa.

Sumber : MotoGP

Untuk penggunaan di atas jalan raya pula, quickshifter ini lebih kepada mainan yang membuatkan para penunggang tersenyum kambing. Hari demi hari, semakin banyak pengilang yang menyertakan quickshifter dalam motosikal produksi mereka sebagai alatan standard. Motosikal seperti BMW S1000R dan Ducati 1299 Panigale bukan sahaja boleh menggunakan quickshift untuk pertukaran ke gear tinggi, malah untuk ke gear rendah juga. Ini bermakna motosikal-motosikal ini mampu bertukar gear tidak kira gear rendah mahupun tinggi tanpa menggunakan klac (kecuali ketika motosikal bermula dari kedudukan pegun ataupun ketika berhenti).

Sumber : MotoGP

Rumusannya, memasang quickshifter pada motosikal anda bermakna anda dapat menukar gear secara efisien tanpa perlu menggunakan tuil klac atau melepaskan pendikit minyak, namun kegunaan utama alat ini lebih sesuai untuk tujuan perlumbaan atau hari di litar di mana ianya memberikan kelebihan yang lebih besar.

Bagi penunggang harian, alat ini hanya memudahkan proses penukaran gear dan memberikan pengalaman menunggang yang lebih menyenangkan tetapi penukaran gear biasa dan clutchless upshift dapat melakukan tugas yang sama di atas jalan raya biasa. Apapun jua hujahnya, tidak dapat dinafikan factor keseronokan yang ditawarkan oleh quickshifter.

30 Replies to “Quickshifters, adakah ianya diperlukan?”

Leave a Reply