2017 Suzuki V-Strom 250

Setelah memperkenalkan jentera sukan 250cc, GSX-250R, Suzuki terus menyertai saingan dalam kategori jentera kembara 250 dengan adanya Suzuki V-Strom 250. Kehadiran jentera kembara dalam kategori 250cc sangat ditunggu oleh peminat motosikal terutamanya di Asia kerana had lesen yang dibahagikan mengikut kapasiti enjin sehingga 250cc. Selain itu juga, pilihan dalam kategori 250cc biasanya hanya model sukan (sport)  atau model jalanan (naked street). Contoh jentera sukan dan jalanan yang sedia ada di Malaysia termasuklah Kawasaki Ninja 250, Kawasaki Z250SL,  Yamaha YZF-R25 dan Honda CBR250R.

Suzuki V-Strom 250 hadir dengan enjin 248cc selari berkembar yang mampu membawa anda sejauh 496km dengan satu tangki penuh.  Enjin ini telah dioptimumkan untuk perjalanan dalam kelajuan 12 –  55mph (20-88kpj) dimana ini adalah kelajuan biasa yang ditunggang oleh pengguna jentera kembara. Kalau nak lagi laju, maka anda perlu tunggang jentera sukan. 

Ekzos ringan dan padat digunakan untuk mengurangkan berat keseluruhan jentera V-Strom 250 ini.


Biasanya untuk jentera kembara, rim lidi akan digunakan kerana kelasakannya.  Jika rim lidi ini terlanggar batu dan bengkok, anda masih boleh membetulkan dan terus bergerak. Namun, Suzuki V-Strom 250 ini dilengkapi dengan rim sukan aloi yang mungkin mempunyai ketahanan yang tinggi sehingga Suzuki begitu yakin untuk memuatkannya dalam jentera kembara ini.

ABS dipasang pada jentera ini daripada teknologi BOSCH yang telah menjadi kebiasaan pada kebanyakan jentera pada 4-5 tahun ini. Kosnya mungkin akan meningkat sedikit, namun keselamatan anda adalah lebih penting.

Paparan meter adalah sama seperti model GSX-250R yang mana cukup menarik dengan paparan digital sepenuhnya.

Tidaklah dapat dipastikan sama ada Suzuki V-Strom 250 ini akan masuk ke Malaysia atau tidak.

Paling kurang, dapat juga kita tahu bahawa Suzuki masih bersemangat untuk memikat hati penggunanya.

Sumber: https://www.suzuki-gb.co.uk/motorcycles/motorcycles/adventure-sports-touring/vstrom/v-strom-250/

Leave a Reply