Pandu Uji: 2016 Honda CB500X ABS

 

2016 HondaCB500X ABS dikemaskini dalam pakej dan harga yang berpatutan

Dalam pasaran Malaysia, terdapat banyak pilihan untuk motorsikal atas 250cc. Bagi yang baru sahaja mendapat lesen B penuh, antara pilihan yang menarik di pasaran sekarang ialah Honda CB500X ABS tahun 2016.

Honda CB500X ABS ini merupakan model gaya pengembaraan dwi sukan dari siri Honda CB500 yang telah dikemaskinikan untuk tahun 2016. Walaupun tiada perubahan yang ketara dari segi rupa, motorsikal ini telah memberi impresi yang agak menarik dari segi prestasi setelah dipandu-uji sepanjang minggu.

Jika dilihat dengan teliti, terdapat beberapa perubahan dari segi reka bentuk yang agak menarik bagi kami. Bahagian hadapan lebih tajam dan dipasangkan dengan lampu LED dan juga penghadang angin yang besar.

Perasaan menaiki motorsikal CB500X ini bertambah baik setelah kami mulakan sesi pandu uji. Enjin 471cc dengan penyejukan cecair dapat dihidupkan dengan senang. Walaupun bunyi ekzos sedikit perlahan, enjin tersebut berfungsi dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Bagi kebanyakan enjin berkembar selari (parallel twin), kuasa maksimum yang dapat dijanakan adalah sekitar 49.6hp dan tork maksimum dalam 44Nm sekitar 4,000RPM.

Transmisi 6-kelajuan dan pemacu rantai tradisional menjadi pilihan untuk menghantar semua kuasa enjin ke tayar belakang. Penggunaan klac dan tuil pilihan gear amat lembut dan tepat. Kombinasi ini amat sesuai bagi yang baru menjinakkan diri dengan motorsikal berkuasa tinggi.

Walaupun spesifikasi seakan rendah dalam risalah, kuasa yang dijanakan oleh Honda CB500X terbaru ini cukup untuk menggerakkan jentera seberat 196kg dengan senang tanpa sebarang masalah. Dari segi prestasi pula, CB500X hanya perlu menggunakan purata petrol 4 liter bagi setiap 100km.

Pada pendapat kami, 2016 Honda CB500X ABS ini sesuai bagi semua golongan penunggang yang baru mahupun veteran. Dengan berat yang agak rendah dan juga seimbang, golongan wanita juga mampu membawa motorsikal ini dengan senang. Jentera ini mampu dibawa tanpa keraguan walaupun jika anda perlu merentasi kesesakan lalulintas di sekitar kawasan bandar.

Kedudukan tempat duduk yang rendah pada 807mm dan juga posisi ergonomik menambah lagi kepada faktor keselesaan motorsikal ini. Tempat duduk yang selesa juga disediakan bagi mereka yang ingin menjadikan motor ini sebagai penggunaan seharian mahupun perjalanan jauh.

Penghadang angin baru yang lebih besar dan efektif juga telah digunakan bagi model CB500X terbaru ini jika dibandingkan dengan model lama. Reraub hadapan juga lebih rendah yang menyalurkan angin dari kaki anda.

Dalam satu konvoi bersama pemilik-pemilik motorsikal Indian dan Victory di Johor beberapa bulan lepas, kami mendapati bahawa prestasi Honda CB500X ABS sangat bagus dan menarik.

Dengan pakej suspensi dan ergonomik yang telah ditambahbaikkan bagi model 2016 ini, CB500X mungkin menjadi pilihan terbaik jika dibandingkan dengan model CBR500R dan CB500F.

Tayar Dunlop yang dibekalkan oleh Honda juga memberi cengkaman dan prestasi yang bagus. Brek cakera yang dilengkapkan pada motor ini berfungsi dengan cekap untuk menghentikan CB500X dengan senang dan selamat.

Walaupun ada pihak yang mengatakan model CB500X tanpa ABS lebih ringan dan senang untuk dikendali, waktu kecemasan lebih terkawal dengan adanya sistem ABS ini . Lebih dari itu, model kemaskini 2016 ini mampu melaraskan tuil brek hadapan untuk lebih kawalan dan keselesaan penunggang.

Secara keseluruhan, segala aspek penambahbaikan yang terdapat pada model CB500X telah membuat motor ini lebih senang dan seronok untuk dibawa pada setiap masa. Keadaan boleh bertambah baik jika ia mempunyai penunjuk gear di paparan instrument yang kemas dan senang untuk dibaca.

Ringan, tangkas dan senang untuk dikendali, 2016 Honda CB500X ABS menjadi pilihan yang sesuai untuk apa jua keadaan. Harga pasaran yang telah ditetapkan oleh Boon Siew Honda Sdn Bhd bagi Honda CB500X ABS ini ialah RM35,391.28 (harga asas dengan GST). Pakej harga ini mengandungi pelan waranti 2 tahun atau 20,000km yang pertama.

Walaupun terdapat banyak lagi pilihan bagi motorsikal segmen ini di bawah harga RM40,000, kami merasa CB500X dapat memberi lebih keselesaan, penjimatan dan serba boleh bagi pelbagai jenis penunggang.

2016 Honda CB500X ABS
ENJIN 471cc berkembar selari, penyejukan cecair dengan sistem suntikan bahan api
TRANSMISI Manual 6-kelajuan dengan plat klac basah bersama pemacu rantai
KUASA MAKSIMUM 49.6hp @ 8,500rpm
TORK MAKSIMUM 44Nm @ 7,000rpm
SUSPENSI Hadapan:

41mm teleskopik dengan jarak gerakan 140mm

Belakang:

‘Prolink single shock’ yang boleh dilaras dengan jarak gerakan 120mm

BREK Hadapan:

320mm cakera dengan

Kaliper dwi-piston

Belakang:

240mm cakera berombak dengan kaliper piston tunggal

ABS

TAYAR Hadapan:

120/70 R17

Belakang:

160/60 R17

TEMPAT DUDUK 807mm
TANGKI PETROL 17.5 litres
BERAT 196kg
HARGA RM35,391.28 (basic with GST)
PENGELUAR Boon Siew Honda Sdn Bhd

http://boonsiewhonda.com.my

 

 

Leave a Reply