Motorsikal Terbaik untuk Penjimatan Minyak

Imej dari: springadvertise.co.za
  • Penggunaan petrol rendah untuk penjimatan lebih

  • Senarai kapcai, skuter dan juga skuter elektrik

    Imej dari: drum.co.za

Dengan keadaan harga petrol yang semakin meningkat sejak beberapa bulan lepas, kami di MotoMalaya sedar bahawa lebih banyak peruntukan wang telah digunakan untuk mengisi tangki minyak kereta dan motorsikal. Kami telah mengambil sedikit masa untuk mencari pilihan dan alternatif lain untuk penjimatan lebih untuk perjalanan seharian. Berdasarkan kajian ringkas, kami telah mengumpul satu senarai motorsikal terbaik dari segi penjimatan minyak.

(NOTA: Ini adalah senarai secara rawak dan bukan mengikut kedudukan atau “ranking”. Keputusan akan berbeza bergantung kepada petrol, keadaan motor, cara tunggangan dan lain-lain.)

1) Honda EX5-Fi (1.8liter/100km)

Tidak dapat dinafikan bahawa Honda EX5 merupakan kapcai yang paling laris di Malaysia. Dengan enjin 110cc SOHC dengan sistem suntikan bahan api, EX5 Fi merupakan salah satu motorsikal pertama yang mendapat status Kenderaan Jimat Tenaga atau EEV(Energy Efficient Vehicle). Jumlah penggunaan petrol untuk EX5 Fi adalah 1.8liter bagi setiap 100km. Dengan kapasiti tangki 4.3 liter, secara teori anda mampu berjalan sejauh 238km dengan hanya RM9.90 (harga berdasar RON95 Februari 2017). Honda EX5 Fi boleh didapati dari harga RM4,715.94 (asas dengan GST).

2) Honda Future Fi (1.8liter/100km)

Motorsikal kedua dari Honda yang mendapat status EEV ialah Honda Future Fi. Enjin 125cc SOHC juga mempunyai sistem suntikan bahan api dan juga memerlukan 1.8liter bagi setiap 100km. Dengan enjin 125cc dan tangki minyak 5.4 liter, anda hanya perlu RM12.40 untuk tangki penuh dan berjalan sejauh 300km. Harga yang ditawarkan untuk Future Fi bermula dari RM6,072.74 (asas dengan GST).

3) Honda Wave Dash Fi (1.8liter/100km)


Motorsikal EEV ketiga dari Honda adalah Honda Wave Dash Fi. RM9.20 hanya diperlukan untuk pengisian penuh untuk tangki 4 liter pada Wave Dash Fi. Mengikut kiraan, anda hanya perlu mengisi semula tangki minyak selepas berjalan sejauh 220km. Honda Wave Dash Fi boleh didapati dengan harga bermula dari RM5,669.94 (asas dengan GST).

4) Honda Wave Alpha (1.9liter/100km)

Penggunaan petrol bagi Wave Alpha sedikit tinggi pada 1.9liter/100km jika dibandingkan dengan Wave Dash Fi atau Future Fi. Motorsikal EEV Honda ini mempunyai enjin 109cc dan tangki minyak yang sedikit kecil pada 3.7 liter tetapi anda masih mampu berjalan sejauh 194km dengan hanya berbelanja sebanyak RM8.50. Harga Honda Wave Alpha adalah RM4,291.94 (asas bersama GST)

5) Yamaha 135LC (2.2liter/100km)

Pilihan dari Hong Leong Yamaha Malaysia (HLYM) bagi motorsikal yang paling jimat dari segi penggunaan petrol ialah Yamaha 135LC. Enjin penyejukan cecair SOHC 135cc ini mampu menjana kuasa 12hp dan tork 11.8Nm. Ia juga mempunyai tangki petrol sebesar 4 liter dan dengan hanya RM9.20, anda boleh bergerak sejauh 181km sebelum perlu berhenti dimana-mana stesen petrol berdekatan. Yamaha 135LC boleh dibeli dengan harga RM7,068.08 (asas dengan GST).

6) Yamaha FZ150i (2.6liter/100km)

Motor sukan “street naked” popular dari HLYM adalah Yamaha FZ150i. dengan kapasiti enjin 150cc yang mampu menjana kuasa 12hp dan tork 14.5Nm, kadar penggunaan petrol agak rendah pada 2.6 liter setiap 100km. Gabungan angka dan tangki minyak 12 liter, secara teori anda mampu berjalan sejauh 460km! Kiraan ini sangat menarik jika dibandingkan dengan harga motor pada RM9,156.28 (asas dengan GST).

7) Modenas GT128 (2.1liter/100km)

Motor kapcai dari Modenas ini telah mendapat banyak pujian untuk kecekapan dari segi penggunaan petrol. Motorsikal 130cc ini mampu bergerak sejauh 204km dengan tangki berkapasiti 4.3 liter. Mengikut Modenas, kadar penggunaan boleh turun serendah 1.6liter/100km dengan penggunaan secara ekonomi. Modenas GT128 boleh didapati dengan harga RM5,600 (asas dengan GST).

8) Suzuki Smash V115 (2.0liter/100km)

 

Kemasukan Suzuki dalam senarai kami datang dari kapcai yang telah lama berada dalam pasaran adalah Suzuki Smash V115. Dengan rekod 2.0 liter setiap 100km, Smash V115 mampu berjalan sejauh 215km bagi setiap isian tangki penuh sebanyak 4.3 liter. Harga bagi setiap Suzuki Smash V115 ialah RM4,847 (asas tanpa GST).

9) M.A.D. by Velocifero electric scooter (20-35km setiap cas)

Bagi pilihan alternative yang sedikit berbeza, terdapat juga skuter elektrik iaitu M.A.D. dari Velocefiro. Skuter yang direka oleh individu yang juga mereka CMC Italjet 125, skuter elektrik ini boleh digunakan untuk “off-road” dan juga perjalanan jarak dekat. Bagi setiap cas minimum selama empat jam, anda mampu menaiki skuter ini sejauh 20-35km. Harga tawaran bagi skuter M.A.D. dari Velocefiro ini bermula dari RM3,980. Untuk maklumat lebih lanjut, tekan SINI untuk membaca artikel di Bikes Republic.

10) Treeletrik T-90 (100km setiap cas)

Skuter elektrik yang dinanti-nantikan sejak tahun lepas lagi datang dari syarikat Treelektrik dengan model T-90. Skuter yang menggunakan kombinasi motor elektrik dan bateri asid atau lithium mampu bergerak sejauh 100km sebelum perlu dicas semula. Kelajuan maksimum? 80-90km/h. Skuter ini dijangka akan tiba di pasaran dalam masa terdekat dengan harga yang bermula dari RM8,800. Tekan SINI untuk laporan dari Bikes Republic.

Itulah senarai dari kami di MotoMalaya. Jika anda mempunyai cadangan yang lebih baik, boleh menulis emel ke info@motomalaya.net atau laman Facebook rasmi MotoMalaya.

 

27 thoughts on “Motorsikal Terbaik untuk Penjimatan Minyak”

Leave a Reply