MV Agusta Melantik Pengedar Baru di Malaysia

Motosikal MV Agusta di Malaysia akan diedarkan oleh Moto Varese Asiatic Sdn Bhd

Pelantikan Moto Varese Asiatic Sdn Bhd sebagai pengedar rasmi MV Agusta telah disempurnakan dengan majlis menandatangani perjanjian pada 7 Disember 2016 antara kedua dua pihak oleh Cik Hu Ying, Pengarah Eksekutif, DNC Asiatic Holdings dan Encik Muhamad Zamry Abu Samah, Pengarah Urusan, Moto Varese Asiatic Sdn Bhd bagi pihak syarikat masing-masing.

Barisan semasa jenama ini terdiri dari model F4, F3, Brutale, Brutale Dragster, Rivale, Stradale dan Turismo Veloce. Pengeluar motosikal ini terkenal ini turut bersaing dalam Kejohanan Superbike Dunia dengan superbike F4 RC 1000cc , dan dalam kategori Supersport Championship Dunia dengan sportbike F3 675 tiga silindernya.

Perjanjian ini telah ditandatangani oleh MV Agusta SPA dan DNC Asiatic Holdings Sdn Bhd bagi memeterai kerjasama kedua-dua pihak untuk hak pengedaran motosikal MV Agusta di Malaysia. Perjanjian ini telah ditandatangani oleh Encik Judah Sangaran, Far East Country Manager MV Agusta Motor SpA dan Cik Hu Ying, Pengarah Eksekutif, DNC Asiatic Holdings.

DNC Asiatic Holdings dan anak syarikat mereka “Kumpulan Demak” telah mencipta kejayaan dalam industri motosikal Malaysia yang sangat tinggi persaingannya, dengan memiliki kilang pemasangan di Malaysia Barat dan juga Malaysia Timur, yang diluluskan untuk memasang motosikal dengan kapasiti enjin melebihi 500cc.

Menyedari peluang untuk menjadi pengedar sebuah jenama terkenal di peringkat antarabangsa dalam segmen motosikal besar, DNC Asiatic Holdings kini mematerai satu perjanjian dengan MV Agusta Motor S.p.A. untuk mengedarkan jenama terkenal dunia tersebut sebagai langkah penting untuk menjadi salah satu dari pemain utama dalam industri motosikal antarabangsa. Langkah ini juga akan menjadi platform pembelajaran teknikal dan reka bentuk unggul bagi Demak Motor.

DNC Asiatic Holdings tidak hanya mempunyai kilang pengeluaran di Malaysia, malahan juga di Colombo, Sri Lanka. Kedua-dua kilang mereka di Kuching, Sarawak, dan di Olak Lempit, Selangor, menjalankan operasi pemasangan motosikal, penyelidikan dan pembangunan (R & D), bilik pameran, dan juga pusat servis untuk memenuhi keperluan pasaran Malaysia Barat dan timur, disamping memenuhi keperluan pasaran antarabangsa.

Sebuah bilik pameran eksklusif baharu yang lengkap dengan pusat 3S akan dibuka di Batu Caves, Selangor. Untuk meningkatkan manfaat pemilikan, Moto Varese Asiatic Sdn Bhd akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan dan mengukuhkan perkhidmatan selepas jualan, dengan Kempen Servis khas yang akan dijalankan pada enam bulan pertama mereka beroperasi.

Satu siri aktiviti juga dalam perancangan untuk pemilik MV Agusta semasa dan juga baharu untuk meningkatkan lagi pengalaman pemilikan mereka. Untuk tujuan ini, Moto Varese Asiatic Sdn Bhd akan memulakan aktiviti promosi dalam media cetak dan juga media sosial untuk mempromosikan jenama MV Agusta.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]