Pandu Uji – 2017 Benelli TnT 135 – Motor Mini Mania

Selepas pelancaran di Hard Rock Café, Kuala Lumpur pada December lepas, Benelli Keeway Motorcycles Sdn Bhd (BKM) telah memberi kami peluang yang menarik untuk mencuba keluaran terbaru mereka iaitu Benelli TnT 135.

Bagi mereka yang masih tidak mengenali nama Benelli, syarikat pengeluar motorsikal Itali milik China ini lebih dikenali dengan jentera Benelli TnT 600 yang agak popular di pasaran Malaysia. Memandangkan potensi pasaran motor mini atau “pit bikes” semakin meningkat di Malaysia, Benelli telah mengambil peluang ini dan mengeluarkan Benelli TnT 135.

Konsep mini-moto atau “pit bikes” pada asalnya adalah untuk kegunaan perjalanan jarak pendek terutama dalam kawasan litar perlumbaan. Dengan keluaran Kawasaki Z125 Pro dan juga Honda MSX 125, Benelli turut sertai ‘trend’ ini dengan TnT 135 mereka.


Dari segi rupa, TnT 135 ini mempunyai reka bentuk yang sangat menarik terutama sekali kepada golongan muda. Kita dapat melihat sumber inspirasi ini dari motor-motor “naked” berkuasa tinggi di pasaran sekarang seperti MV Agusta Dragster 800. Motor ini akan menarik perhatian orang di khalayak ramai.

Enjin yang terdapat pada TnT 135 ini ialah sebuah enjin 135cc SOHC satu-silinder dengan sistem penyejukan minyak. Sistem dwi pencucuhan (twin ignition) juga digunakan bersama sistem suntikan bahan api elektronik (EFI). Ia mampu menjana kuasa maksimum 13hp @ 9,000rpm dan tork maksimum 10.8Nm @ 7,000rpm. Apa yang lebih menarik ialah enjin ini mendapat pelepasan piawaian Euro-4.

Semua kuasa enjin dipindah ke tayar belakang 12-inci melalui transmisi 5-kelajuan yang senang untuk dikendali. Rim aluminium 12 inci dipasangkan bersama tayar skuter Metzeller. Kombinasi ini juga sangat selesa dan seronok untuk dibawa tanpa sebarang isu. Motor ini sangat seronok untuk dibawa dan dengan berat kering hanya pada 116kg, ia juga sangat senang untuk dibawa. Benelli TnT 135 sangat sesuai untuk semua jenis penunggang veteran mahupun yang baru.

Pada permulaan menunggang motor ini, kami mendapat bahawa Benelli TnT 135 memberi perasaan yang unik. Peralatan yang terdapat pada TnT 135 ini juga akan seperti motorsikal berkuasa tinggi. Contohnya, fork terbalik 41mm memberi imej yang agak ‘sado’ kepada mini-moto ini. Lampu LED depan dan belakang berfungsi dengan baik dan juga memberi imej ‘street fighter’ yang garang.

Peredam hentakan yang terdapat pada Benelli TnT 135 berfungsi dengan sempurna sehingga kelajuan 100km/h. Selepas kelajuan tersebut, terdapat sedikit gegaran sehingga 115km/h sebelum motorsikal akan ‘cut-off’ pada kelajuan maksimum. Dari sini, kami berpendapat bahawa motor ini mampu bergerak dengan lebih laju tapi kemungkinan besar kehadiran ‘cut-off’ pada kelajuan 115km/h adalah untuk menjaga jangka hayat enjin.

Dari segi pakej brek, kombinasi brek cakera 220mm dengan kaliper dwi omboh di hadapan bersama brek cakera 190mm di belakang adalah lebih dari mencukupi untuk menghentikan jentera ini. Keadaan brek yang stabil setiap masa walaupun dalam kecemasan memberi keyakinan yang agak tinggi ketika membawa motorsikal ini serata Putrajaya.

Benelli TnT 135 juga mempunyai meter digital yang senang untuk dibaca akan tetapi terdapat satu ruang kosong yang sesuai jika ada indikasi kedudukan gear. Tanpa indikasi gear, kami kadang-kadang terlupa kedudukan gear kerana RPM motor ini ketika dalam gear ke-lima sedikit tinggi dan secara langsung membuat kami ingin masuk ke gear ke-enam yang sebenarnya tidak ada. Walaupun begitu, ia hanya masalah yang kecil dan tidak akan menjadi masalah setelah membiasakan diri dengan motor ini.

Pendek cerita, Benelli TnT 135 sangat senang untuk dibawa. Tempat yang paling sesuai adalah ditengah kawasan bandar yang sesak dimana kegunaan klac dan tukaran gear yang senang memberi tunggangan seronok tanpa sebarang masalah. Kawasan sekitar Kuala Lumpur tidak menyusahkan dengan Benelli TnT 135 tetapi perjalanan antara bandar mungkin sedikit sukar atas kelajuan maksimum yang sedikit rendah.

Jika diberi peluang, ada kemungkinan kami ingin miliki sebuah Benelli TnT 135 untuk kegunaan seharian. Dengan enjin yang menarik dan juga dalam piawaian Euro-4, ia juga mendapat pengiktirafan kenderaan EEV (Energy Efficient Vehicle). Digabungkan dengan tangki minyak 7.2 liter, anda boleh bergerak dengan agak jauh sebelum perlu berhenti dimana-mana stesen petrol berdekatan.

Harga sebuah Benelli TnT 135 adalah RM7,990 (harga asas tanpa GST) dan setiap pembelian akan mendapat waranti setahun atau 10,000km pertama. Anda juga akan mendapat pakej servis percuma bagi 10,000km pertama jika anda membuat tempahan sekarang.

Selain itu, BKM juga menawarkan pilihan waranti lanjutan selama tiga bulan atau 3,000km jika anda mendaftar motorsikal anda online. Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh melawat mana-mana pengedar Benelli Keeway di seluruh negara.

Galeri Benelli TnT 135

11 thoughts on “Pandu Uji – 2017 Benelli TnT 135 – Motor Mini Mania”

Leave a Reply