Perhimpunan Mega Kelab Pemilik Benelli 3.0 2017

  • Lebih 250 pemilik Benelli seluruh negara berkumpul di Tadom Hill Resorts, Banting, Selangor
  • Dikelolai oleh Selangor Benelli Club (SBC), Kuala Lumpur Benelli Club (KULBC) dan kelab Benelli Matters
  • Acara ditaja oleh Tenaga Motor, MForce Holdings, MG Prestige Group, Quantum Petroleum dan banyak lagi

Pada hari Sabtu yang lalu, telah berlangsungnya acara tahunan Perhimpunan Mega Kelab Pemilik Benelli buat kali yang ketiga. Untuk tahun ini, bahagian Kuala Lumpur dan Selangor telah dipilih sebagai tuan rumah bagi acara bersejarah yang telah mengumpulkan lebih dari 250 pemilik Benelli daripada 14 kelab berlainan seluruh negara.

Kami berpeluang berkenalan dengan ramai pemilik dari kru Benelli Mattters atas pelawaan Encik Zulqarnain Ganesh Abdullah atau lebih mesra dikenali sebagai “Abang Zul”.

Tempat pertemuan pertama adalah di hentian R&R lebuhraya MEX di mana hampir 50 peminat Benelli kebanyakkannya dari Benelli Matters berkumpul sebelum memulakan konvoi ke hentian seterusnya, Masjid KLIA.


Di tempat pertemuan kedua inilah di mana kami dapat menyaksikan gerombolan terbesar Benelli dari kelab-kelab seperti Kelab Benelli Selangor (SBC), Kelab Benelli Kuala Lumpur (KULBC), Kelab Benelli Negeri Sembilan (NSBC), Kumpulan Pemilik Benelli Perak dan sebagainya. Motosikal-motosikal ini datang dalam jumlah ratusan daripada pelbagai negeri seperti Pahang, Kelantan, Melaka, Johor dan lain-lain.

Konvoi ini meneruskan perjalanan menyusuri beberapa kilometer sebelum tiba di tempat pertemuan terakhir, Tadom Hill Resort di Banting, Selangor. Tempat peranginan ini hanya beberapa minit sahaja dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan berdekatan dengan Mitsui Outlet Park.

Sedang para peserta mendaftarkan diri, kami mengambil masa mengenali beberapa orang pemilik yang ada di situ. Ternyata sekali bahawa pemilik-pemilik Benelli ini begitu menyukai jentera masing-masing, dan peluang bertemu dengan pemilik-pemilik Benelli yang lain mendalamkan lagi rasa sayang mereka untuk motosikal Benelli.

Perhimpunan mega ini telah dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri Dengkil, Yang Berhormat Shahrum Bin Mohd Sharif. Selepas beberapa ucap kata semangat dari Encik Shahrum, beliau secara rasminya melancarkan upacara perhimpunan mega bersama dengan wakil dari M Force Holdings Sdn Bhd.

Seperti yang sudah diketahui, M Force adalah syarikat utama bertanggungjawab untuk SYM Motorcycles dan bermula tahun ini, mereka mengambil alih sebagai pengedar Benelli di Malaysia. Beberapa aktiviti fizikal dan pertandingan berlangsung pada petang itu namun keraian utama bermula pada sebelah malamnya.

Selesai makan malam, semua peserta menikmati beberapa pertunjukan karaoke dan juga telah diadakan satu cabutan bertuah anjuran penaja utama. Sejujurnya penulis irihati melihat hadiah-hadiah yang diberikan pada malam itu antaranya, topi keledar GIVI baharu, sarung tangan dan kasut but menunggang, minyak enjin dan berbagai-bagai lagi hadiah.

Dua peserta bertuah membawa pulang hadiah utama berupakan TV LED baharu. Tahniah diucapkan untuk pemenang.

Acara ini telah menunjukkan bahawa Benelli semakin mendapat tempat di kalangan penunggang Malaysia dan untuk perjumpaan kali ketiga ini penyertaan adalah kecil berbanding jumlah ahli secara keseluruhannya. Sesungguhnya ianya merupakan pengalaman yang menyeronokkan. Kami berharap semangat untuk persaudaraan ini terus berkembang mekar antara pemilik motosikal dan kelab di seluruh negara. Ingin saya ambil ruang di sini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada kumpulan Benelli Matters terumata sekali buat Abang Zul dan juga Abang Ah Tan (Presiden Kelab Benelli Matters) kerana sudi mempelawa kami bersama untuk himpunan tahunan yang bersejarah ini.

Perhimpunan tahunan berikutnya akan diadakan di Melaka. Jika tuan-tuan ingin menyertai, sertailah mana-mana kelab yang berkenaan. Jumpa anda di tahun hadapan!

Galeri Foto Perhimpunan Mega 3.0

40 thoughts on “Perhimpunan Mega Kelab Pemilik Benelli 3.0 2017”

Leave a Reply